Wednesday, February 10, 2010

Langgar, Cedera, dan Mati

Sudah banyak orang yang mati di jalan raya. Untuk mengawal kadar kematian (bukan menyifarkannya), pelbagai usaha telah dan masih dilakukan, termasuklah Program Keselamatan Jalan Raya dan Ops-Ops Sikap yang sudah melewati angka 20 itu. Adakah program dan Ops-Ops itu membuahkan hasil? Anda boleh menilainya.

Pada Ops Sikap ke-20 pada September 2009 dahulu, 261 orang telah mati di jalan raya. Banyak punca yang menyebabkan kematian mereka ini. Yang menarik perhatian saya ialah, kemalangan dan kematian yang berpunca daripada kejadian melanggar bahagian belakang treler, lori, bas, kereta, van, dan kenderaan lain yang diletakkan di bahu jalan dan lebuh raya.

Seperti yang kita baca dan dengar menerusi media, pada awal pagi Selasa lalu, enam orang sekeluarga mati apabila kenderaan yang dipandu ketua keluarga itu terbabas dan melanggar bahagian belakang sebuah treler yang diletakkan di tepi lebuh raya di Kilometer 252.3 dekat Plaza Tol Senawang di Seremban.

Di Kamunting pada hari yang sama sekitar jam 4.32 petang, seorang wanita – Tai Yuen Keow – mati apabila keretanya terbabas dan melanggar treler yang juga sedang “berehat” di KM 207.5 Lebuhraya Utara-Selatan juga.

Kedua-duanya sekadar contoh terkini. Kejadian yang sebelumnya bukan sedikit. Apakah ikhtiar kerajaan dan kita sendiri dalam hal ini?

Benarlah, undang-undang tidak memberikan makna apa-apa kalau tidak dikuatkuasakan. Kereta yang bagus yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan sehingga 99.9% tidak menjanjikan apa-apa jika pemandunya sendiri mengabaikan ciri-ciri keselamatan.

Pemandu treler, bas, lori, kereta, van, dan sebagainya berani berhenti di tepi lebuh raya kerana mereka, barangkali, sering terlepas daripada tindakan undang-undang. Kalau mereka terpaksa berhenti kerana berdepan dengan masalah tertentu pula, mereka juga sering terlepas daripada pemerhatian peronda lebuh raya yang sepatutnya mengawal keadaan. Bukankah itu tanggungjawab pengendali lebuh raya kerana mereka mengutip bayaran tol daripada pengguna?

[Tidak dapat kita pastikan, adakah kematian orang-orang yang melanggar bahagian belakang kenderaan yang berhenti di bahu jalan ini berpunca daripada terbabas ataupun kerana menghentam belakang kenderaan yang berhenti itu?]

Sebagai tambahan, sejak Ops Sikap ke-21 dilancarkan pada 7 Februari lalu, sudah 35 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Ada 14 hari lagi untuk menambahkan jumlahnya. Na‘uzubillah, janganlah kita menjadi sebahagian daripada orang yang menambahkan bilangan itu.

2 comments:

  1. undang-undang dan pearturan sudah mati...

    ReplyDelete
  2. Salam Faziz Ar;
    Alangkah malangnya kita! Siapakah yang mematikannya, agaknya?

    ReplyDelete