Monday, December 10, 2012

Sketsa Nilai Murni di Televisyen: Sampaikah Mesejnya?

Kempen Amalan Nilai-nilai Murni sudah berlanjutan sekian lama. Di media-media massa, banyak sudah sketsa dan iklan yang berkaitan dengannya disiarkan. Walau bagaimanapun, nilai-nilai yang dikategorikan sebagai murni masih tidak dapat membetulkan akhlak orang, tidak kira orang dewasa apatah lagi anak-anak muda dan belia.

Saya biasa mendekati anak-anak remaja yang duduk di luar surau bersama-sama dengan kelompok mereka. Saya biasa bertembung dengan kelompok anak remaja yang melepak di restoran, di jalanan, atau kadang-kadang semasa saya membersihkan bahagian luar pagar rumah. Kata-kata dalam buah butir perbualan mereka, oh mencemaskan saya!

“Sedap gila benda ni, doh!”; “Senang je la, bodoh...!”; dan macam-macam kata yang kalau dibutirkan dalam ruangan ini, menjadi tidak enak pula.

Berbalik kepada kempen tadi, banyak orang yang pernah menegur mesej dalam sketsa-sketsa yang tersiar di stesen-stesen tv. Bermula dengan “cerita” seorang pemuda yang minum di restoran yang meninggalkan meja tempat dia minum tanpa merapatkan kerusi yang didudukinya ke meja. Sikap buruknya itu disedarinya apabila melihat perlakuan sekumpulan remaja yang tidak bersikap sepertinya.

Setelah sedar, dia kemudiannya mengamalkan nilai yang dituntut, iaitu merapatkan kerusi ke meja selepas usai minum. Walau bagaimanapun, perlakuan “baik”nya itu ada cacatnya kerana walaupun tempat duduknya telah “dikemaskan”nya, namun pada masa yang sama dia tidak menghabiskan minumannya. Tidak menghabiskan minuman suatu pembaziran! Elokkah?

Kemudian, sketsa itu berlalu lalu digantikan dengan sketsa yang lain. Seorang nenek menanyai perihal cucunya kepada sekumpulan pelajar di sebuah pondok bas. Pelajar yang ditanyai oleh nenek itu bercakap kurang ajar dengan nenek itu. Apabila cucu si nenek (remaja perempuan) tiba, remaja yang ditanya tadi berpura-pura menunjukkan kebaikannya. Si nenek memulang paku buah keras dengan menempelak remaja lelaki itu.

Daripada sketsa itu, kita nampak bahawa kita dikehendaki agar bersikap baik kepada orang tua, tetapi sikap orang tua memulangkan paku buah keras kepada remaja itu tidak baik. Mesej yang kita peroleh daripada sketsa itu ialah kita boleh membalas perbuatan biadab orang lain kepada kita walhal sebenarnya kita digalakkan saling menasihati dan saling bermaafan!

Kini, datang lagi satu sketsa, juga di hentian bas. Seorang wanita keputusan wang dan berhasrat untuk menjual barangan miliknya untuk dijadikan sebagai tambang, saya kira. Lelaki yang dirujukinya berkeras dan bersikap kurang ajar terhadapnya. Semasa hendak menaiki bas, lelaki kurang ajar itu menerima balasannya – ditolak hingga terduduk oleh sekumpulan remaja. Dia kemudiannya dibantu oleh wanita tadi dan seorang lelaki lain.

Mesejnya ialah kita dikehendaki agar senantiasa menghormati orang lain, bertutur dengan sopan, dan saling membantu. Tetapi, mengapakah diselitkan babak lelaki kurang ajar itu ditolak oleh sekumpulan remaja hingga dia terjatuh? Tidakkah kelak adegan itu difahami oleh anak-anak bahawa tidak menjadi kesalahan kepada sesiapa pun untuk membalas perbuatan orang yang kurang ajar dengan cara menolak mereka?

Mengajar orang untuk berbudi pekerti harus menyeluruh bukan sekadar untuk suka-suka apatah lagi untuk mendapat wang sahaja.

No comments:

Post a Comment