Monday, July 25, 2016

PERIBAHASA WARISAN BANGSA XIII: “Binatang Umang-umang” atau “Bintang Umang-umang”

Adakah kedua-dua makhluk ini – binatang dan bintang – sama? Ya, dari satu sisi, memang ada persamaannya, iaitu kedua-duanya makhluk ciptaan Allah. Namun begitu yang jelas, dari segi sifat, kedua-duanya berbeda. Binatang ialah makhluk yang melata di muka bumi atau di dalam bumi serta di permukaan air atau di dalam air selain terbang di angkasa (tetapi tidak sampai dapat tinggal sama tinggi dengan bintang). Binatang berkait dengan bintang melalui kearifan manusia apabila mereka mengaitkan kedua-duanya melalui zodiakkambing jantan untuk bintang Aries, lembu jantan untuk bintang Taurus, ketam untuk bintang Cancer, dan lain-lain sebagainya.

Bintang pula ialah makhluk yang tinggi di angkasa (dada langit), yang jutaan kilometer jauhnya dan ribuan atau barangkali jutaan pula jumlahnya. Makhluk Allah ini akan mengerdipkan cahayanya di dada langit pada waktu malam hingga mempesonakan manusia dan barangkali binatang juga. Bintang menjadi panduan yang sangat berguna kepada para pelayar dalam mencari arah tuju pelayaran. Orang Melayu, yang mempunyai kebijakan, apabila melihat gugusan bintang yang membentuk objek tertentu, lalu menamakannya dengan nama bentuk yang dibayangkan mereka seperti bintang belantik, bintang pari, bintang biduk, bintang kejora, dan lain-lain sebagainya.

Bintang juga, kerana sifatnya yang istimewa – tinggi, cerah bercahaya-cahaya, dan berkerdip-kerdip – digunakan oleh manusia untuk merujuk kepada pelbagai benda dan perkara lain seperti untung nasib; tokoh-tokoh terkenal dalam lapangan tertentu (hiburan dan sukan), selain turut merujuk kepada kurniaan yang menjadi tanda kebesaran dan kehormatan daripada pihak tertinggi kepada tokoh-tokoh yang layak menerimanya. Oleh sebab itulah lahir ungkapan-ungkapan bintangnya cerah (merujuk kepada untung nasib); bintang filem/olahraga (merujuk kepada tokoh-tokoh dalam lapangannya); dan bintang kebesaran (merujuk kepada pingat sebagai anugerah).

Tidak seperti bintang, binatang, apabila dirujuk kepada manusia, negatif sifatnya. Kalau manusia dikatakan sebagai berperangai binatang bermaksud bahawa manusia itu buruk atau keji perangainya. Ungkapan binatang, malah, menjadi cacian atau makian tatkala seseorang demikian marah. Biasa kita mendengar orang yang terlalu marah terhadap seterunya atau orang yang menganiayainya, mendahulukan kata-katanya seperti: “Binatang engkau!” Ungkapan ini sebenarnya setaraf dengan ungkapan “Sial” atau “Celaka” yang juga biasa digunakan orang tatkala mereka terlalu marah. (Walau bagaimanapun, elok kiranya kita yang waras dan beragama tidak menggunakan ungkapan sedemikian.)

Dalam peribahasa, binatang dan bintang digunakan cendekiawan silam untuk mengiaskan sesuatu. Binatang tahan palu, manusia tahan kias (bermaksud mendidik haiwan dengan kekerasan, mendidik manusia dengan nasihat) adalah antara peribahasa yang menggunakan kalimat binatang. Bintang di langit boleh dibilang, tetapi arang di mukanya tak sedar (bermaksud buruk orang sedar, buruk sendiri tidak sedar) adalah antara peribahasa yang memanfaatkan kalimat bintang.

Ada pula peribahasa laksana binatang umang-umang: di mana sarang udang, di situ tempat menumpang (bermaksud orang miskin yang bergantung hidup pada orang lain). Jelas bahawa peribahasa ini memanfaatkan kalimat binatang untuk digandingkan dengan umang-umang, sejenis ketam kecil di laut yang lazimnya menumpang sarang atau cangkerang haiwan laut lain. Namun demikian, telah ada bentuk laksana bintang umang-umang: di mana sarang udang, di situ tempat menumpang. Sekali lagi, bentuk yang tampak janggal dan pelik ini dapat ditemukan dalam KDE4! Maksud yang didukung oleh bentuk yang janggal dan aneh ini sama dengan bentuk yang awal itu.

Bentuk peribahasa ini jelas tidak benar kerana umang-umang yang kemudiannya dicirikan oleh ungkapan di mana sarang udang, di situ tempat menumpang dalam peribahasa itu jelas tidak merujuk kepada bintang (kalau ada gugusan bintang berbentuk umang-umang di dada langit) melainkan merujuk kepada binatang! Mustahil bintang di langit menumpang sarang udang yang ada di laut. Kesilapan ini sekali lagi berlaku kerana ralat taip (typo-error) yang berlaku sewaktu pendokumentasiannya tanpa disedari oleh pembaca pruf dan selanjutnya pihak-pihak yang berikutnya. Dalam penerbitan, ralat taip memang sesuatu yang lumrah dan ketaksedaran pembaca pruf mengesannya juga sesuatu yang lumrah. Menjadi tanggungjawab pihak yang mengemaskinikannyalah untuk membetulkannya.

No comments:

Post a Comment