Thursday, December 15, 2011

Ke Usia 60 Tahun: Natijahnya

Usia had persaraan pekerja di sektor swasta bakal dinaikkan daripada 55 tahun sebelum ini kepada 60 tahun, sama dengan pekerja di sektor awam. Kerajaan telah pun memberikan persetujuan terhadap usaha yang telah dilakukan oleh MTUC sejak 10 tahun yang lalu. Pihak MEF sendiri bersetuju dengan cadangan itu. Kenaikan itu, menurut laporan Berita Harian, akan menggembirakan lebih 5 juta pekerja di sektor swasta.

Hal kenaikan usia persaraan ini sudah kerap didebatkan baik buruknya oleh masyarakat. Di pihak belia (lepasan sekolah, kolej, dan universiti), kenaikan itu pada pandangan mereka, menjejaskan peluang mereka untuk beroleh pekerjaan sekali gus meningkatkan jumlah pengangguran. Apatah lagi, kata mereka lagi, sehingga kini tidak tampak usaha yang signifikan daripada kerajaan untuk memperbanyak peluang pekerjaan untuk mereka.

Kalaulah hal ini menjadi realiti dalam masa terdekat ini, apakah tindakan pihak KWSP? Keseragaman had usia persaraan di sektor awam dan swasta itu tidakkah nanti akan menimbulkan idea di pihak mereka untuk meningkatkan usia pengeluaran wang caruman pekerja? Sekarang, pekerja boleh mengeluarkan sebahagian caruman mereka pada usia 50 tahun dan kesemua caruman mereka pada usia 55 tahun.

Pelajar yang menuntut di luar negara, malah yang di dalam negara sendiri pun akan berfikir banyak kali untuk bekerja di negara ini kerana peluang mereka untuk menjawat jawatan yang tinggi tipis sekali. Oleh hal yang demikian, mereka pasti berasa lebih seronok untuk bekerja di luar negara. Hal ini sudah tentulah merugikan negara kerana pelaburan mereka memberikan pendidikan kepada golongan ini akhirnya dinikmati oleh negara lain.

Golongan yang memang menyasarkan diri mereka untuk berkhidmat sehingga usia 55 tahun pasti terkilan terhadap peningkatan had usia persaraan ini. Adakah pada usia selewat itu mereka masih berupaya untuk membuat kerja lebih masa yang menjadi tuntutan sesetengah syarikat? Atau wajarkah pekerja yang berusia 59 tahun, misalnya, dipaksa melakukan kerja lebih masa hingga waktu untuk meningkatkan ibadah (yang Islam) terabai?

Pekerja atasan yang hati mereka tidak mulia, rasis, mengamalkan kronisme atau nepotisme akan menjadikan peningkatan had usia persaraan ini peluang terbaik mereka untuk mengangkat pekerja kesukaan mereka sebagai calon bayangan bagi menggantikan tempat mereka. Malah lebih buruk lagi, ada yang menjadikannya sebagai peluang untuk mencantas orang-orang yang tidak disukai mereka, yang bukan sebangsa dengan mereka, yang bukan kroni mereka, dsb.

Yang membimbangkan pihak pengurusan swasta, rasa saya ialah, peningkatan had usia persaraan ini bakal meningkatkan peruntukan/kos rawatan kesihatan kakitangan sekali gus meningkatkan perbelanjaan syarikat. Bagaimanakah mereka hendak menyerap peningkatan perbelanjaan ini? Menaikkan harga produk dan perkhidmatan mereka adalah antara cara/langkah yang bakal dilakukan mereka, tentunya.

Hal ini cuma pandangan peribadi penulis sebagai pekerja sektor swasta yang sangat menanti usia 55 tahun untuk menutup kamus sebagai pekerja yang dikawal oleh waktu pejabat. Tidak mengapalah peningkatan usia persaraan ini diteruskan kalau KWSP tidak mengubah had usia pengeluaran caruman pekerja. Kalau tiada perubahan di pihak KWSP, penulis masih boleh berhenti kerja pada usia 55 tahun dan menggunakan wang caruman sebagai biaya hidup.

Wallahualam.

2 comments:

  1. SAYA sokong usia persaraan 60 tahun kerana peluang menjawat pekerjaan bagi generasi sekarang banyak persaingan.Justeru ada yang sudah berusia 30 tahun ke atas dan sudah bergraduat lebih 5 tahun masih menganggur.Bayangkan apabila mereka mebuat pinjaman perumahan? Jika pencen 60 tahun tempoh merekadipanjangkan. Bayangkan saya dahulu menjawat jawatan kerajaan umur 22 tahun...sampai 50 tahun saya 'bersara' awal kerana kecewa dikhianati.Namun saya bersyukur...sekarang dapat 'gaji bulanan tanpa bekerja', dapat riada dan melancong dan membuat kerja-kerja konsultan,bebas dan gembira.Bahkan tiba-tiba dpat bernikah dua lagi.hehehe..rezeki!

    ReplyDelete
  2. Anon,
    Untungnya orang kerajaan - mereka dapat pencen. Kami di swasta bergantung pada EPF dan mungkin insurans.

    Tak dapatlah kahwin dua kerana tak ada pencen....

    Walau bagaimanapun, tahniahlah, Anon.

    ReplyDelete