Thursday, July 1, 2010

Balasan kepada Insan yang Sengaja Membinasakan Diri

Saya pernah menonton drama/sekuel cinta popular Korea Selatan yang berhudul “Winter Sonata” tidak lama dahulu tetapi tidaklah sampai mengikuti keseluruhan drama itu. Saya hanya menonton beberapa siri drama itu seimbas lalu sementelahan isteri dan adik saya meminatinya sampai adik saya telah membeli cakera padat drama itu. Saya tidak tahu langsung akan nama-nama pelakon drama itu, tetapi cam akan wajah beberapa orang pelakonnya. (Sesungguhnya, saya memang tidak suka mengingat nama orang Korea ini kerana nama mereka tidak membantu saya untuk membedakan jantina masing-masing.)

Hari ini baru saya tahu akan nama salah seorang pelakon “Winter Sonata” itu, iaitu Park Yong-ha (saya cuba-cuba mengagak-agak, kalau ada bunyi “ha” pada nama orang Korea bermakna mereka lelaki. Agaknya.)

Park Yong-ha, 33 tahun, yang wajahnya saya cam dan kenal, telah meninggal dunia pada awal pagi Rabu lalu dengan cara “mencabut” nyawanya sendiri. Beliau yang turut terkenal sebagai penyanyi di negaranya dan di negara Jepun ditemui mati tergantung di dalam biliknya oleh ibunya sendiri kira-kira jam 5:30 pagi. Beliau menggunakan kabel pengecas telefon bimbit untuk menggantung dirinya itu.

Sebab-musabab seniman-biduan itu membunuh diri masih belum diketahui, tetapi sumber mengatakan bahawa beliau bertindak demikian kerana tertekan oleh penyakit kanser yang dihidapi bapanya. Sebelum kematiannya, beliau menghabiskan masa dengan bapanya yang sakit itu. Beliau kemudiannya masuk ke dalam biliknya pada jam 12:40 tengah malam dan menghantar pesanan memohon maaf kepada bapanya melalui telefon bimbitnya.

Korea Selatan merupakan negara yang paling banyak berlaku kejadian bunuh diri dalam kalangan negara maju. Kejadian ini bukan sahaja melibatkan rakyat biasa tetapi melibatkan tokoh-tokoh ternama (selebriti dan ahli politik). Antara selebriti yang telah membunuh diri termasuklah seniman Ahn Jae-hwan (8 September 2008), seniwati dan peragawati Choi Jin-shil (2 Oktober 2008), penghibur Jang Chae-won (3 Oktober 2008), peragawan gay Kim Ji-hoo (6 Oktober 2008), seniwati Jang Ja-yun (7 Mac 2009), dan seniman Choi Jin-young, adik Choi Jin-shil (29 Mac 2010). Ada banyak lagi kejadian bunuh diri yang melibatkan selebriti yang kurang terkenal di Korea Selatan. Malah, Roh Moo-hyun (Presiden Korea Selatan ke-16) yang disiasat atas tuduhan rasuah juga dikatakan telah membunuh diri dengan terjun ke dalam jurang (23 Mei 2009).

Di negara kita, orang selalu mengkategorikan kejadian bunuh diri dengan perbuatan seperti menikam diri sendiri, minum racun, gantung diri, terjun ke jurang atau terjun dari bangunan tinggi, menyedut asap ekzos, dan sebagainya (seperti yang dilakukan oleh tokoh-tokoh Korea Selatan itu). Pada pandangan saya, ada beberapa perbuatan lain yang tanpa sedar dapat dikategorikan sebagai mengambil nyawa sendiri (malah mengambil nyawa orang lain juga). Antaranya termasuklah memandu/menunggang kenderaaan dengan laju, menagih dadah atau arak, dan menghisap rokok.

Dalam erti kata lain, perbuatan sengaja mengundang bahaya kepada diri sendiri (tanpa perlindungan/ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan kematian, malah kecederaan juga) dapat dikategorikan sebagai membunuh diri. Dalam hal yang berkaitan, para pelumba F1, MotoGP, dan sebagainya memperlengkap diri mereka dengan ciri-ciri keselamatan yang paling maksimum. Hal ini berbeda dengan kaki-kaki rempit. Yang merempit dengan menggunakan motosikal, misalnya, melakukan pelbagai lagak ngeri yang memperjudikan nyawa mereka.

Tentang perokok dan penagih dadah/arak, telah diketahui bahawa ketiga-tiga benda itu dapat “mencampakkan diri ke jurang kebinasaan”. Oleh itu, dengan menjadi penagih kepada bahan-bahan ini, para pelakunya dapat dikategorikan sebagai sengaja membunuh diri. Lebih malang lagi, tidak seperti lumba kenderaan, amalan merokok dan menagih tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan perlindungan kecuali berhenti daripada melakukan perbuatan itu. Fikir-fikirkanlah. Wallahualam.

PERINGATAN KEPADA YANG LUPA

  • Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (al-Baqarah, ayat 195)
  • Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat Penyayang terhadap kamu.” (an-Nisa’, ayat 29)
  • Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal darah seorang Muslim kecuali dengan salah satu daripada tiga perkara: Duda/janda yang berzina, jiwa dengan jiwa (qisos), dan orang yang meninggalkan agama serta memisahkan daripada jemaah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
  • Rasulullah SAW bersabda: “Sebelum kamu, pernah ada seorang laki-laki luka, kemudian (dia) marah sambil mengambil sebilah pisau lalu dipotongnya tangannya, darahnya terus mengalir sehingga dia mati. Maka berkatalah Allah: ‘hamba-Ku ini hendak mendahulukan dirinya daripada (takdir)-Ku. Oleh sebab itu, Kuharamkan syurga untuknya’.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menjatuhkan dirinya dari puncak bukit untuk membunuh diri, maka dia akan jatuh berulang kali ke dalam api neraka selama-lamanya. Sesiapa yang meneguk racun untuk membunuh dirinya, maka racun itu akan berada di tangannya dan dia akan meneguknya berulang kali di dalam neraka selama-lamanya. Sesiapa yang membunuh dirinya dengan menggunakan besi, maka besi itu akan berada di tangannya dan dia akan memukul kepalanya dangan besi itu berulang kali di dalam neraka selama-lamanya.” (Riwayat Muslim, al-Darimi, dan Ahmad)

2 comments:

  1. Salam, tuan. Saya adalah seorang peminat tegar drama Winter Sonata (sehingga sanggup memaksa suami membelikan set dvd drama tersebut sebagai hadiah hari lahir saya! hehehe). Sangat mengejutkan apabila terbaca berita ini dalam blog tuan. Terima kasih berkongsi berita.

    Apa pun, paling menarik dalam catatan tuan ini adalah isu membunuh diri melalui rokok, dadah, memandu secara berbahaya.... Mungkin ramai yang sedar tetapi buat-buat tidak tahu. Merokok misalnya, bukan sahaja boleh diklasifikasikan sebagai 'usaha membunuh diri', tetapi juga 'usaha membunuh orang lain' yang ikut sama menghidu asap rokok tersebut. Entah bila para perokok ini mahu menginsafi diri...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu Marni,
    Phuh, kuat betul pengaruh "Winter Sonata" ini! Mujurlah adik saya telah membeli cakera padat itu dan isteri dapat meminjamnya, hi, hi.

    Saya telah beberapa kali mengulas hal rokok ini dan saya akan terus menyentuhnya mengikut kesesuaian. Saya berharap agar orang yang membacanya dapat mengambil iktibar daripada tulisan ini.

    Entah mengapa, saya kini begitu alah dengan asap rokok.

    ReplyDelete