Thursday, March 1, 2012

PAS dengan Parti Lain Sama Sahajakah?

Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi ialah ADUN Pengkalan Kundur (dalam Parlimen Kuala Kedah) sejak tahun 2008. Dalam parti (PAS), beliau ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah selain menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah.

Dalam pentadbiran negeri Kedah, Datuk Ir. Phahrolrazi merupakan “bekas” Pengerusi Eksko Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga.

Walau bagaimanapun, selepas hampir empat tahun berada dalam pentadbiran, Datuk Ir. Phahrolrazi telah tidak dilantik (sehingga kini) sebagai eksko kerajaan negeri lagi. Hal ini berlaku demikian kerana khabarnya beliau tidak mahu dirinya dilantik lagi.

Walau bagaimanapun, khabarnya PAS Pusat telah “menitahkan” YAB MB Kedah, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak, melantik Datuk Ir. Phahrolrazi sebagai eksko semula. YAB MB seperti bersetuju, tetapi lain pula ceritanya dengan Datuk Ir. Phahrolrazi.

Beliau khabarnya bersetuju untuk menerima jawatan eksko itu, tetapi dengan syarat yang tertentu. Tindakan Datuk Ir. Phahrolrazi itu menjuruskan orang untuk berandaian bahawa “dirinya sangat penting dan sangat diperlukan”.

Dalam pelantikan eksko yang baharu pada Selasa lalu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan.

Siapakah Datuk Ir Amiruddin Hamzah? Beliau ialah ADUN Anak Bukit yang berada dalam Parlimen yang sama dengan Datuk Ir. Phahrolrazi — Kuala Kedah. Beliau juga Timbalan YDP PAS Kuala Kedah (timbalan Datuk Ir. Phahrolrazi).

Kerana Datuk Ir. Amiruddin timbalannya, Datuk Ir. Phahrolrazi telah meminta (mengarahkan?) Datuk Ir Amiruddin memperlihatkan sokongan kepadanya — letakkan jawatan eksko yang baru diangkatsumpahkan baru-baru ini!

Permintaan itu, khabarnya, selari dengan usul PAS Kuala Kedah pada 17 Februari lalu —kedua-dua ADUN dalam Parlimen Kuala Kedah (Datuk Ir. Amiruddin dan Mohd Nasir Mustafa) tidak perlu menerima jawatan eksko sebagai tanda sokongan terhadap YDP mereka (Datuk Ir. Phahrolrazi).

“Jika Amiruddin mahu menyokong saya, beliau patut berhenti (sebagai eksko). Jika dia mahu terus kekal sebagai ahli eksko, dia akan terasing dalam kawasan ini,” demikian Datuk Ir. Phahrolrazi berkata (sumber: Mstar).

Hal-hal seperti ini menyebabkan saya dan banyak kawan saya tertanya-tanya? Apakah perjuangan pemimpin PAS di Kedah (dan di negara ini) yang sebenarnya — jawatankah (seperti parti lain) atau benar-benar hendak membangunkan rakyat bersama Islam?

Mengapakah Datuk Ir. Phahrolrazi atau sesiapa sahaja dalam PAS tidak berbuat bising tentang hal ini seputar dalam parti sahaja? Mengapakah perlu bising-bising sehingga pemimpin dalam PAS mula dilihat sama sahaja dengan parti lain oleh masyarakat.

Sebaik-baiknya, demi parti dan Islam, Datuk Ir. Phahrolrazi tidak perlu “keras” terhadap YAB MB. Beritahu MB, “Saya tidak mahu kerana pendekatan kita dalam pentadbiran berbeza” kemudian panjangkan pendirian itu kepada PAS Pusat.

PAS Pusat pula janganlah “melatah”. Hormatilah keputusan Datuk Ir. Phahrolrazi dan keputusan YAB MB sendiri itu dengan lapang dada, bukannya “memaksa” YAB MB memilihnya semula sehingga YAB MB serba salah dan Datuk Ir. Phahrolrazi kelihatan seperti “besar kepala”.

Saya sudah mula mempercayai kata-kata beberapa orang teman — bahawa sesiapa pun orang dalam parti yang kemudiannya terpilih sebagai pemimpin politik, sama sahaja — semuanya menginginkan jawatan dan berpolitik untuk jawatan!

Saya menyokong YAB MB Kedah? Saya tidak tahu, tetapi selalunya kalau seorang pekerja tidak menyukai bossnya, dialah yang kena berhenti ... dan kemudian mencari boss lain. Tidak mungkin boss akan berhenti kerana tidak menyukai seorang pekerjanya.

2 comments:

  1. Sdra Zul,

    Pilu pada apa yg terjadi didalam PAS kebelakangan ini. Bukan itu saja malah komen atau tindakan sesetengah pemimpin Partai telah tersasar (e.g Pendirian Anwar Ibrahim berhubung negara yahudi pun sudah cukup memberi tempias cela pada PAS)
    Perselisihan pendapat dan pandangan sudah dijadikan modal untuk berpatah arang. Apakah semua ini menjadi pertunjuk untuk partai Islam ini kembali bermula dari hulu supaya sampan yang dikolek selamat sampai di muaranya?. Timbalan Presiden pun hari ini dikatakan boleh diisi oleh orang bukan Islam. Pandangan dan kedudukan Ulamak diketepikan, hingga dasar Parti begitu mudah diutarakan mereka yg duduk didalam AJK Pusat, mengeluarkan pandangan penyedap untuk mereka yang lain, lantaran sekelumit undi bukan Islam, sedangkan dia tidak sedar kata-kata begitu boleh termaktub menjadi perjanjian antara PAS dengan warga Malaysia yang perlu ditunaikan apabila tiba masanya, jika tidak PAS boleh dituduh mungkir janji.
    Biarlah kita dikata kolot atau jumud tidak berprogresif selagi AlQuran/AlSunnah menjadi pengangan, juga jangan sampai Melayu/Islam lari dari kita.
    Apakah ini musibah yang Allah timpakan kepada PAS supaya kembali berfikir kerana rata-rata orang Melayu/Islam berkata " ini baru negeri yang diperintah dah berkecamok belum lagi memerintah negara".

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Abd. Rahman,
    Saya bersetuju sangat dengan ulasan Sdr. Tentang Islam ini, UMNO tidak boleh kita gantungkan harapan kalau orang-orang di dalamnya mempertikaikan hudud seperti mantan PM itu. PKR jauh sekali! PASlah satu-satunya yang diharapkan, tetapi orang-orang di dalamnya pun sudah mula menjadi lain.

    ReplyDelete