Friday, December 21, 2012

Kalau Anak-anak Tidak Dapat Semua A, Kamu Wahai Ibu Bapa Bermuhasabahlah

Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 diduduki oleh 481 424 orang calon. Daripada jumlah itu, 30 474 (6.92%) beroleh semua A dalam semua mata pelajaran. (Dalam peperiksaan PMR 2011, 34 271 orang calon beroleh semua A. Hal ini bermaksud bahawa, pencapaian tahun ini merosot 0.85% daripada tahun lalu.)

Walaupun pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu memperlihatkan peningkatan 0.04%, mata pelajaran Sains dan Matematik memperlihatkan kemerosotan – Sains merosot sebanyak 0.02% manakala Matematik merosot sebanyak 0.01%.

Di Selangor, negeri kelahiran saya, daripada 78 665 calon yang menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini, sebanyak 6 739 orang calon beroleh semua A. Pencapaian ini berkurang 832 orang calon berbanding dengan keputusan pada tahun 2011.

Di pihak ibu bapa, anak-anak yang beroleh semua A akan menjadi kebanggaan mereka. Cara mereka berbangga berbeda-beda – ada yang bersujud syukur bersama-sama dengan anak mereka, tetapi banyak yang menjajakan “kehebatan” anak-anak mereka kepada sahabat handai, jiran tetangga, saudara-mara.

Orang yang bersujud syukur biasanya redho akan apa-apa pun keputusan yang diperoleh oleh anak mereka, tidak kiralah kalau keputusan itu sekadar 7A 1B, 6A 2B, 5A 1B 2C, dsb. Hal ini berlaku demikian kerana mereka sangat yakin bahawa baik apa-apa pun keputusan yang diperoleh oleh anak mereka, pemutusnya ialah Allah SWT jua.

Ibu bapa yang cenderung untuk menjajakan kehebatan dan kecemerlangan anak-anak pula, bertindak sebaliknya – mereka melahirkan kekecewaan terhadap anak mereka hingga ada yang menempelak anak-anak mereka di khalayak ramai walaupun anak itu masih terkategori sebagai cemerlang kerana beroleh 7A 1B.

Perbuatan ibu bapa yang demikian sebenarnya berbahaya kepada perasaan anak-anak mereka. Kegagalan beroleh sasaran tinggi yang diharap-harapkan oleh ibu bapa mereka sudahpun mengecewakan mereka. Dimarahi di khalayak ramai pasti lebih mengecewakan mereka. Jika tertekan, tidak mungkinkah anak begini membunuh diri?

Ibu bapa begini ibu bapa yang bodoh, menghadapi masalah psikologi, maka perlu menghadiri sesi kaunseling dan kursus keibubapaan. Kamu mungkin sudah mempraktikkan semua ciri keselamatan semasa meninggalkan kenderaan di suatu kawasan – mengenakan kunci stereng dan mengunci kenderaan itu sendiri, serta meletakkannya di tempat yang selamat, dsb. Walau bagaimanapun, hal itu tidak bermakna bahawa kereta kamu itu tidak boleh hilang!

Demikianlah dengan anak kamu – dia sudah berusaha dengan begitu gigih, mengikuti pengajaran guru sepenuhnya, mengulang kaji pelajaran setiap masa, menghadiri kelas tambahan, belajar di perpustakaan, dsb. Walau bagaimanapun, hal itu tidak bermaksud bahawa dia akan lulus dengan sangat cemerlang kerana Allah SWT, barangkali, mempunyai perancangan lain – menghendaki anak kamu meningkatkan usahanya dan juga menghendaki kamu sendiri meningkatkan keberkesanan kamu sebagai ibu bapa!

Kamu siapa sampai hendak menjadi penentu mutlak atas kejayaan anak-anak kamu? Berpada-padalah; raikanlah kejayaan anak-anak kamu. Tukarkan kekecewaan anak-anak kamu dengan kegembiraan dan pasakkan semangat dalam diri mereka – bahawa sekali gagal tidak bermaksud bahawa selama-lamanya akan gagal. Kegagalan hari ini demi kejayaan masa depan, katakan demikian kepada mereka; dan kamu sendiri, bermuhasabahlah!


4 comments:

  1. Assalamualaikum tuan,
    Benar sekali tuan... ibu bapa jenis ini jiwanya kecil.
    Lama sungguh saya tak singgah di sini.

    ReplyDelete
  2. Salam, Syeikh Muaz,
    Terima kasih kerana masih sudah singgah dan berkongsi cerita.

    Betullah, ibu bapa jenis ini kecil jiwanya, tetapi besar lagaknya. Saya sedih.

    ReplyDelete
  3. Assalammualaikum
    sdr Zul
    agak lama tidak singgah membaca komentar saudara.
    Saya bersetuju dgn tulisan sdra ini.
    Ibubapa setelah melakukan yg terbaik dlm memberikan kemudahan pelajaran kpd anak2nya,
    sepatutnya juga selepas itu, redha dgn ketentuan Dia. yang lebih Mengetahui.

    ReplyDelete
  4. saya ada result dapat C dalam physic. skrg kat foundation. yang lain ok lah. B ke atas. pointer asal atas 3.0 jadi laaa. saya dapat 2.84. tapi nk bgtaw parents la tak reti camne. saya risau abah saya ngamuk kecewa ngan saya. ibu saya pun. dah ler ini private institution. hadoi...saya cemburu ngan parents kawan saya yang relax2 jer kalau result anak teruk. pada mereka, "nak buat macam mana? benda dah jadi...kita terima aje laa" last2, result anak mereka jadi gempak!

    ya, memang pun. bagi pihak keluarga saya, kalau anak2 yang berjaya, memang ibubapa saya akan jaja kehebatan anak mereka macam abang saya dan kakak. ini memang stress kerana saya sebagai anak bongsu perlu seiring dgn mereka . saya tahu kelemahan saya mmg dalam akademik. tapi saya ada kekuatan lain khususnya dalam bidang perniagaan. cuma tidak diberi perhatian walaupun perkara ini telah disuarakan kepada ibu bapa. sekarang saya cuba jugak berjaya dalam akademik. tapi still result masih tak memuaskan.

    ReplyDelete