PADA siaran saya lama dahulu,
ada saya ketengahkan bentuk-bentuk ungkapan peribahasa yang salah dalam kamus-kamus
pegangan kita, khususnya KDE4 dan KIPME2. Pendedahan ini tidak ada
matlamat lain selain untuk membetulkan serta memelihara dan memurnikan mutiara
kata pusaka nenek moyang yang diwariskan kepada kita sejak saman silam. Walau
bagaimanapun, pendedahan ini belum tentu betul sepenuhnya, bahkan perlu
dibincangkan dan dikaji dengan sewajarnya.
Sekali ini, saya hendak membicarakan
peribahasa bagai ayam di tombong, kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi (KDE4) dan bagai
ayam si tombong, kokok berderai-derai
ekor bergelumang tahi (KIPME2). Terdapat perbedaan kecil pada peribahasa yang mempunyai maksud
yang sama ini – orang yang cakapnya besar sedangkan kaumnya sendiri hidup melarat
– iaitu pada ungkapan di tombong dan si tombong. Kata tombong itu, pada kedua-dua kamus, diertikan sebagai “sombong”!
Benarkah tombong pada peribahasa itu bermaksud “sombong”? Sebenarnya, tidak! Tombong pada peribahasa itu berasal
daripada kata tumbung yang bermaksud “kecambah dalam buah kelapa tua yang berwarna
putih kekuningan, isinya lembut dan boleh dimakan”. Daripada bentuk tumbung kelapa
itulah munculnya tumbung/tombong pada peribahasa yang
dibincangkan ini, yang merujuk kepada sejenis penyakit dubur terkeluar (bawasir/prolaps)
yang bukan sahaja dialami manusia, tetapi juga haiwan seperti ayam.
Ayam yang menderitai penyakit ini
memang najisnya bergelimang di ekornya (kerana ayam tidak dapat membasuh najisnya
seperti manusia, apatah lagi memakai lampin bagi mengelakkan najisnya mengotori
ekornya). Namun memang demikian sifatnya ayam, betapa kotor pun ekornya oleh najis
daripada penyakit tumbung duburnya itu, tetap juga berdegar-degar kokoknya. Maka,
daripada keadaan ayam yang demikianlah leluhur kita berkias untuk menyindir
golongan yang dimaksudkan dalam peribahasa ini.
Saya merujuki Kamus Besar Bahasa Indonesia dan kamus tesaurus bahasa Melayu, tidak
saya temukan kata tombong/tumbung yang mendukung maksud “sombong” seperti dalam KDE4 yang barangkali terhasil semata-mata
untuk menempatkan peribahasa ini. Mungkin kata ini ada dalam dialek tertentu,
saya kurang pasti. Lebih daripada itu, ungkapan di tombong pada peribahasa ini dalam KDE4
jelas tidak tepat kerana ungkapan yang benar ialah si tombong/si
tumbung.
Sama ada hendak menggunakan tumbung (rasmi)
atau tombong (dialek
Negeri Sembilan), yang pasti kata ini bukan mendukung maksud sombong dan hal
ini perlu diperbetulkan, khasnya pada peribahasa yang dibicarakan ini.
No comments:
Post a Comment