Tuesday, March 13, 2012

Kisah Tragis Dirang: Kezaliman Manusia Durjana

Saya ikut terharu, malah isteri saya ikut menangis bersama-sama dengan Ustaz Muhammad Fauzi Mustafa pagi tadi apabila ustaz itu menyentuh perihal kematian tragis Dirang atau nama penuhnya Nurul Nadirah Abdullah. Dibunuh dan dibakar (sebelumnya mungkin diculik/dilarikan) merupakan perbuatan zalim dan tidak berperi kemanusiaan yang tidak mungkin dilakukan oleh orang yang siuman fikirannya. 

Ustaz Muhammad Fauzi dalam tazkirahnya lewat stesen KLFM pagi tadi meminta keluarga arwah Dirang berzikir tatkala berdepan dengan musibah ini. Saya bersetuju dengan beliau bahawa ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka serapat-rapatnya pada setiap ketika — tidak membiarkan anak-anak mereka bersendirian ke mana-mana sahaja sebaliknya hendaklah senantiasa menemani mereka.

Beliau memberikan contoh, dirinya sendiri senantiasa menghantar dan mengambil anak-anaknya di sekolah bagi memastikan keselamatan anak-anaknya. Saya yakin bahawa beliau bukan hendak menyalahkan sesiapa. Saya sendiri merasakan bahawa ibu bapa tidak harus membiarkan atau membenarkan anak-anak yang berusia sepuluh tahun apatah lagi lima tahun untuk pergi ke mana-mana secara bersendirian.

Ustaz Muhammad Fauzi turut menyelitkan sepotong hadis daripada Rasulullah SAW tentang perlunya kesabaran dalam meladeni kerenah anak-anak perempuan:

“Sesiapa yang memiliki tiga orang anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan, dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.” Seorang lelaki bertanya, “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?” Sabda baginda, “Juga untuk dua anak perempuan.” Seorang lelaki lagi berkata, “Atau untuk seorang wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab, “Juga untuk seorang.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Kita menerima hakikat bahawa tragedi yang berlaku itu merupakan qadar dan qadak Allah SWT. Kalau kita membaca al-Quran dan menyemak maksud ayat 22, surah al-Hadid, akan kita temukan penyataan Allah SWT:

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa-apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) akan apa-apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka akan tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

Hal ini bermaksud bahawa hakikat nasib yang menimpa diri Adik Dirang itu telah berada dalam pengetahuan dan merupakan perencanaan Allah SWT jua dan Dia tinggal hendak melaksanakannya sahaja. Yang diletakkan di pundak kita oleh Allah SWT daripada musibah itu ialah kita dikehendaki-Nya bersabar, tabah, serta meredhoinya. Selanjutnya, sebagai hamba-Nya kita perlu memuhasabah diri.

Memang, berat mana mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, tetapi dekatilah Allah SWT dan selamilah hakikat kehidupan yang sebenarnya. Insya-Allah, kita akan beroleh ketenangan. Kepada Puan Roselyn Alan, kami sangat bersimpati terhadap Puan. Kesungguhan Puan mencari anak Puan sejak kehilangannya memperlihatkan betapa kasihnya Puan kepada anak Puan itu. Kami mengaguminya.

Tetapi Puan, kasih kita ini bersempadan, Puan. Apa-apa yang dipinjamkan kepada kita pasti akan diambil kembali oleh Pemberi Pinjam Yang Maha Penyayang itu. Dalam konteks ini, Puan, Dirang dipinjamkan oleh Allah SWT seketika kepada Puan sekeluarga serta tetangga dan sahabat handai Puan. Nasihat saya kepada Puan, kasihilah yang ada, jangan dikeluh-kesahkan apa-apa yang telah tiada. Redholah.

Tempat anak-anak seperti Dirang, seperti yang dijanjikan Allah Rabbul Jalil, pastilah di syurga, Puan. Oleh itu, Puan, selain mendoakan Puan diberi ketabahan oleh Allah SWT, kami akan memberikan tumpuan untuk berdoa kepada Allah SWT agar si pembunuh yang berhati lebih buruk daripada binatang itu berjaya diberkas oleh pihak berkuasa dan seterusnya dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kezalimannya. Amin.

Al-Fatihah....

CATATAN: Arwah Dirang hilang pada 1 Mac 2012. Rangka manusia yang dibakar rentung yang disahkan oleh pihak polis sebagai rangka Dirang ditemukan di ladang kelapa sawit Nusa Damai pada 8 Mac 2012. Siasatan awal pihak polis mendapati bahawa serpihan rangka manusia itu dibakar lebih daripada lima hari (daripada tarikh penemuan?). Jika begitulah yang dimaksudkan oleh siasatan pihak polis itu, hal ini bermaksud bahawa Dirang berkemungkinan telah dibunuh seawal 3 Mac 2012

4 comments:

  1. Assalamualaikum Sdra Zul,

    Saya pun terkejut bila menatap khabar dengan pembunuhan yang begitu sadis. Malaysia telah melahirkan begitu ramai warga yang tidak berperi kemanusiaan. Lihat saja kes Sosilawati dan sebelum itu banyak lagi kisah yang begitu menyayat hati lagi kejam diperlakukan oleh mereka yang bergelar manusia tetapi jiwanya dikawal dan dirumahi Iblis dan syaitan.
    Apakah kita sudah tidak lagi selamat di bumi Malaysia ini? Lihat saja tulisan-tulisan didalm blog kebanyakkan ditulis dengan maki hamu dan tidak berilmiah lagi bersopan. Ulamak dimaki hamun dan diberi gelaran ikut perasaan sipenulis. Secara sedar atau tidak sedar ramai diantara kita yang turut menyumbang kepada kelakuan dan angkara buruk ini.Orang yang kita harapkan pun mempunyai agenda tersembunyi dengan yahudi di belakang nya. Sikap ini pun seperti pembunuh kejam adik Dirang, diluar nampak baik tetapi nyata penuh dengan kebiadapan dan kerosakan akhlak.
    AlFatihan untuk Nurul Nadirah Abdullah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sesungguhnya ALLAH tidak menzalimi manusia (hamba-Nya) walaupun sebesar zarah..

      TETAPI manusia (hamba-Nya) itu lah yang menzalimi diri mereka sendiri..

      Ingatan utk kita semua....

      Delete
  2. Salam, Sdr Abd. Rahman,
    Saya tertarik akan kenyataan TG Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang hal ini. Selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Dirang, beliau mengatakan bahawa kejadian itu berpunca daripada "sikap manusia yang sudah tidak takut akan Allah lagi".

    ReplyDelete
  3. Salam, Anon,
    Benarlah kata-kata Sdr itu dan oleh itu, janganlah kita tergolong sebagai insan yang menzalimi diri sendiri itu.

    ReplyDelete