Wednesday, May 16, 2012

Kalian Sebahagian daripada Diri Ini

Cikgu Sahlan, Cikgu Sulaiman, Cikgu Hamzah Abdullah, Cikgu Aspani Ibak, Cikgu Asiah, Ustaz Abdul Manaf Selamat, Cikgu Ronny Linoby, khususnya Guru Besarku,  Cikgu  Hamzah Alias – adalah antara manusia yang bernama guru yang melorongkan fikiranku menjadi tahu, kenal, dan kemudian bijaksana mengenal 1, 2, 3 dan angka-angka seterusnya serta A, B, C selain alif, ba, ta dan huruf-huruf lain hingga kemudiannya aku pintar membaca, menulis, dan mengira. Mereka guruku di sekolah rendah. Aku menghargai jasa mereka dan kepada Cikgu Hamzah Abdullah dan Ustaz Abdul Manaf Selamat yang telah pergi menghadap Ilahi, al-Fatihah. Aku berdoa agar tunjuk ajar kalian yang baik-baik yang hingga kini memberikan manfaat kepada manusia, sama ada daripada diri ini atau daripada murid-murid kalian yang lain, akan terus menjadi amal jariah kalian, amin.

Mengingat nama mereka lebih mudah daripada mengingat nama guru-guruku yang di sekolah menengah. Aku mungkin lupa akan kebanyakan nama mereka, tetapi jasa mereka tetap sama – menaburkan ilmu kepada anak-anak yang dahaga akan pengetahuan. Guru Besarku hingga aku menamatkan persekolahan menengahku – Cikgu (Almarhum) Saranom Kalimon – dan yang lain-lainnya – Cikgu Sabariah Hamzah, Ustaz Musa, Ustaz Yahya Salam, Ustaz Sulaiman, Cikgu Koh, Cikgu Yazid, Cikgu Zamani, Cikgu Hassan Zainun, Cikgu Shafie, Cikgu Ahmad Jidin, Cikgu Zaid Abu Samah, Cikgu Syed Khalid, Cikgu Mazlan, Miss Phang, Cikgu Baharum Kemat, Cikgu Mohd. Aini, Cikgu (Datuk) Yassir Haji Ikhsan,  Cikgu Ramli, Cikgu Mokhtar, dan puluhan nama lain yang tidak dapat kuimbas nama mereka, keberadaan aku sebagai aku kini sebahagiannya adalah kerana kalian. Terima kasih dan al-Fatihah jua kepada yang telah ke alam barzakh.

Khusus kepada bapa saudaraku, bekas guru yang menjadi pencetus kegilaanku kepada dunia sastera, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mansor Abdullah, serta kepada Profesor Dr. Awang Sariyan, bekas guru yang menjadi pencetus minatku kepada bahasa ibundaku, kalian akan terus menjadi mentorku. Terima kasih, Allah SWT pasti akan membalas jasa kalian, seluruhnya.

Kepada semua insan yang masih menjadikan guru sebagai tugas rasmi, termasuklah sahabat-sahabatku, Cikgu Abdul Ghalib Yunus, Cikgu Amin Minhad, Cikgu Ghazali Lateh, Cikgu Mohd. Khir Kassim, Cikgu Azhar Bahari, Cikgu Choo Say Tee, Cikgu Abdul Samad Sadari, Cikgu Faridul Adras Ismail, Cikgu Saiful Bahri Mahfudz, dan puluhan nama lain yang tidak sempat muncul dalam ingatanku – Selamat Hari Guru dan berkhidmatlah kerana Allah.

Benar sekali kata Almarhum Datuk Dr Usman Awang, “Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku, Budi yang diapungkan di dulang ilmu, Panggilan keramatcikgukekal terpahat, menjadi kenangan ke akhir hayat. Dan sangat benar juga ungkapan Datuk Abdul Samad Said bahawa kalian memang merupakan “Obor hemah kehidupan bangsa”.

GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979

OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru – atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia – sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru – minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kembali semua buku,
sempat ditinggalkan asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 April 1988

No comments:

Post a Comment