Thursday, July 21, 2016

PERIBAHASA WARISAN BANGSA XI: Antara “mengejan”, “mengejar”, dan “menghijau” – Yang indah yang Mana?

BUKAN sedikit orang yang memahat dan mengukir keinginan untuk mendapat kemuliaan; ada yang keinginan itu terpenuhi tetapi tidak kurang yang terpaksa menelan kekecewaan. Malah, bukan sedikit orang yang sangat menginginkan kemuliaan, namun yang diperolehnya keaiban, kerugian, dan malang pula. Dalam konteks keadaan yang digambarkan pada maksud yang kedua itu, ada kias yang diungkapkan oleh nenek moyang kita dahulukala – mengejan tuah, najis keluar yang bermaksud kemuliaan yang diburu-buru, kehinaan/keaiban yang diperoleh.

Perkataan mengejan dalam peribahasa yang dibicarakan ini bermaksud “meneran”, yakni suatu perbuatan yang biasa dilakukan oleh kaum hawa ketika hendak melahirkan bayi mereka (melalui proses biasa, bukan melalui proses pembedahan) selain dilakukan manusia atau haiwan sewaktu hendak buang air besar atau buang air kecil. Perbuatan mengejan/meneran ini dilakukan oleh ibu dan manusia atau haiwan dengan tujuan untuk mengeluarkan bayi yang dikandungi mereka atau untuk mengeluarkan najis daripada usus masing-masing.

Dalam konteks peribahasa ini, kata tuah yang bergandingan dengan perbuatan ejan itu sebenarnya dilambangkan kepada bayi. Ya, bayi (yang untung nasibnya dalam pengetahuan al-Khaliq jua) memang selalu diangkat sebagai pembawa sinar (tuah) dalam kehidupan berkeluarga. Namun begitu, dalam pembentukan peribahasa itu, jika kata bayi yang dipilih (mengejan bayi, najis keluar), keindahan ungkapannya sedikit luntur dan terlalu langsung. Di sinilah terserlahnya kearifan dan kecendekiaan leluhur kita dalam membentuk peribahasa ini.

Peribahasa mengejan tuah, najis keluar itu memang suatu sindiran atau peringatan yang menarik, khususnya kepada sang pendamba kemuliaan. Walau bagaimanapun, entah bagaimana, wujud pula suatu bentuk ungkapan yang lain daripada bentuk mengejan tuah, najis keluar ini, namun masih mengekalkan maksud yang sama – menghijau tuah, najis keluar! Dalam hal ini, perkataan mengejan itu tadi telah bertukar menjadi menghijau, yang jika dibelek-belek dan diteliti dengan saksama, menimbulkan keanehan dan kelucuan pula.

Ya, tuah itu seolah-olah “diberi warna hijau” (dihijaukan) atau “menjadi hijau” atau “nampak hijau” sedangkan kalau hendak diberi maksud “menjadi hijau” atau “nampak hijau”, peribahasa itu harus diungkapkan sebagai tuah menghijau, najis keluar, yang pasti tampak lebih kelakar dan sangat aneh! Bentuk yang aneh dan kelakar ini dapat anda temukan dalam KDE4, hlm 1717, di bawah entri tuah. Saya yakin, kesilapan ini tidak disengajakan, mungkin disebabkan oleh silap taip atau ketidaksedaran penyalin akan kewujudan kata ejan.

Dalam KIPME2 pula, selain, mengejan tuah, najis keluar, kamus yang sama mengemukakan bentuk ungkapan yang lain, iaitu mengejar tuah, najis keluar. Bentuk mengejar tuah, najis keluar ini turut menjadi pilihan para penyusun kamus peribahasa yang lain. Malahan, banyak antara mereka yang langsung mengesampingkan bentuk mengejan tuah, najis keluar ini, sebaliknya memilih bentuk mengejar tuah, najis keluar semata-mata. Hal ini agak aneh kerana tampak mereka tidak meneliti bentuk yang logik berdasarkan kearifan leluhur kita.

Yang dekat dan cocok dengan ungkapan keluar dalam peribahasa itu ternyata memang mengejan kerana mengejan memang dilakukan untuk mengeluarkan sesuatu, seperti yang dijelaskan di atas tadi. Sebaliknya, jarang-jarang orang mengejar sesuatu sampai terkeluar najis mereka, kecuali kalau mereka sebelum itu sakit perut! Saya suka berbalik kepada sifat arif leluhur kita dalam membentuk ungkapan-ungkapan indah dalam setiap pepatah dan petitih yang dicipta mereka, dan peribahasa mengejan tuah, najis keluar ini satu daripadanya.

No comments:

Post a Comment