Thursday, August 1, 2019

PERIBAHASA WARISAN BANGSA XVIII: “BAGAIMANA MENANTI ARAH HANYUT”?


KESILAPAN menaip sesuatu serta kemudiannya disusuli pula oleh kelewaan atau terlepas pandang sewaktu melakukan semakan — baik pada bahasanya, pada pemilihan katanya, pada ejaannya, dll — suatu perkara biasa. Namun demikian, kesan daripada kesilapan ini kerap kali tidak baik dan kesan tidak baik ini menjadi besar apabila kesilapan itu diterbitkan lalu menjadi dokumentasi untuk kegunaan orang ramai. Kita lihat sahaja beberapa patah kata dalam bahasa Melayu — mergastua dan permaisuri serta rasam/resam dan rasmi/resmi yang telah menjadi bentuk kata baharu dalam bahasa Melayu akibat kesilapan mentransliterasikan kata bahasa Melayu daripada Jawi kepada Rumi. Kata mergastua (مرڬستوا) sepatutnya disebut/dieja sebagai margasatwa manakala kata permaisuri (ڤرميسوري) sepatutnya disebut/dieja paramiswari. Baiknya kesilapan ini ialah terbentuknya perkataan baharu yang unik dalam bahasa Melayu. Pentransliterasian itu jelas dilakukan oleh orang yang kurang arif tentang bentuk kata dalam bahasa Melayu daripada bahasa Sanskrit. Kata-kata rasam/resam dan rasmi/resmi juga merupakan kepelbagaian bentuk yang terhasil daripada pentransliterasian daripada Jawi kepada Rumi. Kesemua kata itu dalam Jawi asalnya dieja sebagai رسم. Semua ini dapat dielakkan apabila semua pihak yang terlibat dalam pendokumentasian sesuatu bahan peka terhadap apa-apa yang tertulis dan mempunyai rasa ingin tahu yang kuat tentang sesuatu bentuk kata dan ungkapan.

Tentang peribahasa, kesilapan mengalihkan pengucapan ke dalam bentuk bertulis memang biasa; malahan bukan tidak biasa juga, seperti yang saya katakan di atas, orang tersilap menaip sesuatu ungkapan yang ditulis oleh penyusun asal peribahasa. Hingga demikian, berlarut-larutlah kesilapan itu, daripada suatu generasi kepada suatu generasi.

Kali ini saya ingin menarik perhatian pembaca tentang bentuk peribahasa yang menjadi tajuk hantaran saya pada kali ini, iaitu bagaimana menanti arah hanyut yang mendukung maksud “mengharapkan sesuatu yang belum pasti”. Ungkapan ini ditemukan dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu Edisi Kedua (KIPM2) dan pelbagai kamus peribahasa yang lain, baik yang di dalam negara mahupun yang di Indonesia. Saya meneliti setiap kata yang diungkapkan dalam peribahasa itu. Kata bagaimana mendukung dua maksud, iaitu yang pertama “sebagai kata tanya bagi menanyakan hal” dan yang kedua “dengan cara/jalan apa”. Kata bagaimana ini melahirkan pelbagai bentuk kata lain, antaranya termasuklah sebagaimana yang bermaksud “seperti yg dikehendaki”; “sama (halnya) dgn”; dan “seperti mana”. Kata menanti pula bermaksud “menunggu”. Kata arah mempunyai dua maksud juga, iaitu “hala/jurusan” serta “maksud atau tujuan”. Kata hanyut dalam konteks peribahasa itu pula mendukung maksud “dibawa bergerak oleh aliran air”.

Oleh sebab itu, bagaimanakah kita hendak menggabungkan ungkapan itu menjadi suatu kiasan yang dapat diterima akal? Kata bagaimana dalam konteks peribahasa mungkin mendukung maksud pertama atau mungkin juga yang kedua. Jika mendukung maksud pertama, peribahasa itu diungkapkan sebagai Bagaimanakah menanti arah hanyut? Kalau maksud yang kedua, peribahasa itu diungkapkan sebagai Dengan cara apakah menanti arah hanyut? Kalau kita katakan kata bagaimana itu sebenarnya singkatan daripada kata terbitan sebagaimana, maka peribahasa itu kita ungkapkan sebagai Sama halnya/Seperti mana menanti arah hanyut. Bentuk ungkapan yang ketiga ini agak kena dengan konteks peribahasa, namun sangat janggal dipadankan dengan kata arah dan kata hanyut dalam peribahasa itu. Hal ini demikian kerana manakah mungkin arah (hala dan tujuan) yang tidak terlihat oleh mata itu bisa hanyut lalu dinanti-nantikan oleh manusia? Jikalau pula kita katakan kata bagaimana itu telah tersilap tulis kerana yang sepatutnya ialah bagai lalu diungkapkan menjadi Bagai menanti arah hanyut, kita tetap berasa hairan tentang perbuatan menanti arah hanyut itu!

Sebenarnya, bentuk ungkapan yang tepat berdasarkan penelitian saya ialah Bagai menanti ara hanyut yang membawa maksud seperti di atas atau seperti yang ditakrifkan oleh KDE4 sebagai “menanti sesuatu yg mungkin datang tetapi lambat, ataupun tidak datang-datang”. Dalam hal ini, berdasarkan pengalaman saya sebagai pembaca pruf dan editor, frasa bagai menanti itu telah tersalah taip sebagai bagaimana dan kemudian kata menanti diulang lagi penggunaannya. Frasa arah hanyut itu berkemungkinan besar telah ditulis bergabung menjadi arahanyut oleh pencatat lalu pihak yang memasukkan data menjarakkannya dengan mengandaikan arahanyut yang tertulis satu perkataan itu sebenarnya arah hanyut! Ini bukan perkara yang aneh dalam penulisan pada tahun-tahun 60-an hingga 90-an dahulu hinggalah munculnya komputer!

Tentang kata ara yang telah ditulis sebagai arah dalam peribahasa itu, sebenarnya merupakan sejenis pokok yang sangat besar. Pokok ini sangat bergetah (apabila ditakik) dan kerana batangnya mengandung terlalu banyak getah, maka pokok ini menjadi sangat berat. Pokok ara yang biasa hanyut di sungai pula adalah daripada jenis jejawi kerana pokok ara jejawi biasa tumbuh di tebing sungai dan potensi untuknya tumbang ke dalam sungai sangat besar sekiranya berlaku hakisan tebing. Kerana besar dan berat, pokok ini, jikalau dihanyutkan air, sangat lambat pergerakannya malah sering tersangkut di sana sini. Kerana itulah ara yang hanyut itu dikiaskan pujangga Melayu silam seperti dalam peribahasa itu. Malah, untuk pengetahuan pembaca, terdapat peribahasa bagai ara hanyut yang bermaksud “tidak terus berjalan ke destinasi, sebaliknya sering-singgah di jalanan”!

Oleh sebab itu, bentuk ungkapan Bagaimana menanti arah hanyut ternyata salah; ungkapan yang sebenarnya ialah Bagai menanti ara hanyut.

1 comment: