Monday, August 8, 2016

PERIBAHASA WARISAN BANGSA XV: “ayam putih terbang siang: hinggap di halaman, malih kepada mata orang banyak”

Saya sangat tertarik akan peribahasa ayam putih terbang siang: hinggap di halaman, malih kepada mata orang banyak. Peribahasa yang indah ungkapannya merupakan kiasan untuk apa-apa perbuatan yang dilakukan secara terang dan nyata dan diketahui orang. Peribahasa ini saya temukan dalam KDE4, entri ayam, hlm. 95.

Ada dua lagi bentuk ungkapan yang lain, dan masih menjadikan ayam putih sebagai objek utamanya. Maksudnya juga sama. Peribahasa itu ialah (1) ayam putih terbang siang: hinggap di kayu merasi, bertali benang bertambang tulang dan (2) ayam putih terbang siang: bertali benang bertambang tulang, hinggap di kayu meranting.

Bentuk ketiga-tiga peribahasa ini ada lawannya – ayam hitam terbang malam: bertali ijuk bertambang tanduk, hinggap di kebun rimbun. Peribahasa ini mengiaskan apa-apa perbuatan jahat yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi, sukar diketahui ramai. Tidak perlulah saya menghuraikan perlambangan yang digunakan – ijuk dan tambang itu.

Peribahasa yang berlawanan maksudnya daripada peribahasa yang dibicarakan ini pun ada bentuknya yang lain – (1) ayam putih terbang siang: hinggap ke rimba dalam, bertali ijuk bertambang tanduk; (2) ayam hitam terbang malam: hinggap pada pohon mempelam; dan (3) ayam hitam terbang malam: berdebas bunyinya. Maksudnya sama.

Berbalik kepada bentuk/ungkapan yang awal itu – ayam putih terbang siang: hinggap di halaman, malih kepada mata orang banyak. Saya yakin bahawa gambaran yang diberikan lewat ungkapan pada peribahasa itu jelas kepada kita, dan kita dengan mudah akan menyetujui maksud yang dikiaskan daripadanya.

Walau bagaimanapun, bukan sedikit daripada kita yang tertanya-tanya akan kata malih itu. Apakah bendanya malih itu, atau kalau bukan benda, apakah pula maksudnya yang sebenarnya? KDE4 mengatakan malih ini berasal daripada bahasa Jawa yang bermaksud “bertukar (rupa, corak, dll), berubah”. Itu sahaja makna yang ada dalam KDE4.

Berdasarkan definisi yang diberikan oleh KDE4 itu, ternyata kata malih itu tidak sesuai berada dalam ungkapan yang terbentuk pada peribahasa itu. Ayam putih terbang siang: hinggap di halaman, bertukar/berubah kepada mata orang banyak. Wah, ayam putih seolah-olah mampu berubah warnanya atau mampu mengubah pandangan orang banyak!

Saya fikir, kata malih dalam peribahasa itu telah tersilap taip. Barangkali kalimat itu berasal daripada dialek Minangkabau – maliek atau taliek – yang dalam bahasa Melayu baku disebut sebagai “melihat” atau “terlihat”, untuk melahirkan bentuk ayam putih terbang siang: hinggap di halaman, maliek/taliek (melihat/terlihat) kepada mata orang banyak. Mungkin!

Walau bagaimanapun, bentuk yang sahih, bentuk yang saya temukan dalam KIPM2 susunan Abdullah Hussain dan Peribahasa susunan K. St. Pamuntjak et. al. ialah ayam putih terbang siang: hinggap di halaman, terang kepada mata orang banyak. Bentuk ini jugalah yang banyak ditemukan dalam laman-laman web kamus peribahasa yang terkemudian.

Dengan adanya kata terang, barulah jelas akan peranan ayam putih sebagai objek penting dalam pembentukan peribahasa itu – mudah dikesan dan dilihat serta jelas nyata pada pandangan sesiapa pun tatkala berada di tengah halaman. Dalam erti kata lain, kehadiran kata malih dalam peribahasa itu tidak tepat dan diragui pengucapannya.

No comments:

Post a Comment