Friday, November 4, 2011

Iduladha Dahulu dan Sekarang: Alhamdulillah...

Hari Ahad, 6 November 2011, insya-Allah, kita sekali lagi akan merayakan Hari Raya Iduladha (sekali ini bagi tahun ke-1432 Hijrah pula). Marilah kita berdoa agar saudara se-Islam kita yang sedang menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci itu beroleh haji yang mabrur, amin!
Mengimbas zaman kanak-kanak, kehadiran 10 Zulhijjah ini seperti tidak membawa makna apa-apa kerana di kampung saya, perayaan ini disambut dengan sangat sederhana, tidak seperti sambutan Hari Raya Idulfitri.

Kami tidak dibelikan baju baharu oleh abah kami, atau emak kami, atau ibu-ibu dan bapa-bapa saudara kami. Opah pun tidak sibuk meminta saya membantunya membakar baulu atau kuih bangkit dan atuk pun tidak sibuk membakar lemang.

Kerana kehadirannya tidak begitu diraikan, pada awal 1980-an (masih bujang ketika itu), pernah saya membuat keputusan untuk tidak pulang ke kampung bagi meraikannya. Saya tahu emak dan abah saya tidak gembira dengan keputusan saya itu.

Kecuali saya dan seorang teman serumah, empat orang teman yang lain balik ke kampung masing-masing. Pada pagi hari raya, sebelum bersolat sunat Iduladha, apabila takbir raya berkumandang di radio, air mata spontan mengalir dan membasahi pipi.

Keputusan yang telah kejap melekat di hati sebelum itu, terus berputar 360 darjah. Saya mengambil sepasang dua pakaian, lantas memasukkannya ke dalam beg. Selepas solat sunat Iduladha, saya segera ke Klang dan menaiki bas ekspres ke Sabak Bernam!

Sesungguhnya, tarikan untuk bersama-sama dengan emak dan abah pada hari-hari yang mulia ini sangat kuat. Hati ini akan dibaluti rasa seronok yang luar biasa apabila dapat berjalan atau bermotosikal atau berkereta ke masjid bersama-sama dengan abah pada pagi hari raya.

Berbalik kepada sambutan Iduladha ini. Hal yang berbeda telah berlaku di kampung saya sekarang. Walaupun masih tidak semeriah Hari Raya Idulfitri, kedatangan Hari Raya Iduladha sekarang dinantikan penduduk. Dalam erti kata lain, kehadirannya sudah dirasakan oleh penduduk secara kolektif.

Walaupun mereka mungkin tidak membeli pakaian baharu, namun saya dapati mereka masih berpakaian cantik. Walaupun aktiviti kunjung-mengunjungi masih kurang, namun mereka saling mengucapkan salam Iduladha apabila bertembung, malah saling mempelawa teman supaya datang ke rumah.
Masjid pula dipenuhi jemaah, bukan sahaja oleh pemastautin tetap, tetapi juga oleh anak-anak kariah yang menjadi perantau seperti saya. Kebanyakannya berpakaian cantik, sama ada berbaju Melayu ataupun berjubah (di kampung saya dahulu, yang biasa berjubah hanya imam dan para pegawai masjid!)

Rasa saya, keadaan ini sudah mula berkembang ke segenap ceruk rantau di negara kita. Kalau sangkaan saya ini betul, alangkah elok dan sihatnya perkembangan ini! Berbanding dengan Hari Raya Idulfitri, sepatutnyalah Hari Raya Iduladha lebih meriah lagi.

Hal ini saya katakan begitu kerana pada Hari Raya Idulfitri, kala kita berkunjung ke rumah tetangga, sahabat handai, dan saudara-mara, kita hanya dapat bertakbir pada malam hari raya itu sahaja. Itulah sahaja tempohnya kerana esoknya, selepas solat sunat Idulfitri, tiada lagi takbir raya.

Sebaliknya, pada Hari Raya Iduladha, kita boleh bertakbir raya selama tiga hari (lebih kurang). Hal ini bererti bahawa kita berkesempatan untuk bertakbir raya bagi tempoh itu setiap kali kita mengunjungi tetangga, sahabat handai, dan saudara-mara pada Hari Raya Iduladha itu, tidak kira siang atau malam.

Saya sangat ingin merasai suasana sambutan Iduladha di Kelantan dan Terengganu yang dikatakan bahawa sangat meriah itu. Saya tidak mungkin dapat merasainya sekarang kerana saya masih mempunyai ibu bapa yang hendak saya raikan pada hari raya itu.

Tidak mengapalah, buat masa ini, saya tidak dapat merasai kemeriahannya di Kelantan atau Terengganu (keinginan peribadi) kerana saya wajib memeriahkan hati ibu bapa saya pada hari yang sangat mulia dan penuh barokah ini.

SELAMAT HARI RAYA IDULADHAkepada semua teman dan pembaca.

2 comments:

  1. Salam Iduladha; semoga sdr. sekeluarga dilimpahi rahmat oleh Allah.

    ReplyDelete
  2. Salam Iduladha juga kepada Prof sekeluarga; insya-Allah, Dia akan memberkati hayat kita.

    ReplyDelete