Friday, August 3, 2012

Bermain untuk Kalah Bukan Idealisme Sukan

Mata alamat (Matlamat) sesuatu kejohanan sukan sangat murni, iaitu untuk melahirkan perpaduan, persahabatan, semangat setia kawan, dan sebagainya dalam suatu perhimpunan besar yang melibatkan manusia (peserta/atlet/pegawai) dari semua bangsa yang menghuni sesebuah negara. Hingga demikian, lahirlah istilah “sporting spirit” atau dalam bahasa Melayunya disebut sebagai “semangat kesukanan” bagi menggambarkan suatu bentuk semangat yang menjurus ke arah perpaduan dan kesetiakawanan yang dapat dilahirkan daripada perhimpunan sukan.

Walau bagaimanapun, adakah idealisme itu benar-benar terealisasi melalui mana-mana kejohanan sukan, sama ada yang berskala kecil atau yang berskala besar? Adakah para peserta/atlet yang terlibat dalam mana-mana upacara sukan bersaing secara sihat dalam merealisasikan keinginan untuk beroleh kejayaan? Adakah pegawai-pegawai yang diberi autoriti oleh negara masing-masing untuk mengendalikan para peserta/atlet mereka benar-benar menjunjung matlamat murni itu? Berapa banyak peserta/atlet/pegawaikah yang mementingkan persaingan daripada kemenangan?

Sebenarnya, matlamat/idealisme itu sudah semakin menipis kerana kebanyakan negara dan peserta/atlet yang terlibat dalam mana-mana kejohanan sukan besar kecil tidak lagi menekankan aspek persaingan yang sihat, sebaliknya lebih menekankan aspek ganjaran/kemenangan – emas perak gangsa, piala serta wang ringgit. Idealisme Pierre de Coubertin (Bapa Sukan Olimpik Moden) – The important thing in life is not the triumph but the struggle, the essential thing is not to have conquered but to have fought well” – sudah kelihatan janggal!

Pierre de Coubertin
Hal mengesampingkan semangat dan mendahulukan keputusan bukan perkara baharu. Pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 1982, misalnya, pasukan Jerman dan Austria telah mengatur perlawanan dalam perlawanan peringkat kumpulan. Austria (4 mata) telah merelakan “dirinya” kalah 0-1 di tangan Jerman (2 mata) bagi membolehkan Jerman mengutip 4 mata sekali gus menyekat peluang Algeria (4 mata juga) untuk bermain pada pusingan seterusnya. Algeria tersingkir melalui perbedaan jaringan gol. Kebetulan Jerman kalah di tangan Algeria sebelum itu.

Walau bagaimanapun, keakuran terhadap idealisme de Coubertin itu pernah kita saksikan pada Sukan Olimpik XIX di Mexico (1968). John Stephen Akhwari, atlet maraton dari Tanzania telah terjatuh semasa berlari. Kakinya tercedera. Dalam keadaan kaki yang berdarah dan berbalut (lututnya terkehel), beliau terus berlari untuk menamatkan perlumbaan tatkala stadium hampir kosong dan hari menjengah malam. Beliau menjelaskan sebab-musabab beliau meneruskan lariannya walaupun tercedera: “My country did not send me 5,000 miles to start a race, they sent me to finish it”.

Keakuran terhadap idealisme de Coubertin terlihat juga pada Sukan Olimpik XXIII di LA (1984). Gabrielle Andersen-Scheiss, pelari maraton wanita dari Switzerland mengalami masalah dahaga dan kepanasan semasa berlari. Masalah itu memburuk apabila beliau melepasi sebuah terowong, namun masalah itu dihadapinya dengan semangat jitu. Dia terus berlari (berjalan sebenarnya) dalam kepayahan, terhuyung-hayang semasa masuk ke dalam Los Angeles Memorial Coliseum untuk menamatkan saingannya di tempat ke-37. Penonton memberikan tepukan gemuruh kepada beliau!

Tetapi, pada Sukan Olimpik XXX yang sedang berlangsung di London sekarang, idealisme de Coubertin telah dipersendakan oleh atlet badminton (wanita) hingga memaksa pihak BWF membatalkan/menyingkirkan penyertaan mereka. Tindakan ini diambil terhadap pasangan regu dari Korea Selatan (2), China (1) dan Indonesia (1) kerana mereka (atelt-atlet itu) bermain untuk kalah bagi mengelakkan bertemu dengan seteru yang sukar pada pusingan seterusnya. Tentulah yang memainkan peranan di balik tindakan atlet-atlet itu pegawai-pegawai pasukan mereka!

