Wednesday, January 9, 2013

Sebelum Sunamo, Ada Perkhabaran yang Mengejutkan

Mendapat perkhabaran yang tidak diduga memang selalu mengejutkan kita, tidak kiralah perkhabaran itu perkhabaran gembira ataupun perkhabaran dukacita. Perkhabaran yang tidak diduga yang menggembirakan saya, tetapi pada masa yang sama amat mengejutkan saya ialah perkhabaran yang disampaikan oleh isteri saya pada Februari 1988, iaitu kira-kira 25 tahun dahulu. 

“Yop...,” kata isteri saya pada malam itu, “doktor kata saya mengandung...”. Ya, Allah ... kegembiraan itu sangat luar biasa. Saya megah, saya bangga, saya bersyukur kerana saban bulan selepas menikahi isteri saya, saya senantiasa menunggu perkhabaran itu. Terus terang, kegembiraan itu melebihi kegembiraan saya semasa disahkan menjadi suami kepada isteri saya.

“Manakah yang lebih seronok...,” isteri saya menyoal selepas barangkali melihat kegembiraan yang memancar-mancar pada diri ini, “selepas menjadi suami saya atau selepas mendengar perkhabaran ini?” Saya berterus terang kepadanya, keseronokan perkhabaran yang dibawanya berbeda dengan keseronokan selepas sah bergelar sebagai suaminya. Dia diam, faham barangkali.

Kegembiraan yang sama berkunjung lagi pada tahun 2005. Isteri saya disahkan mengandung selepas hampir 17 tahun anak saya yang lahir pada tahun 1988 itu bergelar sebagai anak tunggal. Saya sangat gembira dan saya sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT. Saya segera teringat pesanan yang saya titipkan kepada adik ipar saya agar beliau berdoa di hadapan Kaabah supaya saya beroleh anak lagi.

Barangkali doa beliau, doa kami suami isteri telah dimakbulkan Allah SWT. Alhamdulillah. Akan tetapi demikianlah ketetapan Allah SWT, kegembiraan itu segera bertukar kepada dukacita apabila janin yang dikandung isteri saya “mati” dalam kandungan sewaktu baru berusia hampir empat bulan. Perkhabaran yang disampaikan oleh Dr Khamsiah Muda itu menyentap tangkai hati saya. Saya menangis.

Perkhabaran sedih itu sama pedihnya dengan perkhabaran tentang pemergian adik saya pada tahun 1973 dahulu, sama pedihnya dengan pemergian Opah saya pada tahun 1980 dahulu, dan sama pedihnya dengan pemergian Datuk saya pada 1996 dahulu. Dr. Khamsiah menenangkan kami suami isteri dengan kata-kata “Allah Mengetahui apa-apa yang lebih baik untuk hamba-Nya”.

Pagi semalam, tanpa angin, tanpa ribut, malah sebelum sempat ribut tropika Sunamo melanda Pantai Timur Semenanjung Malaysia, perkhabaran yang mengejutkan melanda seluruh kakitangan di tempat saya bertugas. Jabatan yang telah lama menjadi tulang belakang kepada syarikat yang menjadi tempat saya bertugas telah ditutup lalu mengakibatkan berlakunya pembuangan kakitangan.

Saya tidak terlalu sedih oleh perkhabaran itu, tetapi saya terkejut walaupun perasaan yang bergerak ke arah itu (pembuangan kakitangan) telah lama bermain-main di fikiran. Untuk pertama kali dalam hidup saya, saya melihat sendiri orang meluahkan pelbagai aksi dan reaksi daripada tindakan itu. Untuk pertama kali, walaupun untuk seketika, rasa panik yang berbeda menguasai diri ini.

Pada usia setengah abad, siapakah yang sudi untuk mengambil saya bekerja di syarikat mereka? Komitmen saya masih banyak – ansuran kereta perlu dibayar, hutang-hutang lain juga menanti, termasuk bil-bil air, elektrik, telefon dan Internet, dll. Pampasan yang diberikan belum tentu memadai. Saya kegelabahan. Saya segera menghubungi rakan, meminta bantuannya.

Alhamdulillah, beliau sudi untuk membantu. Rupa-rupanya tindakan yang saya lakukan secara spontan itu yang kemudiannya menerima jawaban positif daripada rakan saya itu telah menghalau rasa panik dari dalam diri ini. Selepas tengah hari, saya menerima panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan bekas bos saya, bosnya sekarang, menyuruh saya menghubunginya. Ada tawaran, katanya.

