Thursday, August 23, 2012

Sambutan Aidilfitri Lebih Utama daripada Qadak dan Qadar Allah?

Hujan lebat pada 21 Ogos 2012 lalu telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di sekitar kota raya Kuala Lumpur. Oleh sebab musibah itu berlaku semasa orang Islam sedang menyambut perayaan Aidlfitri, maka ada pihak yang menyorot berita itu sebagai “Banjir Kilat Jejaskan Sambutan Aidilfitri”.
 
Tajuk berita itu seperti suatu rungutan dan gambaran tidak puas hati terhadap hujan yang diturunkan oleh Allah SWT sehingga mengakibatkan berlakunya banjir kilat. Saya tidak pasti akan orang lain, tetapi saya merasakan begitu — hujan yang diturunkan oleh Allah SWT telah menjejaskan sambutan Aidilfitri sebahagian orang di KL. 

Perkataan “menjejaskan” yang digunakan oleh sesetengah pihak itu, pada hemat saya, meletakkan perayaan Aidilfitri lebih utama dan lebih tinggi hingga tidak boleh dikacau-bilaukan oleh apa-apa pun juga, termasuklah qadak dan qadar Allah seperti hujan dan banjir kilat yang ditetapkan berlaku pada 3 Syawal 1433! 

AstaghfirullahalAzim.... 

Kuala Lumpur telah beberapa lama tidak ditimpa hujan sehingga makhluk selain manusia kepanasan dan kekeringan lantas semuanya berdoa dan doa mereka diperkenankan oleh Allah SWT. Hujan yang diturunkan dua tiga jam itu barangkali memadai untuk makhluk itu, dan sepatutnya tidak sampai berlaku banjir kilat!

Malangnya, alam ini telah dirosakkan oleh tangan-tangan manusia hingga menyebabkan hujan yang hanya turun dua tiga jam itu telah mengaramkan kawasan yang dahulunya sukar dikaramkan oleh air hujan. Sulaiman Al-Rajhi, pengasas Bank Al-Rajhi (bank Islam terbesar di dunia), melafazkan kalimat Alhamdulillah apabila kilang perusahaannya terbakar! 

Kita yang di sini berkata sebaliknya. AstaghfirullahalAzim....

9 comments:

  1. Assalamualaikum Sdra Zul.

    Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat Eidul Fitri AlMubarak. Semoga Allah memberi ketenangan dan kebabagian dunia akhiirat kepada kita Muslim semua.
    Menyentuh tentang tulisan Sdra diatas, jika begitulah sikap kita umat Islam Malaysia yang belum pernah diuji oleh Allah dengan musibbah yang lebih besar, cuma sekadar hujan menyebabkan banjir kilat, entah apa akan berlaku sekiranya kita ditimpa seperti Tsunami di Jepun , gempa di Iran. Dengan sikap kita yang tidak menjurus ketakwaan kepada Allah dan berpegang pada jalan Islam yang syumul, bolehkah kita berkelakuan seperti orang Jepun, biar pun mereka bukan beragama Islam tetapi sikap dan jati diri mereka dalam menghadapi musibbah boleh dijadikan teladan. Mereka tidak berebut-rebut mengambil makanan yang diagihkan, malah ada yang sanggup berkongsi biar pun makanan yang diterima tidak sebanyak mana.
    Saya juga melihat dan belajar dari pemerhatian saya kepada saekor Kucing peliharaan anak-anak saya, yang bulan sudah melahir 7 ekor anak kucing sekali gus. Apabila anak-anak kucing ini menyusu, mereka tidak berebut-rebut biarpun tidak cukup ruang untuk dua ekor lagi untuk menyusu, mereka menunggu saudaranya yang lain habis menyusu baru mereka pula mula menyusu. Di Jepun, peti besi simpanan yang dihanyutkan air dek tsunami tidak siapa menyentuhnya malah dihantar kepada balai polis untuk simpanan tuannya datang mengambil. Di Malaysia ATM mesin pun dibom.
    Begitu juga musibbah yang menimpa saudara-saudara kita di Syria dan Mymar...tidak terlintaskah akan penderitaan yang mereka hadapi bukan saja dihari Syawal, malah setiap waktu saban hari berbulan-bulan lamanya. Kita disini membiarkan anak-anak menghabiskan duit membeli mercun dan gembira mendengar detuman mercu...di Syria detuman bom merintih jiwa penghuninya ....sekali gus meruntun jiwa kita yang cuma melihat dari jauh.
    Kita perlu mengubah sikap dan memahami apa yang Islam ajar kepada kita iaitu sentiasa menyantuni orang lain biar pun diri kita ditimpa musibbah. Insyallah akan lahir umat yang dikatakan sentiasa bersyukur.
    Kita mengharapkan media kita lebih banyak menayangkan penderitaan saudara-saudara kita Muslim yang lain dari menayangkan kelakuan, lawak jenaka yang tidak lansung mendidik masyarakat menjadi lebih bersopan dan berakhlak mulia lantas bersyukur kapada Allah, pada apa yang kita ada.

