Saya ikut terharu, malah isteri saya ikut menangis
bersama-sama dengan Ustaz Muhammad Fauzi Mustafa pagi tadi apabila ustaz itu menyentuh
perihal kematian tragis Dirang atau nama penuhnya Nurul Nadirah Abdullah. Dibunuh
dan dibakar (sebelumnya mungkin diculik/dilarikan) merupakan perbuatan zalim
dan tidak berperi kemanusiaan yang tidak mungkin dilakukan oleh orang yang
siuman fikirannya.
Ustaz Muhammad Fauzi dalam tazkirahnya lewat stesen KLFM
pagi tadi meminta keluarga arwah Dirang berzikir tatkala berdepan dengan musibah ini.
Saya bersetuju dengan beliau bahawa ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka
serapat-rapatnya pada setiap ketika — tidak membiarkan anak-anak mereka bersendirian ke mana-mana sahaja
sebaliknya hendaklah senantiasa menemani mereka.
Beliau memberikan contoh, dirinya sendiri senantiasa
menghantar dan mengambil anak-anaknya di sekolah bagi memastikan keselamatan anak-anaknya.
Saya yakin bahawa beliau bukan hendak menyalahkan sesiapa. Saya sendiri merasakan
bahawa ibu bapa tidak harus membiarkan atau membenarkan anak-anak yang berusia sepuluh
tahun apatah lagi lima tahun untuk pergi ke mana-mana secara bersendirian.
Ustaz Muhammad Fauzi turut menyelitkan sepotong hadis daripada
Rasulullah SAW tentang perlunya kesabaran dalam meladeni kerenah anak-anak
perempuan:
“Sesiapa yang memiliki tiga orang anak perempuan, lalu dia
bersabar dengan kerenah, kesusahan, dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT
akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.” Seorang
lelaki bertanya, “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?” Sabda
baginda, “Juga untuk dua anak perempuan.” Seorang lelaki lagi berkata, “Atau
untuk seorang wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab, “Juga untuk seorang.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim)
Kita menerima hakikat bahawa tragedi yang berlaku itu
merupakan qadar dan qadak Allah SWT. Kalau kita membaca al-Quran
dan menyemak maksud ayat 22, surah al-Hadid, akan kita temukan penyataan Allah
SWT:
“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di
bumi, dan tidak juga yang menimpa diri
kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum
Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi
Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa-apa
yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan
bangga) akan apa-apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah
tidak suka akan tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Hal ini bermaksud bahawa hakikat nasib yang menimpa diri
Adik Dirang itu telah berada dalam pengetahuan dan merupakan perencanaan Allah SWT jua dan
Dia tinggal hendak melaksanakannya sahaja. Yang diletakkan di pundak kita oleh
Allah SWT daripada musibah itu ialah kita dikehendaki-Nya bersabar, tabah, serta
meredhoinya. Selanjutnya, sebagai hamba-Nya kita perlu memuhasabah diri.
Memang, berat mana mata memandang, berat lagi bahu yang
memikul, tetapi dekatilah Allah SWT dan selamilah hakikat kehidupan yang
sebenarnya. Insya-Allah, kita akan beroleh ketenangan. Kepada Puan Roselyn Alan, kami sangat bersimpati terhadap Puan. Kesungguhan Puan mencari
anak Puan sejak kehilangannya memperlihatkan betapa kasihnya Puan kepada anak
Puan itu. Kami mengaguminya.
Tetapi Puan, kasih kita ini bersempadan, Puan. Apa-apa
yang dipinjamkan kepada kita pasti akan diambil kembali oleh Pemberi Pinjam Yang
Maha Penyayang itu. Dalam konteks ini, Puan, Dirang dipinjamkan oleh Allah SWT seketika
kepada Puan sekeluarga serta tetangga dan sahabat handai Puan. Nasihat saya
kepada Puan, kasihilah yang ada, jangan dikeluh-kesahkan apa-apa yang telah
tiada. Redholah.
Tempat anak-anak seperti Dirang, seperti yang dijanjikan
Allah Rabbul Jalil, pastilah di
syurga, Puan. Oleh itu, Puan, selain mendoakan Puan diberi ketabahan oleh Allah
SWT, kami akan memberikan tumpuan untuk berdoa kepada Allah SWT agar si pembunuh
yang berhati lebih buruk daripada binatang itu berjaya diberkas oleh pihak berkuasa
dan seterusnya dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kezalimannya. Amin.
Al-Fatihah....
CATATAN: Arwah Dirang hilang pada 1 Mac
2012. Rangka manusia yang dibakar rentung yang disahkan oleh pihak polis
sebagai rangka Dirang ditemukan di ladang kelapa sawit Nusa Damai pada 8 Mac 2012. Siasatan awal pihak polis
mendapati bahawa serpihan rangka manusia itu dibakar lebih daripada lima hari (daripada tarikh penemuan?). Jika
begitulah yang dimaksudkan oleh siasatan pihak polis itu, hal ini bermaksud
bahawa Dirang berkemungkinan telah dibunuh seawal 3 Mac 2012.
Assalamualaikum Sdra Zul,
ReplyDeleteSaya pun terkejut bila menatap khabar dengan pembunuhan yang begitu sadis. Malaysia telah melahirkan begitu ramai warga yang tidak berperi kemanusiaan. Lihat saja kes Sosilawati dan sebelum itu banyak lagi kisah yang begitu menyayat hati lagi kejam diperlakukan oleh mereka yang bergelar manusia tetapi jiwanya dikawal dan dirumahi Iblis dan syaitan.
Apakah kita sudah tidak lagi selamat di bumi Malaysia ini? Lihat saja tulisan-tulisan didalm blog kebanyakkan ditulis dengan maki hamu dan tidak berilmiah lagi bersopan. Ulamak dimaki hamun dan diberi gelaran ikut perasaan sipenulis. Secara sedar atau tidak sedar ramai diantara kita yang turut menyumbang kepada kelakuan dan angkara buruk ini.Orang yang kita harapkan pun mempunyai agenda tersembunyi dengan yahudi di belakang nya. Sikap ini pun seperti pembunuh kejam adik Dirang, diluar nampak baik tetapi nyata penuh dengan kebiadapan dan kerosakan akhlak.
AlFatihan untuk Nurul Nadirah Abdullah.
Sesungguhnya ALLAH tidak menzalimi manusia (hamba-Nya) walaupun sebesar zarah..
DeleteTETAPI manusia (hamba-Nya) itu lah yang menzalimi diri mereka sendiri..
Ingatan utk kita semua....
Salam, Sdr Abd. Rahman,
ReplyDeleteSaya tertarik akan kenyataan TG Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang hal ini. Selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Dirang, beliau mengatakan bahawa kejadian itu berpunca daripada "sikap manusia yang sudah tidak takut akan Allah lagi".
Salam, Anon,
ReplyDeleteBenarlah kata-kata Sdr itu dan oleh itu, janganlah kita tergolong sebagai insan yang menzalimi diri sendiri itu.