Wednesday, May 2, 2012

Solat Kita dan Rahmat Allah SWT

Seorang rakan (ustaz) berkisah tentang suatu cerita. Pada mukadimahnya, saya berfikir bahawa beliau ingin mengutarakan kisah tentang nilai persahabatan. Rupa-rupanya fikiran saya salah. Kerap benar terjadi begitu — berfikir jauh lebih awal walhal cerita masih baru bermula.

Teman (ustaz) itu berkisah, ada tiga orang teman yang bekerja di offshore (pelantar cari gali minyak barangkali). Seorang daripada tiga orang yang bersahabat karib itu sangat patuh akan kehendak agamanya yang sehingga demikian, beliau langsung tidak pernah lupa untuk menunaikan solat lima waktu.

Sebaliknya, teman yang dua orang lagi itu, solat mereka berlubang-lubang — kadangkala mereka solat, tetapi selalunya tidak. Yang rajin bersolat lima waktu itu berasa aman dengan amalannya, tanpa begitu ambil pusing akan diri kedua-dua orang temannya yang culas itu.

Hingga kemudiannya tiba pada suatu hari, teman yang rajin bersolat itu menegur seraya mempelawa kedua-dua orang teman seoffshorenya yang culas bersolat itu dengan berkata lebih kurang begini, “Hei, sahabat-sahabatku ... bangun, bangun. Ayuh..., mari kita bersolat!”

Beberapa lama kemudian, teman yang rajin bersolat itu meninggal dunia. Tidak lama selepas kematiannya, salah seorang teman seoffshorenya yang culas bersolat itu bertemu dengan arwah yang rajin bersolat itu dalam mimpinya. Dalam mimpi itu, kedua-duanya berbicara.

Teman yang culas bersolat bertanya, “Di dalam apa kamu sekarang? Rasa saya, kamu pastinya di dalam syurga”.

“Tidak juga,” jawab teman yang rajin bersolat itu dalam mimpi tersebut.

Teman yang rajin bersolat terpinga-pinga oleh jawaban itu, lalu menduga, “Kamu di dalam neraka?”

“Tidak juga,” jawab teman yang rajin bersolat itu.

“Kalau demikian, kamu di dalam apa?” Teman yang culas bersolat bertanya lagi.

“Saya di dalam rahmat Allah,” kata teman yang rajin bersolat itu.

“Bagaimanakah hal yang demikian boleh terjadi? Bukankah semasa kamu masih berhayat dulu kamu tidak pernah mengabaikan solat lima waktu?” Teman yang culas bersolat terus bertanya lagi.

“Sahabat. Solat-solat saya dulu tiada satu pun yang diterima oleh Allah.” Teman yang rajin bersolat itu berterus terang.

“Kalau demikian halnya, apakah yang membolehkan kamu berada dalam rahmat Allah?” Teman yang culas bersolat mengasak sahabatnya dengan soalan lagi.

“Ingatkah kamu apabila pada suatu hari saya mengajak kamu dan seorang lagi sahabat kita bersolat? Pelawaan dan peringatan saya itulah rupa-rupanya yang menjadi amalan terbaik saya hingga Allah Robbul Jalil melayakkan saya untuk menerima rahmat-Nya.”

Usai berbicara, teman yang culas bersolat tersedar daripada mimpinya. Apabila teringat akan dialog dalam mimpi itu, perasaan takut menguasai dirinya. Beliau kemudiannya menjadi manusia yang senantiasa mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dan tidak lupa untuk bermohon daripada Allah agar tergolong sebagai hamba yang mendapat rahmat-Nya.

Cerita yang dikisahkan oleh teman (ustaz) saya ini jangan sampai menyebabkan para pembaca salah perkiraan hingga enggan bersolat! Seharusnya kisah ini mendorong kita untuk bermuhasabah, mengapakah ada solat kita sampai ditolak oleh Allah SWT?

2 comments:

  1. As-Salam.

    Moral kisah ini tidak hanya sebagai dorongan untuk bermuhasabah mengapa ada solat yang ditolak oleh Allah tetapi menjadi renungan bahawa di sebalik kita berusaha menunaikan perkara yang diwajibkan oleh Allah namun kita tidak pasti amalan yang mana yang berupaya mengundang rahmat Allah.

    ReplyDelete
  2. As-Salam, Cik Mistree,
    Saya sangat takut hal yang sama menimpa saya; kita tidak mahu, tetapi Allah tahu. Semuanya bertitik tolak daripada keikhlasan. Dia mengajak teman-temannya bersolat kerana dia ikhlas melakukan pelawaan itu dan itulah amalan yang diperkenankan oleh Allah.

    Saya mencuba untuk mencari ikhlas, tetapi Ustaz saya kata, itulah antara perkara yang sukar dicari dan diperoleh.

    ReplyDelete