Monday, April 2, 2012

Kisah Si Awang Hitam dan Sang Algojo

Kejadian “melutu” orang oleh sekumpulan geng/orang bukanlah perkara baharu di negara ini. Hal ini berlaku di semua peringkat, sama ada di sekolah rendah, di sekolah menengah, mahupun di peringkat yang lebih tinggi yang melibatkan orang dewasa, daripada orang awam hinggalah kepada pihak berautoriti seperti RELA, tentera, dan pihak polis.

Yang lebih malang, kejadian  “melutu” orang ini ada yang membabitkan kehilangan nyawa orang/pihak yang dilutu. Mungkin semasa “melutu” itu, rasa geram dan marah melebihi rasa sabar dan siuman dalam diri si pelutu. Sukakah Allah SWT akan orang yang meletakkan hukum di tangan masing-masing sebelum orang yang “dilutu” itu benar-benar dibuktikan bersalah?

Siapakah agaknya daripada tujuh orang “si algojo” yang “melutu” pemuda yang bernama Onochie Martins Nwankwo hingga mati itu yang dapat mengembalikan nyawanya (Onochie)? Sepatutnya, ketujuh-tujuh orang itu berfikir begitu sebelum bertindak secara wewenang dan meletakkan hukuman di tangan sendiri.

Saya tidak suka akan Awang-Awang Hitam ini kerana memang benar banyak antara mereka yang berperangai jelik — tidak hormat akan orang-orang yang menjadi “tuan” di bumi yang bernama Malaysia ini. Mencabul kehormatan wanita memang perlakuan “kurang ajar” dan si pelaku memang wajar ditangkap dan dihukum.

Tetapi, kepada semua orang yang ingin memberantas sikap kurang ajar Awang Hitam itu, tanggungjawab kita ialah menahan si pelaku manakala tanggungjawab menjatuhkan hukuman terletak di bahu pihak mahkamah. Undang-undang tidak meletakkan tanggungjawab untuk “melutu” orang di bahu kita.

Kita berasa sangat marah apabila seorang pelajar kita dibelasah oleh perusuh di London hingga patah gigi dan rahangnya. Kalau agaknya pelajar itu sampai hilang nyawa, rasa marah kita tentulah berlebih-lebih lagi. Dalam hal kematian Onochie Martins Nwankwo, bagaimanakah agaknya perasaan ahli keluarganya?

Pada pandangan saya, pengajaran terpenting yang dapat kita ambil daripada kejadian yang demikian ialah janganlah kita meletakkan undang-undang di tangan sendiri. Perbuatan itu bukan sahaja memalukan negara, tetapi memalukan agama dan bangsa. Kita harus memperlihatkan sikap kita yang memiliki ciri-ciri insan yang bertamadun. 

Rasa saya, kita (pihak berkuasa) jangan menjadikan Awang Hitam itu terlalu kuat. Maksud saya ialah, pastikan mereka tidak menetap di sesuatu kawasan hingga jumlahnya melebihi 200 orang! Kita harus memecah-memecahkan mereka. Pastikan jumlah mereka tidak melebihi 20 atau 30 orang di satu-satu kawasan kediaman.

Awang Hitam memang mengancam keselamatan dan keharmonian hidup kita. Sayangnya, para menteri tidak merasakan ancaman itu, kecuali setelah terkena pada batang hidung mereka sendiri. Rasanya begitulah....

No comments:

Post a Comment