Tuesday, February 9, 2010

Hakikat dan Andaian

Saya lebih banyak melayari laman-laman web dan blog-blog tertentu untuk membaca tulisan mereka daripada menulis siaran sendiri dua tiga minggu ini. Bukan kerana kekeringan idea, tetapi hambatan tugas dan ingin mendapatkan kerehatan.

Tetapi, selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah (dengan keputusan 5-0), timbul keinginan di hati saya untuk menulis semula.

Isu paling hangat – kebenaran penggunaan kalimah Allah kepada majalah Herald – telah menempati hampir seluruh media dan memenuhi otak dan mata fikir umat Islam dan bukan Islam. Kini, isu itu senyap – disenyapkan, pada pandangan saya, oleh perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful. (Betulkah?)

Perbicaraan ini mungkin berlangsung agak lama (enam bulan @ setahun?). Adakah tempoh ini (ketika rakyat sedang memfokuskan perhatian mereka pada perbicaraan ini dan tidak peka pada hal lain) akan digunakan kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar tertentu yang menjejaskan rakyat (kenaikan harga barangan tertentu seperti petrol, misalnya?). Semoga hal itu tidak berlaku walaupun ura-ura itu sudah kedengaran. Tetapi rasa saya, kalau berlaku pengenalan dasar-dasar tertentu yang menjejaskan rakyat oleh pihak kerajaan pun, hal itu tidak ada kena-mengena dengan perbicaraan tersebut. Kalau mereka hendak melaksanakannya, dasar itu tetap akan diperkenalkan juga. Kalau tidak, tidak akan terealisasilah slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Semasa makan tengah hari tadi, kedengaran sembang-sembang orang bahawa kekalahan 0-5 Nizar di tangan Zambry dalam menentukan kedudukan MB Perak yang sah memberikan suatu petunjuk awal kepada perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya hanya bersendirian pada waktu itu dan yang bercakap itu pula tidak saya kenali. Saya tidak dapat membuat komen apa-apa. Sekadar berfikir, mereka ini telah mendahului hakim.

2 comments:

  1. salam akhi Zul..

    lama tak dengar n baca berita di sini.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam;
    Saya sendiri sudah lama tidak bersiaran. Terima kasih atas kunjungan Mak Humaira.

    ReplyDelete