Wednesday, August 10, 2011

Kakitangan Awam Dapat Setengah Bulan Bonus, Kami Dapat Apa?

Harga petroleum mentah bermain-main pada harga sekitar AS80.00 setong sekarang. Tetapi, harga petrol di negara ini, baik yang namanya RON95 mahupun yang bernama RON97 yang kononnya “diapung-apungkan” atau “dikatung-katungkan” itu, masih lagi “menetap” dengan kejap dan kukuh serta mantap pada harga lama yang “mencekik leher” itu. Menteri yang berkaitan masih mengezip bibir atas bawahnya. Pada bulan Ramadan ini, diam itu ibadat!

Kakitangan awam bakal mendapat “durian runtuh” daripada pihak pemerintah yang “murah hati”. Mereka bakal beroleh ganjaran setengah bulan bonus atau sekurang-kurangya RM500 setiap seorang. Mungkinkah wang perolehan daripada harga petrol (diesel dan gas) yang “terlebih harga” itu yang digunakan oleh pihak pemerintah untuk membiayai kos pembayaran bonus yang jumlah keseluruhannya mencecah RM2 bilion itu? Ini pertanyaan bukan kesangsian!

Kami yang bukan kakitangan awam ini turut bergembira dengan “rezeki terpijak” yang diganjarkan oleh pihak pemerintah kepada kakitangan awam kerana mereka pun bukan orang lain kepada kami. Ada kalangan kakitangan awam itu yang merupakan dansanak kami, sesetengahnya merupakan kenalan kami, jiran setangga seblok sekampung dan setaman kami, malah ada yang menjadi suami atau isteri kami. Seperti mereka, kami pun turut bersyukur!

Walau bagaimanapun, dalam tempoh harga barangan keperluan begitu mahal pada masa ini, kegembiraan dan kesyukuran kami akan bertambah-tambah kalau harga petrol, diesel, dan gas ikut turun seperti turunnya harga bahan mentah itu di pasaran global. Kalau harga barangan keperluan ikut turun bersama dengan turunnya harga petrol, diesel, dan gas kelak, kegembiraan dan kesyukuran kami tambah melimpah-ruah! Itulah bonus untuk kami. Ini harapan bukan desakan!

Kalau tidak turun-turun juga?

Adalah yang akan turun nanti!

6 comments:

  1. Kasihan, kita bukan kakitangan kerajaan atau peneroka felda. kita bukan siapa-siapa.

    ReplyDelete
  2. Salam, Khairul,
    Bonus setengah bulan mungkin akan menaikkan harga barang. Mujur kita orang yang sabar walaupun diperbodoh selalu.

    ReplyDelete
  3. Salam, Zul.
    Aku yakin bukan kita yang diperbodoh selalu. Dan kita dah lamaaaa dah bersabar. Tak boleh nak bersabar lagi. Tunggu PRU 13!

    ReplyDelete
  4. Salam, Mi,
    Ya, kita harus bertindak bersama-sama pada PRU akan datang!

    ReplyDelete
  5. Salam, Tuan Zul. Ramai (kawan-kawan saya, terutamanya) menyangka pekerja sektor swasta seperti kita mendapat bonus yang lebih banyak berbanding pekerja sektor swasta. Hakikatnya, tidak. Mengharapkan harga barang dan harga petrol turun, serupalah seperti mengharapkan munculnya pelangi di waktu malam. Mari kita turunkan ______ (isi sendiri tempat kosong ini, hahahaha)...

    ReplyDelete
  6. Salam, Cikgu,
    Jika demikian payahnya mengharapkan turunnya harga petrol, diesel, gas, kita alihkanlah harapan kita itu untuk menurunkan tahap sokongan kita terhadap mereka yang berkuasa itu ke paras negatif.

    ReplyDelete