Mata
alamat (Matlamat) sesuatu kejohanan sukan sangat murni, iaitu untuk melahirkan
perpaduan, persahabatan, semangat setia kawan, dan sebagainya dalam suatu
perhimpunan besar yang melibatkan manusia (peserta/atlet/pegawai) dari semua
bangsa yang menghuni sesebuah negara. Hingga demikian, lahirlah istilah “sporting spirit” atau dalam bahasa Melayunya disebut sebagai “semangat
kesukanan” bagi menggambarkan suatu bentuk semangat yang menjurus ke arah
perpaduan dan kesetiakawanan yang dapat dilahirkan daripada perhimpunan sukan.
Walau
bagaimanapun, adakah idealisme itu benar-benar terealisasi melalui mana-mana
kejohanan sukan, sama ada yang berskala kecil atau yang berskala besar? Adakah
para peserta/atlet yang terlibat dalam mana-mana upacara sukan bersaing secara
sihat dalam merealisasikan keinginan untuk beroleh kejayaan? Adakah
pegawai-pegawai yang diberi autoriti oleh negara masing-masing untuk
mengendalikan para peserta/atlet mereka benar-benar menjunjung matlamat murni
itu? Berapa banyak peserta/atlet/pegawaikah yang mementingkan persaingan
daripada kemenangan?
Sebenarnya,
matlamat/idealisme itu sudah semakin menipis kerana kebanyakan negara dan peserta/atlet
yang terlibat dalam mana-mana kejohanan sukan besar kecil tidak lagi menekankan aspek
persaingan yang sihat, sebaliknya lebih menekankan aspek ganjaran/kemenangan –
emas perak gangsa, piala serta wang ringgit. Idealisme Pierre de Coubertin (Bapa Sukan Olimpik Moden) – “The
important thing in life is not the triumph but the struggle, the essential
thing is not to have conquered but to have fought well” – sudah kelihatan janggal!
 |
Pierre de Coubertin |
Hal mengesampingkan
semangat dan mendahulukan keputusan bukan perkara baharu. Pada Kejohanan Bola
Sepak Piala Dunia 1982, misalnya, pasukan Jerman dan Austria telah mengatur perlawanan
dalam perlawanan peringkat kumpulan. Austria (4 mata) telah merelakan “dirinya”
kalah 0-1 di tangan Jerman (2 mata) bagi membolehkan Jerman mengutip 4
mata sekali gus menyekat peluang Algeria (4 mata juga) untuk bermain
pada pusingan seterusnya. Algeria tersingkir melalui perbedaan jaringan gol. Kebetulan Jerman kalah di tangan Algeria sebelum itu.
Walau bagaimanapun, keakuran terhadap idealisme
de Coubertin itu pernah kita saksikan pada Sukan Olimpik XIX di Mexico (1968). John Stephen Akhwari, atlet maraton
dari Tanzania telah terjatuh semasa berlari. Kakinya tercedera. Dalam keadaan kaki
yang berdarah dan berbalut (lututnya terkehel), beliau terus berlari untuk menamatkan perlumbaan tatkala
stadium hampir kosong dan hari menjengah malam. Beliau menjelaskan sebab-musabab
beliau meneruskan lariannya walaupun tercedera: “My country did not send me 5,000 miles to start a race, they sent me to finish it”.
Keakuran terhadap idealisme
de Coubertin terlihat juga pada Sukan Olimpik XXIII di LA
(1984). Gabrielle Andersen-Scheiss, pelari maraton
wanita dari Switzerland mengalami masalah
dahaga dan kepanasan semasa berlari. Masalah itu memburuk apabila beliau
melepasi sebuah terowong, namun masalah itu dihadapinya dengan semangat jitu.
Dia terus berlari (berjalan sebenarnya) dalam kepayahan, terhuyung-hayang
semasa masuk ke dalam Los Angeles Memorial Coliseum untuk menamatkan saingannya di tempat ke-37. Penonton memberikan tepukan gemuruh kepada beliau!
Tetapi, pada Sukan
Olimpik XXX yang sedang berlangsung di London sekarang, idealisme de Coubertin
telah dipersendakan oleh atlet badminton (wanita) hingga memaksa pihak BWF
membatalkan/menyingkirkan penyertaan mereka. Tindakan ini diambil terhadap
pasangan regu dari Korea Selatan (2), China (1) dan Indonesia (1) kerana mereka (atelt-atlet itu) bermain
untuk kalah bagi mengelakkan bertemu dengan seteru yang sukar pada pusingan
seterusnya. Tentulah yang memainkan peranan di balik tindakan atlet-atlet itu pegawai-pegawai
pasukan mereka!
Setiap atlet perlu sedar
bahawa para penonton mengeluarkan modal untuk menyaksikan mereka bermain. Sama
ada para penonton menyokong mereka ataupun sebaliknya, atlet wajib
memperlihatkan sesuatu yang istimewa yang ada dalam diri mereka hingga penonton
sanggup berbelanja untuk menyaksikan mereka bermain. Persaingan dalam sukan
merupakan suatu cara penonton hendak meredakan dan melupakan tekanan yang
dihadapi oleh mereka dalam kehidupan harian mereka. Penonton ingin bergembira, penonton
ingin berhibur.
Malangnya, sesuatu yang hebat
yang diharap-harapkan oleh penonton daripada para atlet bertukar sebaliknya. Penonton
telah ditipu dan dipersendakan oleh atlet-atlet badminton itu. Atlet-atlet itu
bermain dengan sambalewa (seperti berlatih), sengaja memukul bola ke jaring, memukul
bola keluar gelanggang, membiarkan bulu tangkis yang biasanya tiada masalah
untuk dibalas, dan sebagainya. Orang-orang seperti ini telah menghancurkan idealisme
sukan. Tidak kira siapa yang bakal ditentang, mereka sepatutnya bermain dengan sungguh-sungguh!
Kalau takut kalah, jangan
bersaing di Olimpik! Lamun takut dilanggar batang, jangan berumah di kepala
pulau, kata peribahasa Melayu. Pada hemat saya, para pegawai yang mengatur perancangan/strategi buruk yang demikian itu serta atlet-atlet yang menjadi mak turut kepada pegawai
terbabit telah mengaibkan negara mereka. Mereka wajar dikenakan hukuman oleh
pihak tertinggi di negara mereka. Mereka ini, pada hemat saya, sama jahatnya dengan
orang yang bermain untuk kalah setelah dirasuahi oleh pihak tertentu, atau mungkin lebih jahat lagi.