Tuesday, January 10, 2012

Tak Masuk Akal: Kerana Dato’ Sri Anwar Ibrahim, Dato’ Dr. Hasan Ali Dipecat

Saya pengagum Dato’ Dr. Hassan Ali semasa beliau masih saya kenal sebagai pakar motivasi. Kalau kebetulan beliau menjadi pengerusi Forum Perdana siaran TV1, ditambah dengan kehadiran ahli-ahli panel seperti Dato’ Dr. Harun Din, Ustaz Ismail Kamus, dan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, buntut ini akan lekat di kerusi di hadapan TV. Saya berasa cemburu terhadap beliau kerana Allah menganugerahinya kepetahan dalam percakapan tanpa “err”, “apa nama”, dan sebagainya.

Saya pernah mengikuti khutbah Jumaatnya di Masjid al-Mujahidin di Damansara. Subhanallah, memang wajar saya menjadi pengagum beliau kerana khutbahnya menarik dan padu. Dengan kegemarannya menggunakan unsur repetisi dalam khutbahnya, sama seperti semasa memotivasikan khalayak, disertai dengan nada khutbahnya yang berapi-api, saya berasa pelik kerana pada masa itu ada juga jemaah yang kalah oleh kantuk lalu melelapkan mata.

Sebagai orang yang memahukan perubahan, saya terus menjadi pengagum beliau apabila beliau menjadi Eksko Kerajaan Negeri Selangor pula. Keberanian beliau “mengusik” perkara-perkara yang mengganggu agama Islam di Selangor amat saya sokong. Tindakan beliau, pada pandangan saya, betul daripada segi agama. Walau bagaimanapun, daripada segi politik, kata rakan-rakan saya, beliau telah menimbulkan satu suasana yang keruh dan permusuhan.

Pandangan rakan saya itu, sesuai disanggah kerana kita tidak boleh berpendirian sedemikian kerana puak yang bukan Islam telah lama mengusik kita dengan perlakuan dan perkataan yang lebih dahulu telah mengeruhkan suasana. Jadi, apa perlunya kita mengelakkan kekeruhan (daripada segi politik, konon) kalau mereka lebih dahulu bebas melakukannya. Mengapakah mereka boleh, tetapi kita tidak boleh? Mengapakah kita perlu menjadi Pak Turut dan Pak Enggih?

Kemudian saya mengikuti temu bual dalam rancangan yang disiarkan oleh pihak TV3 baru-baru ini. Selepas itu, saya mengikuti pelbagai pandangan orang dalam Blog-blog dan ruang lain di alam siber. Saya tetap menjadi pengagum beliau. Hebahan tentang pertemuan beliau serta Ustaz Nasharudin dengan TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz saya ikuti. Ulasan TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz sangat saya yakini, iaitu Dato’ Dr. Hassan Ali dan Ustaz Nasharudin ada melahirkan permohonan maaf.

Tetapi kemudiannya Dato’ Dr. Hassan Ali seperti menyanggah hal itu (permohonan maaf) dan menuduh Harakah “memutarbelitkan” cerita. Saya terkedu kerana hal yang mengagumkan saya telah dibadai taufan. “TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz berbohongkah? atau Dato’ Dr. Hassan Ali sedang menguji PAS?” saya menyoal diri sendiri. Saya memerlukan jawaban dan kemudian pihak Harakah membuat ulasan tentang hal ini. Saya tidak mengadili ulasan itu.

Dalam pada itu, saya melihat penampilan Dato’ Dr. Hassan Ali agak berbeda. Beliau mengenakan songkok, bukan lagi ketayap putih seperti yang lazim dipakai oleh kebanyakan tokoh PAS. “Ah, hal itu bukan menjadi isu sangat! Songkok pakaian orang Melayu, apa salahnya beliau mengenakan pakaian itu?” Teman saya membidas walaupun teman saya itu sangat gemar berketayap, malah pernah menyindir saya apabila saya bersongkok ke masjid.

Tiba-tiba keluar cerita dalam Blog milik mantan tokoh PKR yang kini telah menjadi Bebas bahawa Dato’ Dr. Hassan Ali akan dipecat oleh PAS. Saya memilih untuk mempercayainya kerana hati saya telah menebak bahawa hal ini akan berlaku. Hal ini saya yakini berpunca daripada gerak lakunya yang menongkah agenda perjuangan PAS pada masa ini dan ditambah pula dengan bidasannya terhadap laporan yang mengatakan beliau meminta maaf di hadapan TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz.

Sejak malam tadi, setelah beliau benar-benar dipecat, saya tidak menjadi pengagum beliau lagi. Hal ini bukan berpunca daripada tindakannya mendedahkan agenda PAS itu, tetapi apabila beliau mengalihkan punca pemecatannya. Sukar untuk saya mempercayai komennya, iaitu Dato’ Sri Anwar Ibrahimlah yang menjadi punca pemecatannya. Beliau tidak harus membebankan “kesilapan”nya kepada orang lain walhal beliau pernah berkata, “Yang baik datangnya daripada Allah, yang tidak baik datangnya daripada kesalahan saya sendiri”.

Saya terfikir sekarang, kalau beliau menubuhkan Parti Islam yang baharu, yang teras dan agenda perjuangannya ialah Islam, Melayu, dan Raja, adakah beliau dapat menarik minat orang-orang yang sealiran dengannya untuk menyertai parti itu dan seterusnya menyaingi PAS dan mungkin UMNO? Beliau patut mencubanya kerana beliau adalah antara tokoh yang “selalu menang apabila bertanding” dalam apa-apa sahaja perebutan — wakil rakyat, Naib Presiden, dsb. Wallahualam.

