Thursday, August 4, 2016

PERIBAHASA WARISAN BANGSA XIV: “Hitam tahan tempa, putih tahan sesah”

Pada orang yang lasak dan kalis serta tahan serba-serbi, atau pada sesuatu yang kekal tidak berubah malah kekal mutu dan keasliannya, ada peribahasa yang mengiaskan kedua-duanya itu, iaitu hitam tahan tempa, putih tahan sesah. Warna hitam dan putih yang terungkap dalam peribahasa itu ialah warna yang dilekatkan pada sesuatu objek yang dapat dikesan melalui kalimat tempa dan sesah.

Ya, objek yang melalui proses tempa tidak lain tidak bukan ialah besi, keluli, dan yang seumpama dengannya. Kalimat tempa sebenarnya bermaksud “perbuatan mengetuk atau menitik besi dan yang seumpama dengannya selepas besi itu melalui proses pemanasan”. Proses tempa ini dilakukan terhadap besi dll itu untuk menjadikannya peralatan seperti parang, pedang, mata lembing, keris, dan lain-lain sebagainya.

Sebaliknya, objek yang lazimnya disesah ialah kain dan yang seumpama dengannya. Kalimat sesah, dalam konteks peribahasa yang dibicarakan ini, bermaksud “mencuci/membasuh pakaian dengan menghempaskannya pada sesuatu” sampai jadi putih bersih. Perbuatan sesah juga dilakukan terhadap cendawan. Hal ini dapat ditemukan pada peribahasa sebagai cendawan disesah (dibasuh/dicuci) yang bermaksud berkeadaan pucat lesi.

Daripada peribahasa hitam tahan tempa, putih tahan sesah itu, tampak jelas keindahan bentuk ungkapannya. Kata hitam berpadanan dengan kata putih (kedua-duanya kata adjektif), kata tahan diulang di tengah baris (responsi), dan kata kerja tempa dan sesah (kedua-duanya kata kerja) bergandingan di hujung ungkapan. Hal seperti ini menyerlahkan ketelitian leluhur kita yang bukan “suka-suka” dan “sambalewa” dalam penciptaan peribahasa.

Namun begitu, ada bentuk ungkapan lain daripada peribahasa ini, entah berlaku/dilakukan secara sengaja dan sedar ataupun entah sebaliknya. Bentuk baharu yang saya maksudkan itu ialah hitam tahan timpa, putih tahan sesah. Dalam hal ini, perbedaan bentuk ungkapan itu terdapat pada kalimat timpa yang menggantikan kata tempa. Kalimat timpa bermaksud “hempap, tindih, dsb”.

Tidak banyak objek hitam yang tahan timpa. Ahli gusti berkulit hitam banyak yang kalah selepas ditimpa/dihempap oleh seterunya. Kereta berwarna hitam remuk apabila ditimpa batu atau dahan kayu. Arang kayu yang berwarna hitam itu apatah lagi, sangat rapuh dan tidak mungkin dapat dicantumkan lagi kalau ditimpa sesuatu. Jadi, objek apakah yang tahan timpa dalam konteks peribahasa hitam tahan timpa, putih tahan sesah itu?

Jelas bahawa bentuk ungkapan hitam tahan timpa, putih tahan sesah itu tidak tepat dan tidak jelas berbanding dengan bentuk hitam tahan tempa, putih tahan sesah, yang ternyata lebih khusus dan spesifik. Di manakah bentuk ungkapan yang tidak tepat ini dapat ditemukan? Sekali lagi, rujukilah KDE4, entri hitam, hlm 541. Terdapat deretan peribahasa yang diberikan oleh entri ini dan bentuk hitam tahan timpa, putih tahan sesah ini satu daripadanya.

Saya cuba mengesan bentuk hitam tahan timpa, putih tahan sesah ini di pelbagai kamus peribahasa (termasuklah KIPME2 dan kamus-kamus peribahasa dari negara jiran), dan saya tidak menemukan bentuk hitam tahan timpa, putih tahan sesah tersebut melainkan yang saya temukan ialah bentuk ungkapan hitam tahan tempa, putih tahan sesah itu sahajalah! Namun begitu, saya menemukan satu bentuk lain yang lebih mengejutkan saya!

Buku Peribahasa susunan K. St. Pamuntjak et. al. (Balai Pustaka, Cetakan kedua belas, 2004, hlm 192) menyenaraikan bentuk yang agak aneh – hitam tahan tarpa, putih tahan sesah. Bentuk ini lebih aneh kerana kata tarpa tidak wujud baik dalam KDE4 ataupun KBBI. Kalaupun kata tarpa itu merujuk kepada kata terpa menjadi hitam tahan terpa, putih tahan sesah, bentuknya tetap janggal – hitam tahan terpa!

Saya yakin bahawa bentuk yang salah dalam Peribahasa itu berlaku disebabkan oleh ralat taip oleh sidang yang terlibat dalam penyusunannya dan tidak pula disedari oleh sidang yang menerbitkannya. Walau bagaimanapun, baik dalam KDE4 ataupun Peribahasa, bentuk yang salah ini harus dibetulkan, tidak wajar dibiarkan begitu sahaja. Kecendekiaan leluhur kita haruslah dipelihara dan jangan sekali-kali dicemari! 

2 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete