Tuesday, December 27, 2011

Belasungkawa: Dia Pergi Jua Akhirnya

Masih tidak lewat rasanya bagi saya untuk menitipkan belasungkawa ini pada ruang yang luas ini.

Dia, Uwan Halimah binti Ibrahim, setelah bertahun-tahun menderitai sakit kanser kulitnya (di pipi), akhirnya dijemput Allah SWT ke rahmatullah pada tanggal 23 Disember 2011 (Jumaat) pada jam kurang lebih 6:30 petang yang baru lalu.

Pemergiannya dilepaskan dengan penuh redho oleh insan-insan yang menyayanginya — putera-putera dan puteri-puterinya serta para cucu dan cicitnya, tentunya. Penderitaannya di dunia yang bertahun-tahun itu, bagi saya sendiri, lepaslah sudah.

Almarhumah saya kenali tatkala dia sudah pun berusia lanjut — menghampiri 70 tahun saya kira. Perkenalan saya dengannya berlaku apabila saya mengenali cucu keduanya yang kemudiannya menjadi isteri saya kini.

Banyak hal yang menjadikan saya menyukai dan mengaguminya. Sikap berdikarinya yang tiada berbanding adalah antara sifatnya yang sering saya puji. Pada usia selanjut itu, beliau mampu menaiki bas (bukan bas ekspres) dari Kuala Pilah di Negeri Sembilan untuk mengunjungi anak-anaknya di Perak, Pulau Pinang, Kedah, apatah lagi almarhumah ibu mentua saya di Selangor.

Kesungguhannya mempelawa sesiapa sahaja yang berkunjung ke rumahnya supaya makan juga mengagumkan saya. Almarhumahlah yang memperkenalkan peribahasa “sepadat-padat peti, sehelai tuala muat juga” kepada saya apabila saya menolak untuk makan kerana terlalu kenyang.

Dan saya menyanjung dua tiga orang putera puterinya, menantu lelakinya, serta beberapa orang cucunya yang begitu sabar melayani kerenah seorang ibu/nenek yang sakit, yang berusaha 150% malah lebih lagi untuk memberikan keselesaan dan kelegaan kepada ibu/nenek yang benar-benar sakit, yang membuang rasa jijik dan mual untuk melayani ibu/nenek yang sakit yang sudah tentu kencing dan beraknya perlu diatur, yang terus menyuapkan makanan kepada ibu/nenek yang sakit walaupun beratus-ratus kali si ibu/nenek itu membentak dan menolak, dan sebagainya itu.

Beruntung kamu, wahai Uwan Halimah binti Ibrahim kerana punya anak cucu yang menghargai setiap detik keberadaanmu di dunia ini, tidak kira waktu kamu sihat ataupun waktu kamu uzur yang semuanya bertitik tolak daripada asuhanmu jua. Beruntung kamu, wahai Uwan Halimah binti Ibrahim, kerana jenazahmu disembahyangi oleh begitu banyak insan.

Aku, seperti putera puterimu dan cucumu yang lain, berdoa agar kamu mendapat keampunan dan rahmat Allah yang Maha Luas itu. Aku juga berdoa agar rohmu dikelompokkan dengan mukminin dan mukminat di dalam Jannah-Nya. Amin.

Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment