Friday, July 16, 2010

Sketsa Barang Naik Harga

“Gaya hidup sihat itu apa?” Kulop 1 bertanya kepada Kulop 2.

“Bersenam di samping bekerja, mengawal cara pemakanan,....”

“Itu semua orang tahu!” Kulop 1 memintas kata-kata Kulop 2 itu.

“Dah tahu kau tanya buat apa?” Kulop 2 pula memintas kata Kulop 1.

“Entah, aku bertanya sebab aku rasa pelik,” kata Kulop 1.

“Pelik apa pulak?” soal Kulop 2.

“Yalah, ada umat yang berkata bahawa kenaikan harga gula membantu rakyat hidup sihat!” Kulop 1 berterus terang.

“Betullah tu!!!” kata Kulop 2.

“Betul apanya?” Kulop 1 membentak.

“Yalah, bukankah gula penyebab kencing manis!” kata Kulop 2.

“Hah, mengarut! Bukan gula saja yang menyebabkan kencing manis. Nasi yang berkarbohidrat pun boleh sebabkan kencing manis jugak. Lantas, kerana jadi penyebab penyakit, harganya kena naiklah, begitu?” Kulop 1 menyoal balas.

“Bukankah harga beras dah dinaikkan tak lama dulu!” Kulop 2 mengingatkan Kulop 1.

“Naikkan harga satu hal, tapi alasan untuk mewajarkan kenaikannya biarlah tidak membodohkan kita,” kata Kulop 1.

“Marah nampak?” Kulop 2 menyindir.

“Hei, gaya hidup sihat merangkum banyak perkara, kau tau? Menjauhi rasuah gaya hidup sihat. Menghindari amalam kronisme dan nepotisme gaya hidup sihat. Menjauhi judi dan riba gaya hidup sihat. Jujur dan amanah gaya hidup sihat. Bercakap betul dan benar gaya hidup sihat. Cakap serupa bikin, bikin serupa cakap gaya hidup sihat. Tak takut bini gaya hidup sihat! Ah, banyaklah lagi gaya hidup sihat! Malah, yang paling sihat ialah betul-betul mendahulukan rakyat. Kalau seseorang pemimpin tidak betul-betul mendahulukan rakyat, pasti dialah dahulu yang disedut api neraka!” kata Kulop 1.

“Main petik saja kau ni! Apakah buktinya pemimpin yang tak dulukan rakyat akan masuk neraka?” Kulop 2 tidak puas hati.

“Allah, dalam surah Sad, ayat 26 telah berfirman, iaitu “Wahai Daud, Kami telah menjadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan hak (adil) dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat daripada jalan Allah akan beroleh azab yang berat pada hari penghitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan) Allah itu.” Kulop 1 berkhutbah.

“Pandailah kau.” Kulop 2 patah hujah.

“Kenaikan harga barang ni sangat besar deritanya kepada rakyat, Kulop....”

“Janganlah panggil aku Kulop. Baghal ke apa kau ni? Engkau pun Kulop juga,” Kulop 2 tidak puas hati.

“Kulop aku lain, Kulop engkau lain. Aku Tengku Lop, disingkatkan orang lalu menjadi Ku Lop. Nama engkau memang Kulop. Dahlah, itu pun nak marah!” Kulop 1 menenangkan Kulop 2.

“Ah, kaupanggil aku Lop, aku panggil engkau Ku!” Kulop 2 serius dengan namanya.

“Aku panggil engkau Dunlop, ok?” Kulop 1 berjaya menemukan solusi.

“Ok!” Kulop 2 sengih kerana sudah mendapat alias – Kulop alias Dunlop. “Sampai mana engkau tadi?”

“Aku kata, kenaikan harga barang ni sangat besar deritanya kepada rakyat. Kenaikan ini akan berjangkit-jangkit. Sebab harga gula, harga petrol, harga gas naik, maka harga kuih akan naik, harga air teh akan naik, harga air suam pun akan naik!” kata Kulop 1 @ Ku.

“Air suam pun?” Kulop 2 @ Dunlop kerut kening.

“Ha la! Air suam tu kena masak dulu. Nak masak kena pakai gas. Harga gas bukankah dah naik, maka harga air suam pun naik la!” Kulop 1 memberikan rasionalnya.

“Ya, ya. Aku faham!” kata Kulop 2 @ Dunlop.

“Dia orang tak rasa semua tu...!”

“Dia orang tu siapa?” Kulop 2 @ Dunlop memintas lagi.

“Siapa lagi, orang-orang yang di atas itulah. Mereka semuanya dibayarkan. Minyak kerajaan bayar, makan kerajaan bayar, minum kerajaan bayar, tol tak kena bayar, jalan jauh boleh claim, parking boleh claim. Engkau boleh?”

“Jadi, maksud engkau, kenaikan harga barang tidak membawa makna apa-apa kepada mereka? Mereka tak rasa apa-apa kesengsaraan macam kita?” Kulop 2 @ Dunlop baru sedar.

“Tahu pun engkau!” Kulop 1 @ Ku mencebik.

Pup, lampu padam. Bekalan elektrik terputus.

“Hoi, jangan pegang kulop aku! Siut!” Kulop 2 @ Dunlop menjerit.

“Siapa pegang kulop engkau?” Kulop 1 @ Ku bengang dalam gelap.

“Aku!”

“Siapa?” Kulop 1 @ Ku dan Kulop 2 @ Dunlop menyoal serentak.

2 comments:

  1. Salam, Tuan Zul. Hujah yang sangat menarik, tetapi menimbulkan rasa kecewa yang lebih mendalam. Kecewa itu bukan untuk saya, kerana Insya-Allah saya masih boleh melangsungkan hidup dengan kos yang sentiasa meningkat. Simpati saya melimpah untuk golongan berpendapatan rendah. Teringat para kerani, pembantu am dan para pencuci/pembersih di tempat saya bekerja.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Inilah yang mereka tidak nampak atau buat-buat tidak nampak. Seharusnya mereka dibantu lebih dahulu supaya apa-apa kenaikan harga barangan tidak menjejaskan kehidupan golongan seperti yang Cikgu maksudkan itu.

    Entah kebajikan siapalah yang hendak dijaga oleh mereka ini.

    Tampaknya macam nak tolong tauke besar gula itu. PRU13 pun hampir tidak berjarak lagi.

    ReplyDelete