7 comments:

  1. Sprti dlm prmainan bolasepak,tidak tanduk seorang akn di perhati kn olh pengurusan,jurulatih dn jg pnyokong.Cuma krn tdk di lntik mnjadi ktua pasukan,dia mula mnunjuk klaku.Dia cuba brmain seorang dri walaupun dlm pasukan ada 10 lg pmain lain.Arahan jurulatih tidak di pdulikn ny.Pihak pngurusan msh br sbar.Tp bila dia cuba utk mnjaring kn gol sndri,tindakan prlu di ambl.Sblum pasukan klah dek krn klakuan ny,ada lh lbh baik singkir kn sblum trlewat.Spas ini klau dia mahu brmain utk pasukan lwn,itu dia pnya fasal.Kontrak ny tlh di tmat kn.Itu pun klau pasukan lwn mhu mnrima ny.

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Zalee,
    Bandingan yang sangat betul. Sayangnya, belum pun sempat dia menjadi pemain terbaik, dia telah membuat pilihan untuk menjadi pemain terbalik.

    Wallahua'lam.

    ReplyDelete
  3. Salam, Sdra Zulkifli,
    Marilah kita lihat punca sebenar perkara ini terjadi. Mudah kita memberi komen, tetapi andai perkara sama dilakukan terhadap kita saban waktu orang mencari ruang untuk memperlekehkan kerja yg diamanahkan kpd kita dan belum apa lagi kita dituduh segala macam tuduhan. e.g serbuan gereja yg nyata tepat tindakan beliau tetapi dituduh yg bukan2. Belum apa2 lagi beliau diaibkan dgn mengatakan kita tidak layak dicalonkan pada PRU13 nanti atas alasan yg tidak patut dikeluarkan pada waktu PRU13 hampir tiba.
    Apa tujuan ini semua...apa pun kita perlu beri ruang untuk beliau menjalankan kerjanya dan bukan orang yg dlm satu jemaah berlagak seperti
    musuh yg menunggu utk membahamnya.
    Usah kita membuat berbagai andaian & apakah salah dlm Islam menyatakan pendirian seperti yg selalu dinyatakan oleh penceramah PAS contoh terbaik sewaktu zaman Sahabat Rasullah S.a.w memerintah seorang pemuda bangun menyatakan kpd Khalifah Omar Ibn Khatab pedang ini lah yg akan menjadi pengukur pada dirimu jika kamu menyeleweng dlm pemerintahanmu. Tampa kita sedar kita telah mengunakan ISA terhadap beliau dalam pemecatannya.
    Waallhua'lam.

    ReplyDelete
  4. Saya amat bersetuju dgn pandangan Abd Rahman. Belum ada orang yanng diberikan amanah berani bertindak berdasarkan tanggungjawab yang diberikan. Parti politik melayu/Islam sekarang lebih menjaga kepentingan parti dan survival diri berbanding menggerakkan usaha dgn penuh istiqamah utk menegakkan syiar. Keaktifan seorang individu dilihat sebagai menonjolkan diri sdgkan yang lain asyik bertelagah. Barangkali ada kebimbangan penyokong parti Islam berkenaan kedudukan akan tergugat dengan 'kehebatan' seorang individu berbanding satu saf yanng semuannya lemah dan tidak b ermaya. Wallahmua'lam.

    ReplyDelete
  5. Salam Sdr Abd Rahman dan Sdr Anon,
    Oleh sebab itulah saya tegaskan dalam perenggan ketiga siaran ini: "saya terus menjadi pengagum beliau apabila beliau menjadi Eksko Kerajaan Negeri Selangor pula. Keberanian beliau “mengusik” perkara-perkara yang mengganggu agama Islam di Selangor amat saya sokong. Tindakan beliau, pada pandangan saya, betul daripada segi agama...."

    Yang tidak saya setujui ialah sanggahannya terhadap kata-kata TGNA yang mengatakan beliau (Dato' Hasan) ada memohon maaf dan yang kedua tentang pendiriannya yang mengatakan bahawa tindakannya menyentuh hal yang berkait dengan Anwarlah yang menjadi punca pemecatannya.

    Saya memberikan komen sahaja, tidak sekali-kali menghentam beliau.

    Wallahua'lam.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum Sdra Zulkifli,

    Saya mohon maaf kepada saudara. Apa yang saya nukilkan bukan ditujukan kepada saudara tetapi kepada mereka2 yang berperan dalam musibah ini.

    Kita tidak tahu cerita sebenar dalam pertemuan
    antara Datuk Hasan, YB Nasa dan Pimpinan PAS pusat di Kota Bahru. Mungkin YB Nasa dapat menjelaskannya.
    Kepada Sdra teruskan menulis dan memberi pandangan. Malangnya hari ini kita dapati ramai orang kita sudah hilang rasa hurmat dan tatasusila apabila menulis, penuh dengan cacian dan maki hamun dan lebih malang mereka yg bergelar penulis suka memberi gelaran terhadap orang yg menjadi sasaran. Bukankah Rasullulah s.a.w melarang kita memberi gelaran yg tidak disukai orang itu

    ReplyDelete
  7. Salam, Sdr Abd. Rahman,
    Terima kasih.

    Saya pernah menyentuh hal tentang menggelarkan orang dalam tulisan dan komen saya. Hal ini memang tidak wajar sama sekali kerana seperti kata Sdr, Rasulullah SAW melarang perbuatan ini. Kalau tidak salah, baginda pernah menegur isterinya tentang hal ini.

    Berdoalah kita agar orang-orang yang kurang rasa hormat dan membelakangkan tatasusila itu diberi hidayah oleh Allah SWT.

    Amin.

    ReplyDelete