Monday, December 24, 2012

Hati Ini Terbakar apabila Anak Itu Dibakar

Kita selalu melihat, mendengar, dan diberitahu perihal kejadian tragis yang menimpa seseorang, tidak kira berapa pun usia mereka. Kerana selalu sangat melihat, mendengar, dan diberitahu, maka peristiwa tragis itu sudah menjadi biasa yang hingga demikian terkadang-kadang terbias daripada pendengaran dan pelihatan. Jika dilihat, didengar, dan diberitahukan pun, peristiwa itu kadang-kadang hanya melahirkan perasaan terkilan, kesal, simpati, dan marah. Air mata sedih jarang-jarang benar memanaskan pipi kita oleh sebab peristiwa tragis itu.

Walau bagaimanapun, setelah lama tidak berasa sedih yang sampai menitiskan air mata, semalam perasaan itu mendatangi saya. Air suam menggenangi mata dan keluar dari kelopak mata. Kemudian, perasaan marah mengikuti perasaan sedih itu. Saya menyumpah-nyumpah. Walaupun kemudiannya saya memujuk hati saya dengan mengatakan bahawa nasib yang menimpa diri anak itu sudah ditetapkan Allah demikian, tetapi apabila saya menatap gambar itu beberapa kali lagi, saya menangis, saya marah, saya mencelakakan pelakunya.

Di manakah letaknya kemanusiaan si pelaku hingga tergamak untuk membakar seorang anak sekecil itu? Saya membayangkan betapa seksanya dan betapa azabnya anak itu dibakar hidup-hidup – tergeliat-geliat dan meraung-raung ... oh....; atau jika sudah mati sebelum dibakar, saya membayangkan betapa sakitnya tubuh anak itu diperlakukan secara zalim oleh si pelaku yang entah di mana kemanusiaannya itu hingga kemudiannya membawa kematian anak itu. Lihatlah anak anda yang seusia dengan anak malang itu; anda bayangkan anak anda itu menerima nasib yang demikian.

Saya pernah kehilangan. Ya, saudara saya yang pada kala itu baru berusia setahun setengah mati kelemasan. Saya membayangkan betapa dia tergapai-gapai atau jika dia tidak tergapai-gapai, dia barangkali terus tenggelam sambil mencari udara untuk bernafas, tetapi yang didapatnya hanya air, air, dan air hinggalah ia lemas dan kemudiannya ... timbul. Kerana dia terlalu akrab dengan saya, saya beberapa minggu meracau ... menangis waktu celik tengah malam, menangis lagi waktu celik subuh hari. Hinggalah kemudiannya saya benar-benar redho akan ketentuan Allah.

Saya membandingkan orang yang membakar anak itu dengan saya yang kehilangan adik yang keletah, adik yang sebelum kematiannya mendakap saya begitu erat hingga menangis beria-ia untuk mengikut saya ke sekolah; yang sejak berusia setahun sudah tidur sekain dan segebar dengan saya, yang setiap kali saya pulang sekolah akan saya mandikan dia, dan kemudiannya pada waktu petang akan mengikut saya bermain guli atau apa-apa sahaja. Walaupun sudah 39 tahun berlalu, detik-detik kemesraan saya dengan arwah adik saya masih berbekas di hati ini. Masih....

Lalu, saya ingin bertanya kepada si pelaku – tidak ada sedetik punkah daripada kehidupan anak itu yang menyukakan hatimu? Tidak adakah keletahnya yang menggembirakan hatimu? Mustahil tidak ada apa-apa sifat yang ada pada diri anak itu yang dapat menghentikan kamu daripada melakukakan kekejaman demikian kecuali jika kamu memang dilahirkan daripada iblis! (Atau barangkali anak itu menjadi korban daripada perbuatan ibu bapa yang barangkali berhutang kepada siapa-siapa? Anda faham akan maksud saya? Masyarakat di negara kita sudah begitu huru-hara!)

Kita selalu berdoa agar keluarga kita dijauhkan daripada memiliki sifat durjana yang demikian, tetapi barangkali kita lupa untuk berdoa agar bangsa@masyarakat@rakyat yang seagama dengan kita terhindar daripada sifat tercela itu. Marilah kita berdoa, “Ya Allah! Engkau jauhkanlah umat Islam di negara ini daripada memiliki sifat-sifat zalim dan sifat tercela yang lainnya, ya Allah. Sebaliknya, Ya Allah, engkau limpahilah mereka dengan sifat-sifat Rohman dan Rahim-Mu agar dengan demikian, ya Allah, kami dapat hidup berkasih sayang dan menghargai nyawa setiap insan, ya Allah...!

2 comments:

  1. saya juga mengalirkan air mata membaca berita tersebut. terima kasih dgn tulisan saudara yg sungguh menyentuh hati.

    ReplyDelete
  2. Sama-sama, Sdr Mad,
    Jalan untuk mengatasi kejadian tersebut hanya melalui agama. Yakinilah hal ini.

    ReplyDelete