Rasa panik itu makin surut. Pada masa yang sama, seorang rakan lain menawarkan projek untuk saya melalui laman sosial Facebook. “Datanglah selepas tempoh perkhidmatan engkau ditamatkan,” demikian kata sahabat saya itu. Ya, Allah. Engkau memang Pencatur Agung. Saya berharap, ya Allah agar tawaran dan janji-janji itu menjadi kenyataan. Saya bermohon kepada-Mu, ya Allah.

Kita bukan pencatur kehidupan yang baik. Oleh sebab itu, kita harus belajar meredhokan apa-apa yang menimpa diri kita. Saya berasa kasihan kepada teman-teman yang berkeluh-kesah dan bermuram durja. “Encik Zul tak apa kerana Encik Zul dah lama kat sini. Pampasan yang Encik Zul dapat jauh lebih tinggi daripada kami yang baru saja tiga/empat tahun bekerja di sini”.

Saya sangat faham akan hal itu, tetapi dengan usia yang masih muda dan kelulusan yang lebih tinggi daripada saya, mereka pasti beroleh pekerjaan yang baik. Masanya akan tiba. Bersabar dan berusahalah. Saya akan mencuba untuk membantu mereka. Semoga Allah SWT memudahkan saya untuk mendapat pertolongan yang diharap-harapkan oleh rakan-rakan saya itu.

Fajar yang mendatang pada hari-hari yang berikutnya pasti dilalui dengan perasaan yang berbeda oleh setiap teman dan taulan, termasuk saya sendiri. Perlukah saya jelaskannya di sini? Tidak perlu, rasa saya. Hal ini bukan titik noktah kehidupan walaupun tidak tergolong sebagai permulaannya. Hal ini suatu cabaran. Para pujangga berpesan, “Cabaran perlu didepani, bukan dihindari”.

8 comments:

  1. Assalammualaikum
    Sdr Zul
    saya turut terkesan dengan kisah sdr. Saya berharap sdr tabah dan berserah diri sepenuhnya pada Allah swt. Kerana hal seperti itu pernah saya alami, ketika mula2 memeluk islam, terpaksa bhenti sekolah, terpaksa berhijrah berseorangan demi akidah, namun benar :
    Allahswt adalah Maha Pemurah, insya Allah sdr. Pasti ada rezeki, moga tabah menghadapi dugaan ini.

    ReplyDelete
  2. As-Salam Sdr Nur,
    Terima kasih kerana mengungkapkan kata-kata yang dapat membantu untuk melegakan perasaan.

    ReplyDelete
  3. BERAT MATA MEMANDANG.......BERAT LAGI BAHU YANG MEMIKUL,HATI YANG MERASA, PERASAAN YANG GELISAH, JIWA YANG KECAMUK....SEMOGA TUAN HAMBA....TABAH....!!!

    ReplyDelete
  4. As-Salam, Sdr Anon,
    Amin, amin. Terima kasih.

    ReplyDelete
  5. As-Salam adinda Zul,

    Memang le . . . kata orang 'cakap' lebih senang daripada 'buat' . . . dan 'pandang' lebih mudah berbanding 'pikul'. Namun Uda masih tetap berpegang kepada kata-kata, "Ada cahaya di hujung terowong".

    Allah swt maha mengetahui akan manfaat yang bakal terbit daripada setiap percaturan-NYA.Yakinlah!

    ReplyDelete
  6. As-Salam, Uda,
    Kita ini miskin Uda, sangat miskin kalau hendak dibandingkan dengan Pencipta kita. Ilmu kita setitik, tetapi ilmu-Nya infiniti. Jadi, memang bearlah kata Uda, "Allah swt maha mengetahui akan manfaat yang bakal terbit daripada setiap percaturan-NYA". Adinda barangkali diminta lebih menggandakan usaha, lebih menggandakan amalan supaya dapat lebih dekat dengan-Nya.

    ReplyDelete
  7. As-Salam adinda Zul,

    Insya-Allah dapat jua adinda laksanakan hajat yang murni di hati itu. Uda menaruh keyakinan penuh terhadap kemampuan adinda Zul berbuat demikian.

    'Life goes on . . . tomorrow is another day' . . . alahai teman cakap omputih sikit le . . . sesaja nak lepehkan ketagih 'speaking' konon . . . hmm

    ReplyDelete
  8. As-Salam, Uda,
    Sama-sama kiat berdoa agar kita sama-sama dapat melaksanakan impian kita seperti yang dituntut oleh-Nya. Amin.

    Terim kasih, Uda.

    ReplyDelete