Tuesday, September 6, 2011

Tukar, Tukar, dan Tukar!

Tahun-tahun akhir 1980-an mendekatkan saya dengan Hentian Puduraya. Pada tempoh itu, hentian itu menjadi destinasi (transit) penting saya untuk ke pejabat atau untuk pulang ke kediaman saya di Semenyih. Hentian Puduraya pada waktu itu, seperti sebelum dan beberapa waktu selepasnya, bukanlah hentian yang selesa kepada pengguna seperti KL Sentral sekarang atau seperti Lapangan Terbang Subang suatu waktu dahulu apatah lagi seperti KLIA yang mula beroperasi pada Jun 1998 itu. Pengguna bukan sahaja terpaksa berebut-rebut untuk menaiki bas Foh Hup, misalnya, malah terdedah kepada ancaman penyeluk saku dan kaki “pau”. Malahan, pengalaman menunggu di tempat menunggu di ruang legar seperti berada di atas salai — panas dan merimaskan.

Kini, hentian yang telah “memberikan khidmat baktinya” sejak Oktober 1976 itu telah berubah wajah. Tidak seperti semasa saya akrab dengannya dahulu, hentian itu kini lebih selamat, selesa, dan efisien. Hentian itu kini dilengkapi dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV) serta pendingin hawa dan eskalator selain sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas. Khabarnya, CCTV yang ditempatkan di lokasi strategik itu dipantau oleh 48 orang kakitangan keselamatan demi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung dan penumpang.

Walau bagaimanapun, berada di hentian itu pada penghujung tahun-tahun 1980-an (atau semasa pertama kali menjejakkan kaki di hentian itu pada tahun 1979 dahulu) lebih membanggakan saya daripada hari ini, khususnya selepas 27 Ogos 2011 lalu. Berada di situ pada waktu itu sama seperti berada di Stadium Merdeka, Stadium Negara, Masjid Negara, Muzium Negara, dan lain-lain kerana saya benar-benar merasakan Malaysia dan Melayunya. Sayang, hanya kerana telah dimodenkan dan dicanggihkan sehingga menyamai dan setaraf dengan sebuah lapangan terbang, namanya terpaksa ditukar kepada yang lebih antarabangsa (agaknya) — Pudu Sentral.

Apakah yang tidak kena pada Puduraya yang lebih lokal (Melayu dan Malaysia) itu tidak glokal, tidak antarabangsa, tidak komersial? Puduraya — “antarabangsat”kah namanya hingga perlu diPuduSentralkan? Kalau namanya tetap Puduraya, orang akan berasa malukah? Kalau namanya masih Puduraya, pengunjung akan berkurangkah? Kalau namanya terus Puduraya, akan diletupkan pengganaskah hentian itu?

Inilah salah satu sifat sebahagian daripada kita — kurang yakin pada sesuatu yang melambangkan diri dan jati diri. Ada orang yang namanya Bakar berasa bangga dipanggil Burn, Fatimah dipanggil Fetty, Khairul dipanggil Carol, Muhammad dipanggil Mike, dan pelbagai panggilan lain kerana Bakar, Fatimah, Khairul, Muhammad, dan lain-lain itu tidak glokal, kekampungan, dan kolot! Mereka tidak sedar bahawa perbuatan menukar nama itu telah melukakan hati ibu bapa yang telah memberi mereka nama yang sedemikian kerana nama-nama sedemikian sangat dekat dengan Melayu, Nabi, dan Islam.

Sama seperti Stadium Merdeka, nama Puduraya ada nilai sejarahnya. Sama seperti Stadium Merdeka, nama Puduraya sangat akrab dengan bangsanya. Nama Puduraya ada kaitannya dengan Almarhum Perdana Menteri kita yang ketiga — Tun Hussein Onn — yang merasmikannya pada 2 Oktober 1976 dahulu. Menukarkan namanya telah mengubah sebahagian daripada sejarah yang membabitkan almarhum itu! Rasanya lebih elok kalau nama Puduraya itu ditukar kepada nama yang ada kaitan dengan almarhum itu — Hentian Tun Hussein — misalnya.

Bagaimanakah agaknya perasaan kita kalau Stadium Merdeka pada suatu hari nanti ditukar namanya kepada Stadium Sentral, misalnya?

Teringat saya akan lagu jenaka yang berjudul “Raya” dendangan Jalil Hamid:

Kalau banyak harta benda, orang itu kaya raya
Kalau tempat lalu kereta, itulah jalan raya
Hentian bas ibu kota, itu di Puduraya, di tengah bandar raya

Puduraya sudah tidak Raya lagi, Lil!

[Tulisan ini didraf pada pagi 28 Ogos 2011, selepas mendengar berita radio tentang penukaran nama Puduraya kepada Pudu Sentral oleh YAB Perdana Menteri.]

4 comments:

  1. siapalah pelobi yg nak sangat nama tu ditukar?

    ReplyDelete
  2. Salam Idulfitri, Syeikh Muaz,
    Entahlah, Syeikh. Menurut laporan, PM kita menerima cadangan daripada pengunjung twitternya. Komersial lebih penting daripada sejarah....

    ReplyDelete
  3. Saya tidak setuju jika ada yang berpendapat nama Puduraya itu tidak komersial... apa-apapun, selamat hari sentral, eh.. selamat hari raya maksud saya.. hehehe

    ReplyDelete
  4. Salam Idulfitri, Sdr Bobp,
    Seperti Sdr, saya juga tidak bersetuju dengan pandangan yang demikian. Tiada celanya nama Puduraya itu.

    Entahlah... sekarang semuanya hendak SENTRAL. Tidak lama lagi Kerajaan Pusat pun disebut sebagai Kerajaan Sentral, untuk menggambarkan otak mereka yang berada dalam Kerajaan Pusat itu sudah Center. Hah, hah.

    ReplyDelete