Monday, January 21, 2013

Tuan Haji Abdul Aziz: Ganjaran Allah kepada Hamba-Nya yang Berjihad

Saya belum pernah melihat suasana ini. Seorang insan biasa, bukan VIP jauh sekali VVIP, meninggal dunia. Teman taulan, sanak saudara, jiran tetangga yang datang untuk menziarahi jenazahnya begitu banyak. Allahyarham itu, Tuan Haji Abdul Aziz bin Mokhtar, meninggal dunia sekitar 7:00 pagi semalam (Ahad, 20 Januari 2013/08 Rabi’ulawwal 1434 H). Innalillahi wa inna ilaihirojiun.

Arwah Tuan Haji itu jiran saya. Walaupun tidak akrab dengan saya, tetapi kami saling mengenali dan saling bersapaan apabila berpapasan di mana-mana. Arwah Tuan Haji itu pernah diserang angin ahmar, namun alhamdulillah, beliau masih mampu untuk berjalan dan masih mengenal jiran tetangga. Barangkali percakapannya sahaja kurang jelas dan teratur.

Berbalik kepada peristiwa banyaknya orang yang menziarahi jenazahnya. Saya biasa menziarahi jenazah jiran, saudara-mara, dll, namun belum pernah saya lihat sebanyak itu yang menziarahi jenazah itu. Saya biasa mensolati jenazah orang, pun tidak sebanyak itu kecuali kalau jenazah itu disolati pada hari Jumaat. Jenazah Tuan Haji ini disolati selepas kami menyempurnakan solat Zuhur.

Jemaah yang bersolat Zuhur pada hari semalam mendekati jumlah orang yang bersolat Jumaat. Jemaah, termasuk saya, melimpah hingga di ruang luar walhal, pada hari Ahad, jemaah yang bersolat Zuhur di surau kami sekitar dua saf sahaja. (Untuk makluman, surau kami adalah antara surau yang dipilih untuk mengadakan solat Jumaat di kawasan Kajang ini dan makmumnya memang banyak.)

Mengapakah begitu banyak orang yang menziarahi jenazah arwah dan begitu banyak juga orang yang mensolati jenazahnya? Kalangan sahabat saya berkata bahawa kebetulan hari itu hari Ahad. Orang juga berkata bahawa arwah itu dahulu barangkali berpangkat ketua di tempatnya bekerja, jadi banyaklah anak buahnya yang datang. Dan ada pelbagai andaian lain yang tidak dapat dinafikan kebenarannya.

Akan tetapi saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa beliau seorang yang sangat berjasa di jalan Allah. Hal ini saya katakan demikian kerana beliau telah melakukan sesuatu yang sangat baik demi keperluan seluruh penduduk Islam di kawasan kediaman kami ini. Keperluan yang saya maksudkan itu ialah keperluan terhadap sebuah surau untuk kami memudahkan bersolat jemaah.

Pada peringkat awal kami tinggal di kawasan perumahan ini, kami menyewa rumah seorang penduduk yang belum hendak duduk di kawasan perumahan kami sebagai surau untuk satu tempoh yang agak lama. Di sinilah aktiviti keislaman kami dijalankan, termasuklah solat sunat hari raya, ibadah qurban, dll. Akan tetapi, pada suatu hari, arwah Tuan Haji ini memaklumkan hal yang menggembirakan kami.

Arwah, dengan berlapang dada, telah membenarkan kami menjadikan rumahnya sebagai surau SECARA PERCUMA untuk tempoh dua tahun (sepanjang beliau bertugas di Sabah). Hal ini melegakan kami kerana kami dapat menjimatkan sejumlah wang untuk tempoh itu. Syarat yang diberikannya kepada kami ialah, jagalah rumah ini dengan sebaik-baiknya. Itu sahaja. Kami memenuhi amanah itu.

Balasan terhadap usaha fi sabilillah arwah inilah yang pada pandangan saya yang telah diperlihatkan oleh Allah SWT kepada kami untuk dijadikan sebagai ikutan dan contoh teladan. Balasan yang saya maksudkan itu adalah bahawa Allah SWT akan mengganjarkan setiap amalan baik hamba-Nya dengan ganjaran yang berlipat kali ganda baiknya – jenazahnya disolati oleh begitu banyak jemaah.

Tentang manfaat banyaknya jumlah jemaah yang mensolati sesuatu jenazah, ada dua hadis yang berkaitan dengannya.

