Monday, March 5, 2012

Dakwat Kekal, Program Pemutihan, dan Peningkatan Pengundi

Rahsia di balik “persetujuan” kerajaan untuk menggunakan dakwat kekal pada PRU yang akan datang ini (telah difatwakan sebagai harus oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 11 Januari 2012 dan kemudiannya telah diwartakan oleh SPR pada 13 Februari 2012) menjadi pertanyaan kepada sebilangan orang. Pertanyaan ini timbul kerana beberapa hari sebelum PRU 2008 dahulu, kerajaan yang sama secara tiba-tiba telah menarik balik penggunaan dakwat kekal walaupun sebelumnya SPR telah menerima tuntutan BERSIH untuk menggunakan dakwat kekal dalam PRU itu.

Penarikan balik penggunaan dakwat kekal oleh kerajaan pada waktu itu telah menimbulkan pelbagai tanggapan dalam kalangan sebilangan rakyat. Alasan penarikan balik itu — kononnya polis telah mengesan adanya usaha untuk mensabotaj proses PRU di Kelantan, Kedah, dan Perlis — meragukan mereka. Mereka sebaliknya menuduh penarikan balik itu diambil untuk memastikan usaha kerajaan menggunakan khidmat pengundi hantu dan pengundi berbilang nama/klon tidak disedari oleh pihak lawan. Walau bagaimanapun, tuduhan itu “kelihatan tidak benar” kerana kalau pihak kerajaan ada menggunakan khidmat pengundi hantu dan pengundi berbilang/klon, tentu negeri-negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang, dan Selangor tidak jatuh ke tangan pembangkang.

Di balik persetujuan untuk menggunakan dakwat kekal itu, sehingga hujung tahun 2011, ada beberapa kawasan Parlimen yang mengalami peningkatan jumlah pengundi/pemilih berdaftar yang sangat luar biasa. Seperti yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Serdang, YB Teo Nie Ching, di Hulu Selangor sahaja, jumlah pengundi berdaftarnya telah meningkat 23.2% (daripada 63,593 orang [M = 53.94%, C = 26.67%, I = 18.98%, L = 0.41%] kepada 78,370 orang. Kita tunggu peratus pecahan yang terbaharu). Di kawasan Parlimen Hulu Langat (penyandangnya YB PR/PAS), jumlah pengundi baharu di situ telah meningkat 21.7% (daripada 90,319 kepada ... kira jumlahnya sendiri). Ada beberapa kawasan Parlimen lain yang kenaikannya pengundi baharunya begitu mendadak seperti Selayang dan Serdang.

Ada orang yang mengaitkan kenaikan ini dengan program pemutihan PATI oleh KDN — daripada dicadangkan untuk dihantar pulang ke negara asal, pendatang asing ini telah diberi status warga negara dan dilayakkan untuk mengundi (beberapa pembongkaran, seperti kes Mismah, telah dilakukan dan rujuklah kepada pembongkaran itu). Orang-orang ini berandaian bahawa, setelah dilayakkan untuk mengundi, pihak kerajaan dengan bantuan SPR, telah menempatkan “warga negara baharu” itu di kawasan-kawasan kritikal, seperti di Hulu Langat, Serdang, Selayang, dan sebagainya. Jadi, jika hanya bersandarkan pembongkaran tersebut, sebab-musabab berlakunya peningkatan jumlah pengundi berdaftar di Hulu Selangor yang banyak estet itu tidak sukar untuk kita jelaskan.

Persoalannya, tergamakkah kerajaan menggadaikan negara dengan mewarganegarakan pendatang asing bagi membolehkan pendatang asing itu menjadi pengundi? (Rata-rata pendatang asing itu pula hanya merupakan buruh, bukannya profesional seperti di Singapura itu.) Tuduhan yang dikenakan oleh pihak-pihak terbabit kepada pihak kerajaan itu sebenarnya amat berat. Walau bagaimanapun, bagi sebilangan orang, kalau kuasa yang menjadi perkiraan penting di pihak kerajaan, perbuatan mewarganegarakan pendatang asing itu bukanlah sesuatu yang aneh.

