Friday, March 2, 2012

Tol Saga: Pengurangan 50% Itu Jangan Berhenti di Situ Sahaja

Beban bayaran tol yang ditanggung pengguna di laluan Lebuh Raya Saga sudah berkurangan 50% — daripada RM2.00 atau RM3.80 kepada RM1.00 dan RM1.90 sahaja sekarang. Terima kasih diucapkan kepada YAB PM yang pemurah itu.
 
Beban bayaran tol (RM0.80) yang kutipannya diwakilkan kepada PLUS (bagi laluan Sungai Besi-KL melalui Lapangan Terbang TUDM) bilakah pula akan dihapuskan? Kalau terhapus, kami yang dari Kajang hanya perlu membayar RM1.00 sahaja.

Tengok-tengokkanlah hal ini juga, YAB PM. Beban itu tidak adil. Pengguna yang hendak ke Subang Jaya dan Shah Alam, melalui KESAS dari Tol Sungai Besi membayar tiga kali sebenarnya — satu untuk PLUS, satu untuk pewakil tadi, dan satu lagi untuk KESAS. Puhhh!

Walhal, laluan yang digunakan mereka (yang ke Shah Alam dan Subang Jaya sebelum sampai ke simpang masuk KESAS dari Tol Sungai Besi tadi), 1 km sahaja. Yang hendak ke KL pun, ada yang membayar tiga kali — satu untuk PLUS, satu untuk pewakil tadi, dan satu untuk SMART. Kalau mereka memilih untuk menggunakan Lebuh Raya NPE, sama juga halnya.

Orang boleh kata, carilah jalan alternatif kalau tidak mahu bayar tol? YAB PM jangan layan orang yang berkata begitu. Kami sudah ada alternatif, iaitu pihak yang berjanji hendak menghapuskan tol. Walaupun belum tentu, tetapi mereka berjanji. Sedangkan YAB PM yang sedang berkuasa tidak berusaha ke arah itu.

Jadi, manakah yang lebih baik — memilih pihak yang memerintah, tetapi tidak mahu menghapuskan tol atau memilih pihak yang berjanji akan menghapuskan tol kalau mereka mermerintah. Perbuatan itu bukan perjudian, tetapi percubaan.

YAB PM tentu sangat sedar bahawa pengusaha lebuh raya mengaut untung berganda-ganda, malah rasa saya jauh melebihi unjuran yang ada dalam perjanjian mereka. Rasa saya juga, mereka jugalah yang menentang kempen perkongsian kereta yang pernah diusahakan kerajaan dahulu.

Cuba-cubalah usahakan hal ini, YAB PM. Insya-Allah, kesungguhan, keikhlasan, keprihatinan, dan kemurahan hati YAB PM akan berbalas.

4 comments:

  1. Satu permulaan yang sangat baik. Lebih baik lagi jika perubahan yang ditujukkan oleh YAB PM Najib dalam memberi manafaat kepada kepada rakyat ini disertai dengan perubahan perjuangan UMNO dari Kebangsaan kepada Islam. Rasuah diperangi dengan bersungguh-sungguh dan percayalah orang Islam/Melayu akan menyokong penuh pemerintah yang ada.

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Abd Rahman,
    Subhanallah.... Kalau itulah perjuangan UMNO, saya tidak akan berasa malu untuk menjadi ahlinya seumur hidup dan saya akan berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya PAS berpadu dengan UMNO.

    ReplyDelete
  3. Waalaikummusalam,

    tergenang air mata bila membaca harapan yang dinukilkan, Insyallah semoga Allah buka hati saudara-saudara kita didalam UMNO mengubah haluan kepada Islam.
    PAS saya percaya akan sentiasa bersedia bergabung dengan UMNO (UIMO United Islam Malays Organisation), seperti kata TGNA hari ini UMNO tukar kepada Islam, pada waktu yang sama PAS akan bergabung malah bersedia dibubarkan demi Islam.

    ReplyDelete