Monday, August 24, 2015

NASIB MELAYU (BANGSATKAH)

Bagi orang-orang yang normal, tidaklah sulit hendak menaupkan bibir atas dan bibir bawah, hendak menggoyang-goyangkan lidah. Gerak-gerakkanlah bibir bawah, goyang-goyangkanlah atau kontal-kantilkan lidah, maka terhamburlah deretan kata. Apa-apa sahaja kata — sama ada yang molek ataupun yang jelik — akan terhambur dan terloncat daripada mulut, daripada sepatah menjadi ayat yang beruntai-untai, meretup-retap bak bertih digoreng!

Demikianlah keadaannya — amat mudah untuk seseorang berkata macam-macam — yang berdegar-degar ataupun yang biasa-biasa. Hingga demikian, terkejut dan tertanya-tanyalah kita apabila ada pihak yang berkata bahawa kita orang Melayu akan bangsat tanpa PEKEMBAR. Sangat mudah kalimat itu dituturkan, semudah meluahkan kotoran dari dalam mulut, tetapi bukan sedikit yang terlopong dan terkerising — sama ada hendak mengeyakannya ataupun sebaliknya.

Tulisan Jawi telah demikian lama menjadi bangsat, tidak lagi menjadi alat penting untuk penyebaran ilmu, malah keberadaannya di negara ini bak melukut di tepi gantang, lapar sangat baru berguna. Siapakah yang membangsatkannya? Bahasa Melayu sendiri kini seakan-akan menjadi bahasa bangsat, bahasa merempat, bahasa kelas rendah walaupun diangkat Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi. Siapakah yang membangsatkannya?

Keluasan tanah rizab Melayu semakin hari semakin mengecut — daripada 3.1 juta hektar (23.92%) pada tahun 1931 kepada 1.57 juta hektar (11.99%) pada tahun 2009. Siapakah yang membiarkannya menjadi kecil? Bukan cerita dongeng tanah milik orang Melayu diambil untuk pembinaan sekolah, hospital, kilang, pembandaran, dan lain-lain sedang tanah milik orang bukan Melayu tidak diusik seinci pun.

Melayu Pulau Pinang semakin terhimpit, terdera, tersisih, dan terbangsat. Kampung-kampung Melayu diambil alih sesuka hati. Agak-agaknya, siapakah yang membangsatkan mereka sejak awal dahulu? DAP ... GERAKAN ... PAS? Negeri Kelantan diterajui oleh PAS (bukan UMNO) sejak lebih 20 tahun dahulu, bangsatkah Melayu di negeri itu? Negeri Selangor diterajui oleh PR (PAS-PKR-DAP) sejak tahun 2008 yang lalu, bangsatkah Melayu di negeri itu?

Di peringkat negara, ya Melayu sekarang menjadi bangsat — oleh GST, oleh kenaikan harga barangan (kenaikan harga rumahlah yang paling membangsatkan Melayu sekarang!), oleh kadar RM yang menjunam (sampai diletakkan pada taraf POA — Price On Application/Asking), oleh pengangguran, oleh pemberhentian kakitangan, oleh macam-macam! Siapakah yang memerintah negara kala ini?

Sangat bagus untuk menyedarkan rakyat tentang hakikat ketuanan Melayu, tentang nasib Melayu masa depan, tetapi semaklah hakikat sebenarnya dengan sebaik-baiknya — akuilah kesilapan, berjanjilah, dan beriltizamlah untuk membetulkannya....

2 comments:

  1. Assalamualaikum;

    Lama benar Tuan Zulkifli tidak mengemas kini blog ini. Kata Perdana Menteri bagi ahli-ahli UMNO seramai 3.5 juta, “Orang Melayu akan terbangsat jika UMNO hilang kuasa”. Melayu semakin terbangsat jika Perdana Menteri bagi ahli-ahli UMNO seramai 3.5 juta itu masih berkuasa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, Cik Mistree. Banyak tertumpu ke FB.
      Memang benar ... seperti kata kebanyakan orang, begitulah jadinya Melayu selagi dia berada di situ.

      Kepada Allah jua kita berserah.

      Delete