Biasa kita lihat orang segera berubah apabila ditimpa oleh
musibah (walaupun ada juga yang terus-menerus berdegil). Ada orang yang sejak
sekian lama melakukan kejahatan tidak lagi mengulangi kejahatannya apabila kekayaan
yang dinikmatinya terlungkup hingga menyebabkan dia menjadi miskin lalu menjadi
buruan bank. Sesetengahnya pula segera berubah apabila ditimpa oleh musibah
berupa kemalangan. Sebagai contohnya, apabila seorang ibu atau bapa kematian anak
dalam kemalangan, atau mereka sendiri ditimpa oleh kemalangan hingga
menyebabkan mereka mengalami kecederaan kekal, mereka segera berubah – daripada
tidak/kurang baik kepada baik/lebih baik. Orang begini orang yang terpuji
kerana senantiasa bersangka baik dan tidak menyalahkan Allah atas musibah yang
menimpa mereka. Mereka sedar bahawa yang baik itu daripada Allah, yang buruk
itu akibat daripada perbuatan mereka sendiri. Malahan, banyak antara mereka yang
mengangkat musibah itu sebagai petunjuk/hidayah Allah kepada mereka.
Tetapi, bukanlah sesuatu yang aneh apabila anda melihat
dengan mata kepala sendiri perihal orang yang bergelumang dengan dosa yang
tidak endah akan apa-apa yang menimpa diri mereka. Musibah yang menimpa dirinya
langsung tidak dijadikan sebagai peringatan daripada Allah yang menghendakinya membetulkan
diri. Yang kaki judi, terus menjadi kaki judi walaupun Allah telah memberinya
amaran kecil dengan kejadian dia disengat oleh tiga empat ekor tebuan, misalnya.
Yang culas solat terus dengan sifat culasnya itu walaupun dia melihat dengan
mata kepalanya sendiri perihal kejayaan rakannya dalam perniagaannya sedangkan
perniagaannya sendiri hanya cukup untuk menampung makannya sahaja. Orang-orang
begini tergolong sebagai orang yang tidak rasional. Si penjudi lebih senang
memaki dan menghamun serta mencelakakan tebuan kerana menyengat mereka hingga
menyebabkan mereka demam. Si peniaga lebih seronok menyalahkan Allah dan
menuduh Allah tidak adil kerana tidak memberinya keuntungan dan kesenangan
seperti peniaga lain.
Datuk Siti Norhaliza dikatakan bahawa sudah berubah
kepada berpenampilan lebih muslimah kerana bersedia untuk memakai tudung litup.
Sesetengah orang mendakwa bahawa punca beliau mengambil keputusan yang demikian
kononnya adalah kerana kemalangan yang menimpa suami yang dikasihinya, Datuk K.
Wallahua‘alam. Kalau benar, semua peminat beliau patut bersyukur kerana penghibur
pujaan mereka menanggap musibah sebagai petunjuk lalu segera memulakan langkah untuk
menjadi lebih baik. Saya secara peribadi memahukan beliau mengambil langkah
yang lebih drastik – berhenti bernyanyi kerana lemak merdu suaramu, wahai Datuk
Siti Norhaliza, aurat. Kalaupun bukan aurat, cuba kamu bayangkan begini –
betapa banyak orang yang pernah, masih, dan akan menangguhkan/melewatkan solat
mereka semata-mata kerana leka dan tertarik untuk menonton rancangan televisyen
yang menzahirkan dirimu pada waktu Maghrib atau Isyak. Penonton memang salah
kerana berleka-leka dengan program yang sia-sia, tetapi siapakah yang
memperdayai mereka?
Saya pun sekarang sedang berdepan dengan musibah – bakal
kehilangan pekerjaan. Banyak masalah yang bakal saya depani jika dalam masa
terdekat saya tidak beroleh pekerjaan baharu sebagai ganti. Saya tidak
menyalahkan sesiapa atas musibah ini kerana Allah Maha Mengetahui apa-apa dan
mana-mana yang lebih baik untuk setiap hamba-Nya. Malah saya bersyukur
kepada-Nya kerana dengan kejadian itu, saya kembali kepada diri – mencari
kesalahan dalam diri dan tentulah Allah menghendaki saya membetulkannya. Sebenarnya,
pekerjaan senantiasa ada dan terpulang kepada diri kita sendiri untuk
melakukannya. Peniaga Aceh di kawasan kediaman saya sampai mampu untuk membeli
rumah hingga mampu mengubah suai rumah itu seperti banglo! Peniaga pasar malam
mampu memiliki kereta yang lebih besar daripada yang saya miliki, memiliki
telefon bimbit yang lebih canggih daripada saya, dan dalam kalangan mereka,
banyak yang memiliki kediaman yang selesa. Jadi, haruskah saya mengeluh?
Musibah harus diladeni dengan rasional. Berkeluh-kesah
akan menokok masalah, tidak diendahkan kita akan terus berdosa, redho akan
menjadikan kita bertambah baik.
No comments:
Post a Comment