    ReplyDelete
  2. Salam, Syeikh AbdurRahman,
    Terima kasih dan salam Idulfitri juga kepada Tuan.

    Sebenarnya kita sedang berdepan dengan musibah paling besar -- keruntuhan akhlak umat Melayu-Islam kita. Tanpa bencana Tsunami atau gempa atau gunung berapi atau badai selaju 240 km/j, spt kata Tuan, ada mesin ATM yang pecah, kalau berlaku bencana-bencana itu, berebut-rebut mereka mengambil peluang dan kesempatan.

    Menang perak dan gangsa beroleh lebih 300K, menjadi juara Tilawah al-Quran berapakah nilainya?

    Wallahua'lam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum;

      Tuan,

      Situasi yang sama apabila ada pihak yang menyalahkan hujan sebagai faktor penyebab kemalangan.

      Berkenaan dengan juara tilawah al-Quran, setahu saya belum pernah mereka dianugerahkan gelaran 'Datuk' atau 'Dato' berbeza dengan ahli sukan dan artis. Saya tidak pasti kalau pihak yang terbabit menganggap juara tilawah al-Quran sebagai 'biasa-biasa' saja - tidak memberikan sumbangan yang boleh dianggap hebat dan besar kepada masyarakat.

      Delete
    2. Ralat:

      Berkenaan dengan juara tilawah al-Quran, setahu saya tidak pernah mendapati mereka dianugerahkan gelaran 'Datuk' atau 'Dato' berbeza dengan ahli sukan dan artis. Saya tidak pasti kalau pihak yang terbabit menganggap juara tilawah al-Quran sebagai 'biasa-biasa' saja - tidak memberikan sumbangan yang boleh dianggap hebat dan besar kepada masyarakat.

      Delete
  3. Assalamualaikum Sdra Zul,

    Perkara berhubung dengan agama pastinya tidak mendapat tempat.
    Bayangkan seorang penyanyi mendapat bayaran untuk persembahannya ada kalanya melebihi puluhan RM tetapi jika seorang Ustaz meletakkan harga yg sama pasti satu Malaysia akan gempar, sedangkan ilmu yang Ustaz itu taburkan boleh diguna pakai sampai akhir hayat dan penyanyi itu cuma menghibur beberapa minit sahaja, selepas itu berakhir bagai debu ditiup angin. Inilah masyarakat yang cuma suka dan dididik pada hiburan.

    Beberapa hari ini kedengaran isu Hudud diperkatakan. Malangnya mereka yang bergelar YB dari sebuah partai Islam
    mempunyai nada yang sama dengan pemerintah...(belum bersedia, masyarakat perlu difahamkan dan lain). Inilah musibah besar yang melanda kita hari ini. Kuasa dan wang dilihat lebih dari agama yang diperjuangkan.

    Saya terkedu kerana dahulu suara begini tidak kedengaran malah dihukum orang yang tidak mahu kepada perundangan Islam termasuk hukum Hudud, sebagai mereka yang termasuk golongan kafir dan munafik, entah berapa banyak maki hamun yang dilontarkan. Hari ini nadanya sudah bertukar.

