Operasi AES, yang didakwa oleh pihak yang mengimplementasikannya
bahawa berperanan besar untuk “mengurangkan” kejadian kemalangan di jalan raya,
tidak akan diaktifkan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun
ini. Untuk makluman, cuti Tahun Baru Cina pada tahun ini jatuh pada hari
Ahad-Selasa (10 Februari-12 Februari). Hal ini bermaksud bahawa mulai hari Sabtu
(09 Februari) hinggalah pada hari Ahad minggu yang berikutnya( 17 Februari),
jalan raya akan berada dalam keadaan sibuk kerana banyak orang yang akan mengambil
cuti tahunan untuk memanjangkan cuti umum tersebut.
Walau bagaimanapun, pihak yang berkenaan memaklumkan bahawa
walaupun operasi AES akan dihentikan pada tempoh itu, pihak JPJ tetap akan
mengadakan operasi lain yang pernah dilakukan mereka bagi mengawal keadaan dan
bagi mengurangkan kemalangan, misalnya melakukan penyamaran di dalam bas, mengadakan
sekatan jalan raya, dsb.
Pada kebanyakan orang, langkah untuk menghentikan operasi AES itu
bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini sebenarnya amat aneh
dan luar biasa. Hal ini dikatakan demikian kerana, jika benarlah AES itu sangat
besar gunanya untuk “mengurangkan” kadar kemalangan di jalan raya seperti yang
didakwa oleh pihak yang berkenaan, operasinya tidak harus sama sekali
dihentikan, terutamanya pada musim-musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina ini.
Membebaskan pengguna jalan raya daripada perasaan takut untuk melanggar
undang-undang sangat tidak baik.
Banyak pihak yang mengatakan bahawa cadangan penghentian operasi
AES ini pada sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini tidak lain tidak bukan
sebagai tindakan penyelamat terhadap operasi AES itu sendiri. Tidak sukar untuk
kita bersetuju dengan pandangan yang demikian. Saban tahun, Ops-Ops Sikap yang dilakukan
oleh pihak PDRM tidak menampakkan hasil yang benar-benar dapat dibanggakan. Hal
ini dikatakan demikian kerana dalam tempoh Ops-Ops itu dilaksanakan, kejadian
kemalangan di jalan raya, termasuklah kemalangan maut, masih lagi tinggi.
Penurunannya masih lagi rendah.
Oleh itu, kerana menyedari hakikat itu, pihak JPJ membuat
keputusan untuk menghentikan operasi AES itu sementara waktu. Bayangkanlah, jika
operasi AES itu tetap dilaksanakan sepanjang tempoh sambutan perayaan Tahun
Baharu Cina yang akan datang ini, dan operasinya tidak berjaya untuk mengurangkan
kejadian kemalangan di jalan raya (tetap tinggi seperti tahun-tahun sebelumnya),
AES pasti akan sekali lagi menjadi sasaran kecaman masyarakat. Apabila hal ini
berlaku, masyarakat mempunyai poin baharu untuk memaksa JPJ menghentikan
operasi AES yang tidak berkesan itu sama sekali.
Hal ini mungkin andaian sahaja, tetapi kebenarannya tidak boleh
kita abaikan. Pengguna jalan raya masih lagi berani melanggar undang-undang –
memandu laju, melanggar isyarat lampu trafik, memandu secara melulu, memotong
barisan, dsb. Kesalahan ini akan terus dilakukan oleh pengguna jalan raya
kerana kekerapan mereka dikenakan tindakan undang-undang lebih rendah
berbanding dengan kekerapan mereka terlepas daripada tindakan undang-undang. Oleh
hal yang demikian, dalam hal ini, wajarkah kerajaan meletakkan tanggungjawab
pada AES untuk membentuk disiplin pengguna jalan raya?
Kerana ada pihak yang berkepentingan di balik kewujudan dan
pelaksanaan operasi AES ini, maka dapatlah kita katakan bahawa matlamat untuk
mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya hanyalah matlamat sampingan. Matlamat
yang hakiki ialah keuntungan. Dan kerana keuntungan itulah, imej AES ini –
mengurangkan kadar kemalangan – harus senantiasa terpelihara. Salah satu cara
untuk memeliharanya adalah dengan mengambil tindakan seperti yang hendak
dilaksanakan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang
tidak lama lagi ini. Pandai, pandai....
Assalammualaikum
ReplyDeleteSdra Zul...
Pelik jua akan permainan politikus Malaysia.
Saya ada terbaca tentang AES ini di tolak oleh Australia,
kerana kerajaan mereka berpendapat bahawa penggunaan AES ni hanyalah menguntungkan pihak terlibat dan menambahkan beban pengguna jalan raya.
Yang peliknya,lagi Malaysia pula mengguna pakai dengan alasan utk keselamatan.
Walhal berapakah banyak ops segala ops pihak berkuasa tetap saja gagal.
Bagi saya, sokong penuh kpd Sultan Selangor kerana mengharamkan penggunaan AES di selangor.
AES ini ambil gambar statik, jika kebetulan kita berada ketika si pemecut laju di ambil gambar, maka tidak mustahil kita turut terlibat.
Dan AES ini ada kpi, sekian2 untung pada tahun2 tertentu,
jadi ironinya, tiada siapa yg berniaga utk rugi, di sini kita dapat simpulkan bahawa AES adalah perniagaan dan bukan semata-mata utk keselamatan.
Wallahualam.
As-Salam, Sdr Nur,
ReplyDeleteMemang betul kata-kata Sdr. AES satu lagi projek BN untuk mengayakan kroni.