Monday, August 8, 2011

Masa: Erti 30 Minit

Setengah jam beristirahat kerana setengah jam lagi diambil oleh majikan kerana mereka telah memberi kami setengah jam supaya kami dapat pulang lebih awal setengah jam pada bulan Ramadan ini, memang masa yang sangat suntuk untuk melelapkan mata.

Pada hari pertama puasa, tepat jam 12:30, saya melentokkan kepala di atas meja. Usaha keras dengan cara membunuh semua angan-angan, supaya mata segera terlelap untuk tempoh lima atau sepuluh minit, sukar sekali hendak direalisasikan.

Akhirnya, dengan segala susah payah dan setelah beberapa kali terlayang-tersedar-terlayang, mata dan fikir berjaya juga di“off”kan. Malangnya, diri hanya kembali tersedar jam 1:15! Saya sudah mencuri 15 minit waktu pejabat! Saya terasa sangat bersalah.

Kerana berasa jera, tengah hari yang lain, saya tidak mahu melelapkan mata. Saya mencuba untuk melakukan hal-hal lain. Baru sekarang saya benar-benar menyedari nilai 30 minit itu — tidak banyak yang dapat dilakukan. Geraknya sangat pantas.

Teringat oleh saya akan kata-kata sahabat Jawa saya, Dr. Bambang, yang sekarang seakan-akan tidak mahu pulang ke negara ini setelah belajar dan bekerja di AS. Beliau berkata, “Kalau engkau hendak merasakan masa lambat berlalu, bacalah Al-Quran!”

Teori beliau itu ada benarnya. Semasa bertadarus, masa seperti perlahan geraknya. Tetapi, tatkala menghafal ayat-ayat Al-Quran, teori itu menyimpang jauh — tempoh satu jam bergerak seperti lipas kudung! Masa satu jam tidak cukup untuk menghafal lima ayat pertama surah Muddassir sekalipun!

Walau apa-apa jua yang diperkatakan orang tentang masa, ingatilah pesanan Rasulullah SAW tentang baiknya kita memanfaatkan lima kesempatan sebelum tiba lima waktu yang membataskan kita untuk memanfaatkan lima peluang itu.

Daripada yang lima itu, fokuskanlah kepada peluang terakhir — manfaatkan peluang hidup ini (dengan kebaikan) sebelum malaikatulmaut, yang membawa kita melalui detik-detik sakaratulmaut, memisahkan nyawa daripada jasad kita!

Kalau kalian payah untuk melelapkan mata, 30 minit itu sangat besar nilainya dengan membaca Al-Quran!

No comments:

Post a Comment