Daripada Siti Aisyah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Tiada satu pun jenazah yang disolatkan oleh seratus orang kaum Muslimin, dan semuanya memohonkan syafaat bagi jenazah itu, melainkan Allah mengabulkan permohonan mereka itu”.
[Hadis riwayat Muslim]

Daripada Abdullah bin Abbas RA, katanya, “Anaknya meninggal di Qudaid atau di Usfan. Lalu dia berkata kepada sahayanya, ‘Hai Kuraib! Cubalah kamu lihat, sudah banyakkah orang yang berkumpul untuk mensolati jenazahnya?’ Kata Kuraib, ‘Aku pun pergi melihat, dan memang orang telah banyak berkumpul untuk mensolati jenazah itu. Lalu kuberitahukannya kepada Abdullah’. Abdullah bertanya, ‘Adakah jumlah mereka empat puluhan orang?’ Jawab Kuraib, ‘Ya, ada!’ Kata Abdullah, ‘Keluarkanlah jenazah itu! Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Apabila seorang Muslim meninggal dunia, lalu jenazahnya disolati oleh empat puluh orang Muslim (yang tidak musyrik), maka Allah menerima syafaat mereka terhadap jenazah ini’.”
[Hadis riwayat Muslim]

Itulah ganjaran yang diperlihatkan oleh Allah SWT kepada kami yang ditinggalkan oleh arwah Tuan Haji Abdul Aziz itu, insya-Allah. Sebagai peringatan kepada kita yang hidup ini, yang ditinggalkan oleh sahabat-sahabat, saudara-mara, jiran tetangga kita kerana berpindah ke alam abadi, mari kita renungkan hadis ini. (Saya berharap agar hadis ini besar gunanya kepada kita dan menjadi pendorong untuk kita memuhasabah diri.)

Daripada Abu Qatadah bin Ribi’, katanya, “Semasa suatu jenazah melalui berhampiran Rasulullah SAW, baginda berkata: ‘Senang dan menyenangkan’. Hadirin berkata: ‘Wahai Rasulullah SAW, apakah maksud senang dan menyenangkan itu?’ Baginda menjawab: ‘Hamba yang mati (sebagai) Mukmin senang kerana terlepas daripada kelesuan dunia, manakala hamba yang mati (sebagai) fasiq menyenangkan hamba Allah yang masih hidup, menyenangkan negeri, menyenangkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan, kerana terlepas daripada bencananya’.”
[Hadis riwayat Muslim]

Saya, saudara-saudara harus meletakkan sasaran – hendak menjadi golongan yang “senang” atau “menyenangkan”?

Kepada kaum keluarga Tuan Haji Abdul Aziz Mokhtar, khususnya kepada anak-anaknya yang kini menjadi yatim serta isterinya yang kini bergelar balu, kita berdoa agar mereka tabah mendepani ujian Allah ini. Kepada rakan pembaca, marilah kita sama-sama menyedekahi roh arwah Tuan Haji itu dengan bacaan al-Fatihah di samping berdoa agar rohnya ditempatkan di dalam syurga bersama-sama dengan insan yang beriman.

6 comments:

  1. As-Salam adinda Zul,

    Al-Fatihah kita sama-sama sedekahkan buat roh jiran adinda itu . . . Allahyarham Tuan Hj Abdul Aziz Mokhtar. Takziah kpd kaum keluarganya.

    Beruntung benar nasib beliau. Di dunia lagi sudah ditunjukkan Allah swt akan balasan yang mulia terhadap segala kebaikan yang pernah beliau curahkan terhadap komuniti, bangsa dan agamanya.

    Kita belum ketahuan bagaimana pula caranya nanti!

    Ya Allah Ya Tuhan Yang Maha Esa . . . mudah-mudahan saja kami dikurniakan juga setinggi-tinggi kemuliaan sedemikian rupa . . . andainya kami dikira layak oleh-MU kelak. Amin.

    ReplyDelete
  2. As-Salam, Uda;

    Amin, amin, amin. Kalau boleh kita bertawasul dengan kebaikan yang kita lakukan supaya kita dapat masuk ke dalam jannah-Nya, alangkah baiknya, Da! Tetapi kita ini, adindalah maksudnya tu, masih jauh benar rasanya berbanding dengan arwah itu. Dinda sendiri tidak tahu, apakah bentuk kebajikan yang dilakukan yang setara dengan arwah itu.

    Tetapi, jangan putus asa. Manfaatkanlah kasih sayang Allah itu semaksimumnya.

    ReplyDelete
  3. As salam
    Sdra Berdua...
    Saya sokong!! Hehehe

    ReplyDelete
  4. As-Salam Sdr Nur Dihati,

    Terima kasih le menyokong kami berdua . . . mudah-mudahan dengan niat baik dan 'cahaya' di hati sdr itu . . . terkabul jua doa dan harapan kami ni oleh Allah swt . . . Amin.

    ReplyDelete
  5. As-Salam, Uda,

    Amin ... Amin ... Amin....

    ReplyDelete