Sunday, April 29, 2012

Pasukan Keselamatan Dulu dan Kini

Oleh sebab negara kita aman, pasukan keselamatan kita tidak banyak kerja. Setakat berlatih-latih sahajalah, berkursus sana sini, berseminar ke hulur dan ke hilir. Latihan, kursus, dan seminar itu kadang-kadang hanya suatu keperluan untuk beroleh pangkat — satu calit, dua calit, tiga calit; atau satu bintang dan bintang-bintang lain hinggalah akhirnya beroleh gelar Datuk/Dato’ dan sebagainya. Dalam sesetengah situasi, latihan, kursus, dan seminar yang dihadiri itu hanya untuk menghabiskan peruntukan yang telah dikhususkan oleh pihak Kementerian yang berkenaan.

Dulu, latihan-latihan atau kursus-kursus dan seminar-seminar yang diikuti dapat dipraktikkan — untuk menentang/menghapuskan ancaman pengganas komunis, khususnya. Sekarang, seperti yang digambarkan awal-awal tadi, pasukan keselamatan kita tidak banyak kerja. Bukanlah maksud saya mereka itu tidak bekerja, tetapi tidak banyak kerja berbanding dengan pasukan keselamatan pada era sebelum 1987 dahulu, sekurang-kurangnya.

Tidak usah kita pandang jauh-jauh. Mari kita bandingkan peranan dan tanggungjawab Special Constable (SC) pada zaman giatnya komunis dengan pasukan Angkatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) pada zaman aman ini (bukan menghina RELA, malah saya sangat menghargai peranan RELA dalam mengawal lalu-lintas di pasar malam dan di majlis keramaian pada zaman yang tepu dengan kenderaan ini).

Negara-negara besar seperti AS, UK, Perancis, dan lain-lain, kerana aman, mereka mencetuskan huru-hara di negara orang. Dengan adanya suasana huru-hara, mereka bukan sahaja dapat menggalakkan industri persenjataan mereka, malah mereka dapat mengerahkan pasukan keselamatan mereka untuk mempraktikkan apa-apa yang dilatih dan ditunjuk ajar kepada mereka. Pasukan keselamatan kita bagaimana?

Elok jugalah agaknya ada anjuran perhimpunan dan demonstrasi seperti BERSIH 3.0, BERSIH 2.0, dan sebagainya itu. Dapatlah juga pasukan keselamatan yang paling di depan dalam negara kita pada masa ini mempraktikkan apa-apa yang ditunjuk ajar kepada mereka seperti mengeroyok (memijak-mijak dan menendang-nendang) orang yang membayar cukai kepada kerajaan yang melalui cukai itu mereka beroleh gaji dan kuarters untuk berlindung daripada panas dan hujan.

Dalam hal berdemonstrasi ini, saya berpendapat bahawa kalau orang yang berhimpun itu biadab, berkaslah mereka itu, jangan disepak diterajang seperti botol plastik di jalanan. Janganlah dijadikan mereka itu seperti punching bag. Kalau ada salah seorang rakan pasukan keselamatan kamu membelasah orang awam, halang mereka, bukan disertai mereka itu. Kalau kebetulan kamu tidak tinggal di kuarters, dan kebetulan pada satu malam rumah kamu dipecah masuk oleh penyangak lalu ahli keluarga kamu dikeroyok hingga lunyai, isteri dan anak perempuan kamu diperkosa, ingatlah apa-apa yang pernah dan telah kamu lakukan!

Saya hanya memberikan pandangan....

2 comments:

  1. sungguh hiba dan darah tersirap melihat youtube keganasan polis dalam bersih 3. Ini menyebabkan imej polis merudum....apakah Plis Diraja Malaysia atau Polis Raja Dimalaysia?

    Ingat Pasukan Polis..saya rasa banyak lagi rakyat malaysia yang telah melihat rakaman kekejaman polis dalam bersih3 dan mereka sangat terkesan dan meluat akan kesamsingan polis. Ibarat anjing meratah mangsa beramai-ramai...

    Nasihat saya bertindak lunak dengan orang awam..mereka bukan musuh negara..tetapi mereka memperjuangkan sesuatu kepercayaan politik mereka. Jangan bertindak mengikut telunjuk orang politik semata-mata kerana mereka memerintah..polis patut menjaga keamanan semua individu...terikut-ikut akan rentak politik yang memerintah mencemarkan pasukan polis...ia seolah dipergunakan oleh orang politik untuk kepentingan mereka. Pasukan polis harus waras dalam menilai sesuatu arahan khusus berhubung politik..

    tahniah sahabat..menulis dengan hati & fikiran dalam hal ini...

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Faziz,
    Itulah masalahnya apabila pengertian terhadap demokrasi masih dangkal. Itulah masalahnya kepentingan politik diutamakan daripada tuntutan Islam.

    ReplyDelete