    Sebab itu saya katakan kepada seorang kawan, seburuk-buruk partai pemerintah dia dominan dalam kumpulannya dan sebaik-baik Partai pembangkang dia tercorot dalam pakatannya. Apa yang dibimbangi suaranya tidak akan didengari cuma dibiarkan bersuara tapi keputusan ditangan yang bukan Islam. Yang rugi kita semua, sebab yahudi dan nasrani tidak akan berdiam diri
    selagi kita tidak mengikut telunjuknya.

    Akhirnya orang awam akan berkata "kamu ahli politik sama saja". Mengharapkan dunia dan bukan lagi Allah matlamatnya.

    ReplyDelete
  4. Salam, Cik Mistree,

    Benar sangatlah kata Cik Mistree. Artis yang suam-suam kuku, yang negara Arab tak kenal pun, gahnya cuma dalam gelanggang di sebelah sini sahaja, dihargai sumbangannya, lalu diberi gelar Datuk/Dato'.

    Arwah Ismail Hashim, Hajah Rogayah Sulong, dan lain-lain, setakat PJK, AMN sahajalah. Mereka dikenali oleh banyak negara!

    Tidak mengapa, penghargaan para malaikat dan Allah itu lebih penting. Sultan ketua agama?

    ReplyDelete
  5. Salam, Syeikh AbdurRahman,

    Kalaulah kita, rakyat marhaen, yang Islam seluruhnya (baik yang awam, tentera, polis, dan MP serta ADUN) bergabung, berdemo, dsb menuntut hudud dilaksanakan, insya-Allah, hudud akan terlaksana.

    Sebenarnya, hudud hampir-hampir dilaksanakan dahlu. Lihatlah Undang-Undang (Hukum Kanun) Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Undang-undang Pahang, dll yang diguna pakai sebelum kehadirian British durjana dahulu -- telah banyak menyerapkan hukum Islam (walaupun berbaur dengan undang-undang adat).

    Tetapi, British telah menyekat hal ini apabila mereka menguasai negeri-negeri di Tanah Melayu satu per satu. Hal ini diakui oleh RJ Wilkinson sendiri dengan katanya, "Tidak syak lagi undang-undang Islam pada akhirnya akan menjadi undang-undang negeri Melayu jika undang-undang Inggeris tidak menghalangnya".

    Dengan kuasa yang ada pada Melayu-Islam di Parlimen, tanpa mengira parti mereka, dan kuasa itu tidak digunakan, kita semua boleh memikirkan dan membayangkan hudud ini akan terlaksana ataupun sebaliknya.

    Sudahkah kita menjalankan tanggungjawab kita?

    Belum. Semua kita harus berani menyatakan pendirian begini -- kalau calon-calon Wakil Rakyat Islam yang kalian pilih merupakan Wakil Rakyat yang sama dengan sebelumnya, yang langsung tidak beriltizam untuk menegakkan hudud, kami tidak akan mengundi kalian, tidak kira parti mana-mana pun yang kalian wakili.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum Sdra Zul,

    Memang sejarah mengajar kita dalam meniti kehidupan ini, sama ada baik atau buruk. Yang penting kita yang masih hidup dalam zaman ini perlu melakar sejarah sendiri.

    Sama-sama kita bangun seperti kata saudara memberi kata dua kepada calon-calon Wakil Rakyat. Itu benar.

    Saya lihat disini Raja-raja Melayu perlu memainkan peranan mereka lebih dari yang lain kerana merekalah yang akan dipertanggung jawapkan dalam persoalan ini, sama ada di dunia atau di akhirat lantaran kedudukkan mereka selaku pemegang amanah dan payung Islam untuk ummat di Malaysia.

    Sampai bila kita perlu berdalih lagi, jika Brunei Darulsalam dan Acheh boleh melakukannya, pasti kita juga boleh berbuat
    demikian. Harapan, cukuplah bagi seorang daripada raja-raja Melayu bersuara pasti yang lain dan rakyak akan ikut bersama.

    ReplyDelete
  7. Salam, Syeikh AbdurRahman,
    Saya bersetuju - DYMM raja-raja perlu ke depan dala isu agama.

    ReplyDelete