Banyak pihak yang merasakan bahawa dengan adanya penggunaan dakwat kekal pada PRU akan datang, hal yang berkaitan pengundi hantu dan pengundi berbilang/klon tidak lagi menjadi isu besar kepada seteru kerajaan sekarang. Isu besar yang dihadapi oleh seteru kerajaan sekarang ialah hal yang dibongkar oleh orang seperti YB Teo Nie Ching ini dan sebelum itu oleh YB Tan Kok Wai (YB Cheras) serta sebelum ini oleh pihak PAS dan lain-lain. Kalau hal yang dibongkar itu betul, bagaimanakah mereka hendak mendepani dan menanganinya pada hari pengundian kelak?

Sebagai tambahan, dengan nasib yang menimpa YB DS Anwar Ibrahim semasa hendak berceramah di Semberong bulan lalu, nasib yang menimpa puterinya, Nurul Izzah di Pahang, serta nasib Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Lee Kee Hiong yang mendakwa telah dikasari di luar SRJK (C) Bandar Sungai Long semasa lawatan PM baru-baru ini, orang menggambarkan bahawa akan berlaku satu lagi kemungkinan pada PRU akan datang — gejala kesamsengan. Adakah unsur samseng akan digunakan oleh pihak-pihak tertentu pada PRU akan datang dan jika digunakan, apakah tujuannya? Nazubillah, kita berdoa agar Allah Yang Maha Penyayang melindungi kita daripada musibah itu. Lagipun, polis kita cekap, berani, dan amanah. Mereka tidak akan membiarkannya berlaku. 

4 comments:

  1. Pemerintah perlu menyatuni kehendak rakyat dan pada masa yang sama Pembangkang pula perlu mencari jalan duduk bersama menyelsaikan permasaelahan yang tak kunjung padam setiap kali diadakan PRU di Malaysia.
    Kadang-kadang memalukan, kita mengejar untuk menjadi negara maju pada 2020 tetapi pada masa yang sama kita tidak maju dalam merungkai masaelah yang kita sendiri mampu bertindak dan menyelsaikannya.
    Pemilihan untuk menjadi Wakil Rakyat umpama jual beli, jika didalam proses jualbeli itu terdapat unsur menipu biar satu sen pun maka keseluruhan proses jualbeli itu haram, begitu juga didalam pemilihan Wakil Rakyat sewaktu Pilihanraya, andai terdapat unsur penipuan dalam proses mengundi maka jadilah Wakil Rakyat yang dipilih bertunjangkan haram dalam kehidupannya. Rata-rata ramai yang tidak mahu menjadi Wakil Rakyat Haram termasuk kita yang mengundi tidak mahu berWakil Rakyatkan WRH (Wakil Rakyat Haram). Pemerintah dan Pembangkang perlu perpaksikan syariat Islam dalam semua kerja negara.

    ReplyDelete
  2. Salam Sdr Abd. Rahman,
    Hal yang demikian, iaitu untuk mendapatkan Wakil Rakyat Halal, menjadi seperti tidak mungkin berlaku di sesetengah tempat di negara kita kerana banyak orang berpolitik demi jawatan dan kemudian kuasa. Kerajaan di Perak sekarang kerajaan apa?

    Na'uzubillahi min zalik.

    ReplyDelete
  3. Waalaikummusalam Sdra Zul,

    Benar apa yang Sdra catatkan, begitulah insan ciptaan Allah tidak pernah bersyukur pada yang diperolehi dan akhirnya jadi Qarun dan Firaun yang dihina sampai akhirat.
    Mujur Kerajaan di Perak sahaja berlaku peralihan kuasa tidak beretika ini, andai kata YB Anuar Ibrahim berjaya mempengaruhi lain-lain MP untuk lompat kePakatan Rakyat pada 16Sep 2009 entah kerajaan apa pula yang ingin kita namakan?.
    Yang sedihnya terdapat ahli-ahli PAS dan PR yang beria-ia dan tidak sabar hendak ke Putra jaya meski pun dengan jalan yang tidak sah dan cela dirancang oleh YB DSAI. Biar kita kalah dalam kemenangan tapi jangan menang dalam kekalahan.

    ReplyDelete
  4. Salam, Sdr Abd. Rahman,
    DSAI harus bersyukur kerana Allah SWT tidak menyempurnakan rancangannya. Dia tidak mahu hamba-Nya yang mendakwa dirinya berjuang untuk Rakyat dan Keadilan terjebak dalam hal yang demikian.

    Ingat, matlamat tidak menghalalkan cara.

    ReplyDelete