Tuesday, October 11, 2016

PERIBAHASA WARISAN BANGSA XVI: “Kambu”, “Kembu”, “Kumbu”, dan “Kambuh” – Yang Mana Ada Kaitan dengan Ikan?

MEMANG ada peribahasa Melayu yang diungkapkan sebagai ikan sekambu rosak oleh ikan seekor. Peribahasa ini sebenarnya mendukung maksud yang sama dengan peribahasa ikan seekor rosakkan ikan setajau dan sebab nila setitik, rosak susu/santan sebelanga. Maksud peribahasa ini ialah “kejahatan yang sedikit merosakkan kebaikan yang banyak”. Ada yang mengatakan peribahasa ini mendukung maksud “kerana kejahatan seorang, semua orang mendapat nama buruk”. Maksud ini tidak tepat untuk peribahasa itu kerana ada peribahasa khusus untuk maksud yang sedemikian, iaitu “seekor kerbau berkubang, sekandang kena luluknya” atau “seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit”. 

Bentuk peribahasa ikan sekambu rosak oleh ikan seekor itu apakah yang tidak kenanya? Bentuk ungkapan keseluruhannya secara umumnya kelihatan tidak salah kerana kita dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan daripada ungkapan itu. Menerusi penelitian saya, memang itulah bentuk yang diungkapkan dalam kesemua buku peribahasa yang ada. Namun begitu, ungkapan itu ada silapnya, iaitu dari segi penggunaan kata sekambu itu! Ketahuilah bahawa baik dalam KDE4 ataupun dalam KBBI, tidak wujud bentuk kata kambu bagi merujuk “bakul kecil untuk mengisi ikan”! Bentuk kata yang wujud dalam kedua-dua buah kamus itu ialah kembu. Kata ini juga biasa disebut sebagai kumbu ataupun nama lainnya, kepis.

Bentuk kata kambu memang wujud, tetapi tidak mendukung maksud “bakul kecil untuk mengisi ikan”, sebaliknya mendukung maksud 1. “sejenis kepala omboh atau pemukul” dan 2. “jatuh sakit lagi (lebih teruk daripada yang sebelumnya). Kata kambu ini pula tidak wujud dalam KBBI, sebaliknya hanya wujud dalam KDE4. (Untuk maksud “jatuh sakit lagi (lebih teruk daripada yang sebelumnya), kata lain yang lebih lazim digunakan ialah kambuh)! Oleh sebab itu, jelas bahawa kambu sangat tidak sesuai untuk dikaitkan dengan peribahasa yang dibicarakan ini kerana kambu bukan bekas untuk menyimpan (ikan) sebaliknya alat untuk memukul dsb. Peribahasa itu juga tidak ada ada kena-mengena dengan sakit semula.

Berdasarkan hal ini, bentuk ungkapan peribahasa yang tepat bagi mendukung maksud “kejahatan yang sedikit merosakkan kebaikan yang banyak” ialah ikan sekembu/sekumbu rosak oleh ikan seekor! Bentuk yang tidak tepat itu haruslah diperbaik dalam KIPM dan mana-mana kamus peribahasa pun; atau jika masih ingin mengekalkan bentuk kambu itu untuk maksud “bakul kecil untuk mengisi ikan”, haruslah pihak berkuasa yang menerbitkan Kamus Dewan menambahkan makna bagi entri kambu itu manakala pihak penerbit KBBI harus memasukkan kata kambu untuk maksud “bakul kecil untuk mengisi ikan” selain kata kembu yang sedia ada dalam kamus tersebut! Usaha ini sangat penting bagi memudahkan orang ramai memahami sesuatu peribahasa.

1 comment: