Monday, September 27, 2010

Kemakbulan Doa Rahsia Allah

Apabila kita merasakan bahawa sesuatu hal itu penting, walaupun pada pandangan sebilangan orang hal itu sangat kecil, berdoalah. Allah SWT sentiasa ada untuk mendengar doa kita. Jika hal yang kita angkat sebagai penting itu memerlukan Dia memakbulkannya pada detik itu juga atau pada hari itu juga, yakinlah bahawa Dia pasti akan memakbulkannya.

Semalam isteri saya memesinbasuh pakaian kerana tidak sempat melakukannya pada hari Sabtu seperti kelazimannya kerana terpaksa pergi ke luar kawasan. Tugas menjemur pakaian terletak di bahu saya. Tatkala menjemur itu, mentari pagi bersinar terang. Oleh sebab itu, isteri saya memesinbasuh pakaian pusingan kedua.

Semasa saya menjemur pakaian yang dimesinbasuh buat kali kedua itu, saya mendongak memandang langit. Awan gelap bergumpal-gumpal di sana sini. Saya langsung teringat bahawa sekarang dapat dikira sebagai musim hujan kerana sudah beberapa hari hujan turun pada tengah hari atau awal petang. Minggu lalu, hujan lebat dan angin kencang teah menumbangkan beberapa batang pokok di sekitar tempat saya bekerja di Petaling Jaya.

Apabila melihat tompok awan hitam yang banyak, saya segera teringat akan “bacaan” arwah nenek saya apabila mendapati awan bakal menurunkan hujan tatkala beliau menjemur pakaian, menjemur padi, menjemur ikan yang diasinkan, dan sebagainya. Beliau akan menyebut dengan berlagu-lagu suatu ungkapan yang menarik, iaitu “Bara-bara api, katak bunting nak mandi”. Benar, saya tahu akan tujuan ungkapan itu – supaya hujan jangan turun. Tetapi, selalunya hujan tetap turun, dan saya serta adik sayalah yang akan bercempera untuk mengangkat kain di ampaian, atau padi di jemuran, dan sebagainya lagi.

Setelah berumah tangga, saya pernah mendengar arwah ibu mentua malah isteri saya sendiri “membaca” ungkapan yang sama dalam dialek Negeri Sembilan tetapi sekadar “Baro-baro api” berulang-ulang kali. Rupa-rupanya ungkapan itu digunakan merentas sempadan oleh masyarakat Melayu – nenek saya di Perak/Selangor dan ibu mentua saya di Negeri Sembilan – atas keyakinan yang sama.

Saya tidak jadi mengungkapkan bacaan itu yang saya bimbangi akan membawa saya ke arah keyakinan yang lain. Sebaliknya, saya langsung bermunajat ke hadrat Allah – “Ya Allah, janganlah Engkau biarkan awan mendung melindungi sinar matahari-Mu pada hari ini. Janganlah Engkau turunkan hujan-Mu di kawasan ini, ya Allah. Sebaliknya, ya Allah, Engkau alihkanlah hujan-Mu itu ke tempat lain untuk seketika.” Demikianlah isi doa saya – kecil pada sebilangan orang tetapi penting kepada saya. (Saya tidak suka memakai pakaian yang kering di dalam rumah kerana menghasilkan bau yang kurang enak.)

Tatkala berdoa itu, di langit ada segumpal awan gelap sedang melindungi matahari. Selepas berdoa, awan itu beredar dan selepas matahari memancar beberapa ketika, segumpal lagi awan gelap menutupi cahaya matahari tetapi hanya seketika. Selepas itu, gumpalan awan gelap yang kedua itu berlalu dan matahari pun memancar seterang-terangnya.

Sehingga jam 3:00 petang, hujan tidak turun. Setelah pasti bahawa semua pakaian kering, saya keluar mengangkatnya. Cuma ada sehelai seluar yang masih lembap di bahagian pinggangnya. Hampir jam 4.00 petang, kakak ipar dan suaminya datang. Kami makan bersama-sama.

Selepas berehat, saya pergi ke belakang rumah untuk membuang dahan-dahan pokok petai belalang yang kembali bertunas selepas pokok itu ditebang oleh pihak MPKj beberapa bulan yang lalu. Saya juga membersihkan sampah sarap yang dibuang oleh jiran-jiran yang seperti tidak faham akan erti kebersihan. Biras saya menyertai saya.

Kami berdua membakar sampah sarap itu. Sekitar jam 5:00 petang, hujan renyai turun seketika. Kami terus melonggokkan dahan-dahan kayu, batang dan dahan pokok palma yang ditebang jiran yang terdampar di situ. Angin yang agak kuat membantu pembakaran. Hampir jam 6:00 kami masuk ke dalam rumah. Sekitar jam 6:30 petang, adik ipar saya dan keluarganya tiba dan tidak lama kemudian hujan turun dengan mencurah-curah.

Subhanallah, alangkah hebatnya Allah SWT! Apa-apa yang kita hajatkan pada hari itu dan kita memang benar-benar mengharapkan bantuan-Nya, Dia langsung menunaikannya. Lantas saya teringat akan doa-doa yang saya panjatkan saban hari selepas solat lima waktu – meminta diberi kekayaan, dibebaskan daripada beban hutang, meminta anak berhenti merokok, dan sebagainya – masih belum dimakbulkan sehingga kini.

Mengapakah demikian? Adakah kerana kita tidak menspesifikkan hajat kita itu – kita tidak mengatakan bentuk hajat kita itu yang sebenarnya dan kita tidak menyatakan bilakah perkara-perkara yang kita minta itu kita kehendaki?

Allah Maha Mengetahui sebab-musabab Dia tidak memakbulkan doa kita. Barangkali Dia merasakan bahawa doa itu lebih elok tidak diperkenankan atau lebih elok lambat diperkenankan. Redholah dan teruslah berdoa! Makbul atau tidak sesuatu doa rahsia Allah.

No comments:

Post a Comment