Wednesday, September 22, 2010

Hal-hal yang Tidak Masuk Akal

Perkara tidak masuk akal akhir-akhir ini telah mencemari kesiuman kita, sama seperti malware yang sedang mencemari beberapa Blog. Malware, seperti yang kita ketahui, dapat diatasi dan dibasmikan tetapi perkara tidak masuk akal yang mencemari minda kita ada yang tidak dapat dinyahkan.

Dua hari lalu, suatu perkara tidak masuk akal telah mencemari kesiuman kita. Seorang individu berbangsa Melayu yang namanya tidak pernah berada di sisi Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary apatah lagi Tan Sri Ananda Krishna dan Tan Sri Robert Kuok dalam senarai bilionaire Malaysia kononnya telah menyumbangkan RM4 bilion kepada Kerajaan Kelantan. Orang Melayu itu bernama Abdul Rahim Abdul Wahab, Pengerusi Eksekutif syarikat I’DA World Group Sdn. Bhd. (l’DA World).

Yang menjadikan hal itu tidak masuk akal ialah jumlah RM4 bilion itu sangat besar, rasa-rasanya lebih besar daripada wang ihsan tahunan Petronas! I’DA World Group Sdn. Bhd. (l’DA World) syarikat yang mengendalikan perniagaan berasaskan petroleum seperti Petronaskah? Perniagaannya pelbagai seperti perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukharykah? Huh, teringat saya akan Elie Youssef Najem, “jutawan” Lubnan itu. Dia diberitakan hendak mendermakan RM 1 bilion kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) suatu ketika dahulu! Walau bagaimanapun ternyata lelaki Arab itu penipu besar dan sikapnya yang gemar menipu ke sana dan ke sini itu telah menyebabkan dia dijatuhi hukuman penjara 6 tahun baru-baru ini.

Satu lagi hal yang tidak masuk akal ialah kenyataan Sdr Morat Pora tentang ketetapan SPR yang terkini, iaitu rakyat yang baru mendaftarkan diri sebagai pemilih pada tahun ini tidak layak untuk mengundi jika Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan pada tahun hadapan (Morat Pora ialah Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Pulau Pinang).

Ketetapan SPR itu tidak masuk akal. Hal ini demikian kerana rakyat disuruh segera mendaftar sebagai pemilih apabila telah mencapai umur 21 tahun. Rakyat berkesedaran tinggi yang mencapai usia itu segera memenuhi tanggungjawab tersebut dengan mendaftarkan nama mereka sebagai pemilih baharu berdasarkan empat fasa yang dijadualkan oleh pihak SPR sendiri, iaitu Januari-Mac, April-Jun, Julai-September, dan Oktober-November.

Alangkah aibnyanya SPR kalau satu fasa pendaftaran pemilih baharu pun tidak dapat diproses oleh pihak SPR! Alangkah lembapnya SPR! Alangkah ruginya memperuntukkan sejumlah imbuhan sebagai gaji kepada kakitangan di SPR ini!

Perkara tidak masuk akal ini tujuannya hendak mendungukan rakyat, tetapi yang jelas mereka itulah yang kelihatan lebih dungu.

2 comments:

  1. Sdr. Zul,

    Ada orang yang menipu tetapi tidak memiliki 'seni menipu' - menipu dalam terang. Bukanlah maksud saya bahawa menipu itu dihalalkan, tetapi penipu jenis yang tidak 'berseni' itu memang jelaslah kedungunannya. Penipu 'berseni' tidak dungu pda zahirnya tetapi tetap dungu juga di sisi hukum agama, kerana ia jahil tentang adanya kuasa yang maha mengetahui perbuatannya menipu.

    Maka sistem pendidikan hendaklah bukan hanya menitikberatkan usaha melahirkan lepasan sekolah dan universiti yang pintar dan pandai semata-mata, tetapi juga yang bijak (menggunakan akal yang dipandu oleh hukum).

    ReplyDelete
  2. Salam, Prof,
    Saya bersetuju dengan cadangan Prof.

    Yang jelas, Prof, penipuan di negara kita kebanyakannya berlaku atas kepentingan/sebab-sebab politik. Oleh sebab dalam sesuatu hal penipuan sudah berlaku pada peringkat A, maka mereka terus menipu pada peringkat B, C, dan sampai kesudahannya, semata-mata hendak melindungi penipuan pada peringakt A tadi.

    Polis yang cekap itu (lihat sahaja kecekapan mereka mengesan kehilangan jutawan kosmetik itu) pun menipu juga. Dalam kes berkasta tinggi, mereka memperlihatkan kecekapannya, dalam kes berkasta rendah, mereka macam hampas!

    Kita selalu didungukan, termasuklah oleh slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" itu.

    ReplyDelete