Wednesday, August 3, 2011

Mereka Memang Tidak Pernah Serik

Cerita terbaharu tentang kesungguhan pihak pemerintah untuk mengekalkan kuasa di Persekutuan dan negeri serta merampas kuasa di beberapa buah negeri sangat membimbangkan kita. Mereka telah menggunakan pelbagai agensi untuk memastikan kemenangan mereka dalam PRU akan datang. Antara yang telah dikenal pasti termasuklah adanya usaha untuk mewarganegarakan pendatang asing dan menjadikan mereka sebagai pengundi berdaftar. Demi kuasa, mereka memang tidak pernah serik!

Dahulu, selepas kemenangan yang kurang memberangsangkan dalam PRU, dilakukan persempadanan semula kawasan Parlimen dan DUN. Kerana kononnya orang bukan Melayu telah menyokong parti pemerintah manakala majoriti orang Melayu pula tidak menyokong mereka, maka kawasan yang bermajoriti bukan Melayu diwilayahkan dalam kawasan yang majoriti Melayu. Maka mengecillah majoriti orang Melayu di kawasan yang majoritinya sebelum itu sangat besar. Sebagai hasil perancangan itu, kemenangan pihak pemerintah dalam PRU yang berikutnya sangatlah memberangsangkan.

Namun demikian, apakah yang terjadi kepada parti pemerintah pada PRU yang lalu apabila orang bukan Melayu yang masuk ke dalam wilayah majoriti Melayu tidak menyokong mereka bersama-sama dengan orang Melayu sendiri? Mereka (pihak pemerintah) akhirnya tersungkur hingga beberapa buah negeri terlucut daripada genggaman! Itulah kepahitan yang terpaksa ditelan oleh mereka sebagai akibat daripada kesilapan sendiri — kesan jangka pendek lebih diharapkan daripada kesan jangka panjang!

Tentang usaha yang dilakukan oleh mereka sekarang — mewarganegarakan pendatang asing dan menjadikan mereka pengundi berdaftar — tidak terfikirkah mereka kesan yang bakal dihadapi oleh negara dan rakyat negara ini pada suatu hari nanti? Tidak kiralah sama ada mereka itu memakai nama Mismah (tanpa ayah), Sivalingam, Xin Hua, Eh Ding, dan sebagainya, kewujudan mereka sebagai warganegara baharu negara ini langsung tidak dialu-alukan! Kecintaan mereka kepada negara ini tidak sama dengan kecintaan kami yang memang lahir di negara ini. Mereka hanya mencintai peluang, wang, dan kerjaya.

Kalau hendak menang PRU sekalipun, janganlah diperjudikan nasib warganegara Malaysia yang asal. Cuba-cubalah berfikir mengikut kotak fikir seorang manusia yang waras — kemenangan hanya wujud dalam sesuatu persaingan/pertandingan. Untuk bersaing dan beroleh kemenangan, kalian mesti menjadi yang terbaik. Adakah kalian tidak cukup baik hingga terpaksa melakukan hal-hal yang menguntungkan kalian untuk jangka pendek sedang untuk jangka panjang kalian bukan sahaja telah merugikan diri kalian tetapi telah merugikan rakyat keseluruhannya?

Belajar-belajarlah berasa serik!

4 comments:

  1. tuan, pemberian kewarganegaraan secara besar-besaran dan terusun ni dah lama berlaku di Sabah. Orang Sabah bising pasal benda ni. KL buat tak dengar. Sebab tu, gua berani kata antara sebab Sabah jadi simopanan tetap Dacing adalah disebabkan angkara ini. Cerita ugut-mengugut menjelang pilihan raya dah jadi biasa di sana. "Ko undi dacing, kalo inda, aku tarik ko punya IC. Dacing kalah, awas ko!" Dan sekarang ni 'projek' sedemikian dah membarah di semenanjung.

    ReplyDelete
  2. Salam, Bro,
    Patutlah.... Kalau di Sabah telah terbukti bahawa cara itu berjaya, maka mereka pasti berjaya sekali ini.

    Si Ular Sawa dalam SPR itu masih juga memberikan komen bangangnya tentang hal ini.

    ReplyDelete
  3. Salam Ramadan al-Mubarak.
    Benda-benda jelik macam ni mana dia orang serik, bang. Yang benar disalahkan, yang salah dibenarkan. Pelik tak pelik, ada pulak orang yang cerdik tak nampak benda-benda jelik macam ni.

    ReplyDelete
  4. Salam, Mi,
    Yang menerbitkan kebimbangan kita ialah (ini yang pelik ni kerana mereka tak berasa bimbang), perlukah demi kemenangan yang menjamin kekuasaan, lebih tepatnya demi kekuasaanlah, nasib kita dilacurkan ... diperjudikan.

    ReplyDelete