Tuesday, July 20, 2010

Yang Wajar pada Kita Belum Tentu Wajar pada Pihak Lain

Marah betul kita apabila Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW, dipersendakan oleh penganut agama lain dengan pelbagai cara. Marah dan menyinga betul kita apabila ada bangsa Malaysia yang bukan Melayu yang mempersenda-sendakan bahasa dan bangsa Melayu dengan pelbagai cara. Kita memang dan wajar marah akan persendaan yang sedemikian rupa. Oleh itu, kita haruslah berpendirian supaya tidak melakukan perkara yang kita tidak suka orang lain lakukan terhadap kita.

Namun demikian, kadangkala kita terlepas pandang akan hal-hal seperti ini. Masih banyak orang yang mempersenda-sendakan adat kebiasaan orang lain. Memanglah kadangkala yang kita persendakan itu diterima dengan lapang dada dan hati terbuka oleh segelintir pihak yang kita persendakan itu. Walau bagaimanapun, ada banyak orang di pihak yang kita persendakan itu yang tidak menyukai sendaan sampai tumbuh rasa marah dan dendam dalam hati mereka.

Pada suatu malam beberapa hari yang lalu, kerana sukar tidur, saya menghadap komputer riba di depan TV sambil membuat “kerja” saya. Saya hanya sesekali memandang ke arah TV. Hal ini bermaksud bahawa pada kebanyakan waktu, saya hanya “mendengar” TV. Begitulah keadaannya, selepas satu rancangan ke satu rancangan hingga tiba ke sebuah drama. Saya tidak perasan akan judul drama itu. Jam pada waktu itu sudah melewati pukul tiga lebih, kalau saya tidak silap.

Semasa asyik bekerja sambil “mendengar” TV itu, saya terdengar akan dialog antara pelakon drama lelaki dengan sekumpulan gadis (mungkin melibatkan pelakon wanita utamanya). Antara lain dialog itu mempersendakan filem Tamil kerana adegan tariannya yang berkeliling pokok dan melibatkan persalinan yang banyak, pergaduhan yang berlarutan, dan ada beberapa sendaan lain yang tidak dapat saya ingat dengan baik. Sendaan itu diselang-selikan dengan hilai tawa pelakon lain. Saya tidak ambil pusing pada mulanya tetapi selepas dua tiga minit dialog itu usai, baru saya sedar akan ketidakwajaran dialog itu. Saya mendongak untuk mengetahui siapakah pelakon yang menuturkan dialog itu, tetapi sudah bertukar ke adegan lain. Saya kemudiannya menonton drama itu hingga hampir usai.

Ya, memang begitu realiti filem-filem Tamil, malah dalam filem-filem Hindi juga. Ada nyanyian, ada tarian. Ada peluk dan dakap serta pelbagai sentuhan lain. Saya yakin, kita sendiri pernah membicarakannya (atau mempersendakannya) sesama kita, dalam kelompok yang kecil. Malah, ada juga orang India yang turut mempersendakan hal ini. Seorang rakan wanita saya yang berketurunan India (sudah mendiang beliau), malah mengutuk gaya pelakon India yang gemar menggoyang-goyangkan kepala dan mengherdik-herdikkan suara apabila bercakap.

Tetapi, mempersendakan hal itu dalam sesebuah drama melalui dialog yang sinis dan sedikit sarkastik sangat tidak wajar. Hal ini demikian kerana drama itu ditonton ribuan atau mungkin jutaan orang dan pelakon dalam drama itu (malah drama itu sendiri) sedang memburuk-burukkan ciri-ciri signifikan dalam sebuah filem yang sudah tentu diminati oleh salah satu bangsa yang ada di negara kita. Dalam erti kata yang lebih mudah, kita sedang mempersendakan suatu bentuk “budaya” dalam drama Tamil/Hindi dan oleh sebab persendaan itu terdapat dalam drama, secara tidak langsung persendaan itu telah didokumentasikan.

Kalaulah kelak pada suatu hari nanti mereka menerbitkan drama berbahasa Melayu yang berlatarbelakangkan masyarakat India dan dalam drama itu ada unsur-unsur sendaan dan penghinaan tentang bangsa kita, bagaimana? Apakah perasaan kita pada waktu itu?

Saya berpandangan bahawa kalau kita memang suka menjadikan sesuatu sebagai sendaan, libatkanlah hal-hal yang berkisar dalam kelompok masyarakat kita sahaja. (Itu pun janganlah sampai kita memburuk-burukkannya dengan gelaran yang pelbagai – Maha Firaunlah, Firaun Kecillah, Al-Juburilah, Al-Sembaplah, dan macam-macam lagi. Kalian suka diberi gelar-gelar yang hodoh-hodoh seperti itu?) Hal-hal yang berkisar tentang budaya bangsa lain tidak perlulah diusik. Begitu juga halnya dengan bangsa lain, tidak usahlah kalian sampai mempersendakan hal-hal yang berkisar tentang budaya kami, orang Melayu.

No comments:

Post a Comment