Pada siaran lalu, saya menyatakan pendirian saya, iaitu bahawa, keinginan
pihak Kristian yang mendalam untuk mengguna pakai kalimah “Allah” dalam kitab dll tidak
wajar dibenarkan demi mengelakkan penyalahgunaan kalimat itu pada masa depan
walaupun memang diakui bahawa kalimat itu hak semua pihak. Hari ini, saya beroleh
pencerahan tentang hal itu oleh pihak Majlis Syura Ulamak PAS, melalui kenyataan
penuh oleh pihak tersebut dalam HarakahDaily
hari ini..
Sebenarnya, saya berpeluang untuk bertanya kepada TG Dato’ Dr
Haron Din tentang hal ini semasa menghadiri ceramahnya di Kompleks Pendidikan
Islam Bangi. Walau bagaimanapun, peluang itu terhalang kerana beliau
menguntukkan masa hingga jam 10:00 pagi (waktu itu sudah sekitar jam 9:50 pagi)
untuk sesi soal jawab. Hanya satu soalan (saranan sebenarnya) yang dapat diulas
oleh TG itu.
Saya benar-benar bersyukur kerana kekeliruan dan kekaburan saya
tentang hal ini sudah menjadi jelas dan dengan yang demikian saya tidak akan
terpedaya dan dikelirukan oleh mana-mana pihak. Oleh sebab itu juga, sebagai
sebahagian anggota dalam Pakatan Rakyat, DAP tidak perlulah mengungkit-ungkit
dan membangkit-bangkitkan hal ini lagi, khususnya untuk tujuan pengaruh dan
politik.
Yang berikut ini ialah siaran kenyataan itu yang saya petik
daripada HarakahDaily. Terima kasih.
KENYATAAN RASMI MAJLIS
SYURA ULAMAK
Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan
13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara
berikut:
(1) Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada
Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak
beranak dan tidak diperanakkan.
(2) Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana
Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana
orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah yang menjadikan alam ini.
(3) Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah
menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam
mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini.
Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah
Allah.
Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari
mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah
guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.
Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.
Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al
Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.
Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS ini juga telah membincangkan
isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat
dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden
memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung
menerusi TV1 dan TV3.
Tuan Guru Datuk Bentara Setia
Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia
Tuan Guru Datuk Dr Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia
No comments:
Post a Comment