Setiap atlet perlu sedar bahawa para penonton mengeluarkan modal untuk menyaksikan mereka bermain. Sama ada para penonton menyokong mereka ataupun sebaliknya, atlet wajib memperlihatkan sesuatu yang istimewa yang ada dalam diri mereka hingga penonton sanggup berbelanja untuk menyaksikan mereka bermain. Persaingan dalam sukan merupakan suatu cara penonton hendak meredakan dan melupakan tekanan yang dihadapi oleh mereka dalam kehidupan harian mereka. Penonton ingin bergembira, penonton ingin berhibur.

Malangnya, sesuatu yang hebat yang diharap-harapkan oleh penonton daripada para atlet bertukar sebaliknya. Penonton telah ditipu dan dipersendakan oleh atlet-atlet badminton itu. Atlet-atlet itu bermain dengan sambalewa (seperti berlatih), sengaja memukul bola ke jaring, memukul bola keluar gelanggang, membiarkan bulu tangkis yang biasanya tiada masalah untuk dibalas, dan sebagainya. Orang-orang seperti ini telah menghancurkan idealisme sukan. Tidak kira siapa yang bakal ditentang, mereka sepatutnya bermain dengan sungguh-sungguh!

Kalau takut kalah, jangan bersaing di Olimpik! Lamun takut dilanggar batang, jangan berumah di kepala pulau, kata peribahasa Melayu. Pada hemat saya, para pegawai yang mengatur perancangan/strategi buruk yang demikian itu serta atlet-atlet yang menjadi mak turut kepada pegawai terbabit telah mengaibkan negara mereka. Mereka wajar dikenakan hukuman oleh pihak tertinggi di negara mereka. Mereka ini, pada hemat saya, sama jahatnya dengan orang yang bermain untuk kalah setelah dirasuahi oleh pihak tertentu, atau mungkin lebih jahat lagi.

4 comments:

  1. Salam Adinda Zul,


    Dalam 'bahasa' mudah . . . kelakuan dan perbuatan para pemain badminton yang terlibat itu amat mengecewakan.

    Semua orang yang 'tahu malu' tentu sekali berharap dapat menyaksikan persembahan para pemain badminton atas niat bersukan yang bersih dan semangat kesukanan yang tinggi.

    Situasi yang sebaliknya terjadi nyata menampakkan bahawa sikap orang yang kononnya 'dewasa' lebih teruk dan buruk daripada kanak-kanak.

    Para pemain badminton itu sepatutnya memperagakan perangai orang 'cukup matang' . . . bukan yang seperti kanak-kanak.

    Kalau kanak-kanak memang kita sedia maklum gemar melakukan kerja yang bukan-bukan.

    Tetapi dalam kes ini . . . fikirkanlah sedalam-dalamnya wahai kalian 'orang dewasa'. . .

    Kanak-kanak pun tidak pernah mahu kalah apabila bermain . . . dalam apa jenis sukan sekalipun!

    Apo lai nak dikato!

    ReplyDelete
  2. Salam, Da,
    Betoi kata mike. Dalam hal ini, orang dewasa wajar mencontoh perangai kanak-kanak. Main sungguh-sungguh dan nangis kalau kalah.

    Betoi, Da ... betoi.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Sdra Zul,

    Benar apa yang ditulis oleh Sdra. Kekalahan yang disegajakan adalah tidak bermaruah dan kekalahan yang terjadi kerana nasib tidak menyebelahinya kita ucapkan tahniah kepada pemain tersebut. Tapi apa yang mengejutkan semalam setelah Chong Wei berusaha dengan sedaya uapayanya untuk meraih Emas kepada dirinya dan Negara ada pula YB DAP yang tidak bermaruah memperkecilkan usaha Chong Wei itu.
    Kadang-kadang jika semua benda dilihat untuk kepentingan politik maka jadilah dia Pariah politik yang tidak bermaruah.
    Orang begini tidak perlu diberi tempat dalam politik negara kita. Jika dalam acara sukan dia sudah menunjuk jarinya menyalahkan orang, bayangkan apa akan terjadi jika negara kita diserang musuh?. Apakah dia sanggup kedepan mempertahankan negara?. Saya bukan ahli mana-mana parti politik BN, tapi saya perhatikan YB ini sering memperlecehkan negara dan saya fikir orang jenis begini dikalahkan saja.

    ReplyDelete
  4. Salam kembali, Syeikh AbdurRahman,
    Hidup sebagai manusia jangan sekali-kali memperbodoh orang. Hidup sebagai manusia juga jangan sekali-kali memperlekeh usaha orang lain. Hidup sebagai manusia politikus sepatutnya perlu patriotik. Tidak nampakkah dia bagaimana air mata keluar dari mata Chong Wei? Tidak simpatikah dia akan atlet itu dan tidak geramkah dia melihat Lin Dan bergembira atas kemenangannya?

    Orang-orang begini tahunya hanya mengetuk meja di Parlimen atau DUN!

    ReplyDelete