Thursday, July 15, 2010

MASALAH KECIL AKIBAT BESAR DARIPADA KERENAH ANAK-ANAK KITA

Banyak rakan kenalan, saudara-mara, dan jiran tetangga saya yang sudah berkahwin, yang mempunyai anak, dan anak itu pula sudah berusia remaja, berkata hal yang sama tentang anak-anak mereka apabila saya dan isteri berkata tentang hal ini. Masing-masing mengeyakan dan sesetengahnya mengeluh manakala selebihnya berlapang dada kerana sedar bahawa memang demikian hakikat anak-anak yang berusia remaja.

Hal yang saya maksudkan itu ialah anak saya, sejak menginjak usia remaja, sangat susah hendak menyertai kami menghadiri majlis kenduri-kendara dan ziarah keluarga. Ada kalanya dia terpaksa dipujuk sakan, ada pada waktu tertentu hingga kami seperti merajuk, dan semasa dia masih bersekolah pernah juga kami mengugut begitu dan begini. Dia akan mengikuti kami kemudiannya, tetapi kami tidak pasti sejauh manakah kerelaannya dalam hal ini.

Ahad lalu, rakan baik saya menjemput saya dan isteri di rumah untuk pergi ke dusun durian seorang tauke di Mantin, Negeri Sembilan. Dalam perjalanan ke situ, isteri saya berbual dengan Tun, isteri rakan baik saya itu. Isteri saya kemudiannya saya dengar bertanya kepada Tun tentang anak-anaknya. Salah seorang anaknya ada di rumah, tetapi enggan mengikut, kata Tun. Budak-budak sekarang memang begitu, payah nak berjalan dengan kita, Tun menokok. Isteri saya mengeyakan penyataannya. Anak kami pun begitu, kata isteri saya. Payah betul nak berjalan bersekali dengan kami sekarang ini, kata isteri saya lagi.

Sebelum itu, hal ini sudah sudah lazim saya dengar daripada mulut teman sepejabat, daripada mulut teman setaman perumahan, daripada mulut adik-adik sendiri, dan pelbagai jenis mulut lagi. Ada seorang dua kenalan yang mempunyai anak yang bersedia untuk mengikut mereka ke mana-mana, dengan kuasa eksekutif bapa, dengan kuasa mandatori yang ada pada mereka. Seorang dua yang lain pun berjaya “mengangkut” anak-anak mereka ke sana ke mari, tetapi usia perkahwinan mereka baru empat atau lima tahun, dan anak mereka baru berusia 3 atau 4 tahun. Bolehlah!

Persoalan pokoknya ialah, mengapakah anak-anak remaja kini sukar benar untuk menyertai ibu bapa mereka dalam hal-hal sosial yang membabitkan ibu bapa mereka sendiri? Walhal saya sendiri (saudara saudari pun demikian juga, rasa saya), semasa menginjak usia remaja, seronok sekali kalau dibawa datuk dan nenek saya ke kampung mereka di Perak kerana saya berpeluang untuk bertemu dengan sepupu-sepupu dan bapa-bapa saudara sepupu yang seusia dengan saya.

Sesetengah anak yang enggan ikut itu, tatkala ditinggalkan, tidak pergi ke mana-mana pun. Mereka hanya memerap di rumah (seperti anak teman saya yang isterinya bernama Tun itu), sekadar menonton TV/VCD atau membaca novel. Sesetengahnya pula bertandang ke rumah teman setaman, bermain Play Station, berbual, dan sebagainya. Tentang anak saya, dia akan pergi memancing di kolam berbayar dengan rakannya (dia sangat gemar memancing, mewarisi perangai almarhum datuknya – bapa mentua saya).

Menurut beberapa orang kenalan dan tetangga saya, antara alasan yang diberikan anak-anak mereka untuk menolak ajakan mereka ialah “bosan”/“boring”, “tak tahu nak buat apa”, “lain kalilah saya ikut”, dan sebagainya. Seperti alasan yang diberikan oleh kenalan dan tetangga saya itu, anak saya pernah memberikan alasan “boring”! Alasannya itu telah menyebabkan dia terpaksa melihat muka merah padam saya serta kemarahan luar biasa saya. Berasa “bosan”/ “boring” untuk bertemu dengan sepupu-sepupu, ibu dan bapa saudara, serta datuk dan nenek saudara sangat tidak wajar. Sejak itu, dia akan berhati-hati dan sedapat mungkin dia akan menyertai ziarah saya ke rumah adik-beradik serta ibu dan bapa saudara saya.

Kerana sudah menjadi semacam fenomena biasa, hal ini kita anggap sebagai masalah kecil walhal hakikatnya hal ini dapat merenggangkan hubungan silaturahim. Fenomena ini menjadi sangat buruk kalau sampai anak-anak kita lebih senang dan seronok untuk mendampingi rakan-rakan mereka, lebih mempercayai rakan-rakan mereka, lebih taasub terhadap rakan mereka sehingga kita (serta ahli keluarga kita yang lain) tidak lagi menjadi tempat untuk mereka mengadu masalah.

(Saya dan isteri sudah merapatkan hubungan anak kami dengan datuk dan neneknya serta semua ibu bapa saudara, dan sepupunya sejak dia kecil. Kebetulan dalam keluarga besar kami, setiap orang – sama ada adik-beradik kami, ibu bapa saudara kami, dan sepupu-sepupu kami – sangat akrab dengan kami dan dengan itu anak saya tetap mendapat layanan mesra daripada mereka walaupun tidak kerap bertemu.)

No comments:

Post a Comment