Monday, September 5, 2011

Ops-Ops Sikap dan Peningkatan Jumlah Kenderaan

Kita sudah mengusahakan pelbagai cara untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya, namun hingga kini kadar itu masih belum dapat dikurangkan. Pihak yang bertanggunggungjawab tentang hal ini (JKJR, JPJ, PDRM, dll) seperti bersetuju bahawa peningkatan ini berpunca daripada peningkatan jumlah kenderaan yang berada di jalan raya! Kita juga mungkin bersetuju dengan hakikat ini.

Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya bermaksud bahawa jumlah orang yang layak memandu dan jumlah orang yang memiliki kenderaan telah meningkat. Peningkatan yang menjadi penyumbang kepada peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya ini sebenarnya menjadi idaman pihak yang mengejar wang — pembiaya pinjaman kenderaan, penjual kenderaan, pengusaha stesen minyak, dan pengendali lebuh raya bertol!

Di satu pihak yang lain, peningkatan jumlah kemalangan di jalan raya menjadi idaman pengusaha bengkel kenderaan pula!

Hal ini bermaksud bahawa hal yang menjadi malapetaka kepada kita rupa-rupanya ada manfaatnya kepada pihak yang lain! Lantas, apakah yang harus kita lakukan?

Soal keselamatan di jalan raya berkait dengan soal imej negara dan bangsanya. Oleh itu, hal ini perlu kita atasi. Kalau benar peningkatan jumlah kenderaan telah menjadi penyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan di jalan raya, kita harus berasa malu kerana hal ini menggambarkan bahawa kita telah gagal melahirkan pemandu yang berhemah. Pemandu yang lama gagal dihemahkan, pemandu yang baharu pun gagal dihemahkan!

Tidak ada cara lain untuk menghemahkan pemandu selain melalui penguatkuasaan undang-undang. Lancarkanlah beratus-ratus siri Ops Sikap sekalipun, kita tidak akan dapat membetulkan sikap pemandu kalau penguatkuasaan undang-undang masih lemah. Menghemahkan manusia harus dilakukan oleh manusia, bukan kamera statik atau perangkap laju! Sejak bilakah alat dapat membentuk akhlak dan disiplin manusia?

Saya ambil diri saya sebagai contoh (mungkin saudara/saudari pun seperti saya juga). Saya memandu atau menunggang motosikal pada setiap hari. Kesalahan yang dapat saya saksikan pada setiap hari (yang dilakukan oleh penunggang atau pemandu kenderaan) ialah melanggar isyarat lampu merah. Benar, setiap hari saya dapat melihat hal ini, baik di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang menjadi laluan kerja saya atau di Kajang yang menjadi tempat tinggal saya! (Perlu diingat, kesalahan ini dapat mengundang padah.)

Mengapakah mereka berani melakukan demikian? Hal ini tidak lain kerana mereka senantiasa terlepas daripada penguatkuasaan. Kamera statik tidak menakutkan mereka, sungguh! Bukankah baik kalau setiap kali mereka melakukan kesalahan, mereka dihambat oleh motosikal peronda (seperti yang dilakukan oleh Starsky & Hutch). Kalau seorang dua penguasa berada di lokasi dan menghambat pesalah dan hal ini dilihat pada setiap hari oleh pengguna, pasti pengguna takut untuk melanggar isyarat lampu merah!

Penguatkuasaan yang dilakukan secara bermusim terbukti tidak berjaya untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya. Statistik yang dikeluarkan oleh Cawangan Trafik Bukit Aman membuktikan hal ini. Daripada hanya 279 711 kes kemalangan yang berlaku setahun (2002), kes kemalangan di jalan raya di negara ini telah meningkat kepada 414 421 setahun (2010) — hampir menyamai kes kemalangan (tahunan) yang berlaku di Negara China yang berpenduduk lebih daripada 1.3 bilion itu!

Pelaksanaan Ops Sikap janganlah bermatlamat untuk membetulkan sikap pengguna jalan raya sahaja. Ops Sikap haruslah bermatlamat untuk membetulkan sikap penguasa juga.

2 comments:

  1. En Zul, sy heran mengapa Malaysia menjadi antara negara yg tinggi kadar kemalangan mautnya sedangkan bnyk negara lain didunia ini yg lebih tinggi dr Malaysia.

    ReplyDelete
  2. Sdr Anon,
    Statistik kemalangan di jalan raya (bagi setiap negara) dikira mengikut setiap (per) 100,000 orang penduduknya (ditetapkan oleh pihak WHO). Perlu diingat, jumlah penduduk Malaysia ialah 27.5 juta orang.

    Berdasarkan statistik Cawangan Trafik Bukit Aman, pada tahun 2010, sebanyak 414,421 kemalangan di jalan raya telah berlaku di negara ini. Daripada jumlah itu, 6,872 orang telah terkorban.

    Jika dikira mengikut ketetapan WHO itu (414,421 kemalangan x 100,000 org ÷ 27,500,000 org penduduk), jumlah kemalangan di jalan raya di negara kita per 100,000 org penduduknya ialah 1,507 manakala yang maut pula ialah 25 org per 100,000 org penduduknya.

    Walhal, jumlah kemalangan di jalan raya dan jumlah orang yang maut daripada tragedi itu di Negara China, India, malah di Jerman sendiri tinggi juga. Di Negara China, kira-kira 450,000 kemalangan berlaku setiap tahun dengan mengorbankan 100,000 nyawa; di India, 410,000 kemalangan berlaku dan 86,000 org maut; di Jerman, 336,000 kemalangan berlaku dan 5,360 org mati.

    Tetapi, oleh sebab penduduk mereka banyak (Negara China berpenduduk 1.3 bilion org; India 1.17 bilion org; Jerman 81.8 juta org), maka kadar kemalangan dan jumlah orang yang maut per 100,000 org penduduk mereka rendah — China: 35 kemalangan dan 7.7 org mati per 100,000 org penduduknya; India: 35 kemalangan dan 7.35 org mati per 100,000 org penduduknya; Jerman: 410 kemalangan dan 7 org mati per 100,000 org penduduknya.

    Di rantau sebelah sini, Thailand adalah antara negara yang tinggi kadar kemalangan mautnya, iaitu 11,561 org mati daripada 88,689 kes kemalangan di jalan rayanya pada tahun 2008 (lebih tinggi daripada Malaysia). Walau bagaimanapun, kadar kematian per 100,000 org penduduknya rendah, iaitu 17.2 org sahaja. Hal ini berlaku demikian kerana penduduk Thailand berjumlah 64 juta org.

    Yang bagus tentang Thailand ialah, sejak tahun 2003, kadar kemalangan mautnya telah dapat dikurangkan pada setiap tahun. Daripada 14,446 org yang terkorban di jalan raya mereka pada tahun 2003, jumlah itu telah menyusut kepada 10,439 org pada tahun 2009. Kita perlu belajar daripada mereka.

    Saya berharap agar penerangan saya ini telah dapat “melenyapkan” kehairanan Sdr tentang sebab-musabab negara kita terkategori sebagai negara yang tinggi kadar kemalangan dan kadar kematian di jalan rayanya di dunia!

    ReplyDelete