Friday, July 16, 2010

Telah Naik, Akan Naik Lagi, dan Yang Lain Pun Akan Naik

Setelah dikira – ditolak campur dan dikali bahagi – maka pihak yang mempelopori slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” pun berkatalah bahawa kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak lima sen seliter, gula sebanyak 25 sen sekilo, dan LPG 10 sen sekilogram mulai hari ini membolehkan kerajaan menjimatkan belanja lebih daripada RM750 juta untuk tahun ini. Hal ini bermaksud bahawa kerajaan mempunyai ekstra RM750 juta dalam kocek untuk dibelanjakan untuk pelbagai tujuan lain (untuk membangunkan negara dan rakyat?)

Walaupun lebih RM750 juta dapat dijimatkan, kata pelopor itu, kerajaan masih menanggung beban subsidi bahan api dan gula yang bernilai kira-kira RM7.82 bilion untuk tahun 2010 ini. Pelopor itu berkata bahawa kenaikan “mendadak” harga barangan itu merupakan langkah pertama Program Rasionalisasi Subsidi secara berperingkat-peringkat. (Ingat, LANGKAH PERTAMA! Ingat juga, BERPERINGKAT-PERINGKAT!)

Kelihatan seolah-olah pelopor itu sangat berhati-hati dalam menaikkan harga barangan (petrol khususnya). Dia hanya menaikkan harga barangan itu lima sen sahaja berbanding dengan pelopor Islam Hadhari dahulu yang menaikkan harga petrol sebanyak RM0.30 (tiga puluh sen) pada Februari 2006, iaitu daripada RM1.62 kepada RM1.92. Malahan, pada Jun 2008, pelopor yang sama menaikkan harga petrol sebanyak RM0.78 (tujuh puluh lapan sen), iaitu daripada RM1.92 kepada RM2.70. Walau bagaimanapun, harga petrol itu diturunkan setelah harga petroleum dunia turun, tetapi kita disodorkan dengan petrol gred baharu, iaitu RON95 yang sebelum kenaikan hari ini, harganya ialah RM1.80 seliter.

Kesan kenaikan harga petrol pada zaman pelopor Islam Hadhari itu masih kita rasai kesannya sehingga hari ini – harga barangan lain yang naik berakibat daripada kenaikan harga petrol pada Jun 2008 itu tidak ketara turunnya sehingga kini.

Pelopor “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” turut menaikkan harga LPG dan gula. Kalau anda penggemar teh tarik atau Milo “kaw”, bersiap sedialah. Pengusaha restoran sudah pasti akan menaikkan harga minuman itu dan makanan lain juga, termasuklah roti canai yang "digoreng" dengan menggunakan api yang bersumber daripada LPG. Malah, harga kuih pada Ramadhan ini pasti akan naik juga atau kalau harganya kekal, saiznya pasti akan lebih kecil. Kita faham bahawa mereka terpaksa menaikkannya bagi menyerap kos pengunaan gula dan LPG! Jangan pelik, harga air tebu pada Ramadhan akan datang juga akan naik walaupun air itu tidak menggunakan gula. Sebab kenaikannya? Tebu-tebu itu diangkut dengan menggunakan kenderaan yang menggunakan petrol dan diesel dan dimesin dengan menggunakan petrol/diesel!

Mereka tidak salah kerana mereka bukan peniaga daripada mana-mana badan kebajikan hingga perlu mengekalkan harga lama terhadap barangan jualan mereka demi kita. Pelopor “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” juga tidak salah kerana semasa ditakhtakan sebagai peneraju negara dahulu, seingat saya, dia tidak pernah pun berjanji hendak menjadikan negara ini sebagai negara berkebajikan!

Kita perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak salah. Yang salah KITA!

4 comments:

  1. Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Terima kasih daun keladi, sebelum PRU nanti silalah naikkan harga petrol lagi.

    Apa pun, ayat-ayat cinta itu usahlah diulang berkali-kali, kami sudah lali dan sudah semat kuat-kuat dalam hati. Ayat-ayat berbunyi:

    1. Kenaikan harga itu masih rendah berbanding di negara lain.

    2. Kami akan sentiasa memantau kenaikan harga barang.

    3. Kenaikan tidak akan membebankan rakyat.

    4. Rakyat perlu ubah gaya hidup.

    Lagi... dan lagi... dan lagi... KLISE! Tepu!

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Kenaikan harga pula disertai dengan rasionalisasi - untuk melahirkan rakyat yang sihat.

    Kalau dana tidak cukup, harus naik lagi harga barang dekat-dekat PRU nanti.

    ReplyDelete
  3. Tuan Zul, keluarga saya hanya menggunakan 1kg gula sahaja dalam tempoh setahun kerana kami memang tidak gemar yang manis-manis. Seharusnya kami tidak perlu bising-bising apabila harga gula naik. 25 sen sahaja pula tu!

    Namun, kenaikan yang sedikit itu memberi impak yang sangat besar kepada rakyat secara keseluruhannya. Apa sahaja makanan dan minuman yang menggunakan gula akan naik harga. Biskut, susu, roti... kerana selain garam, gula adalah satu daripada bahan penting dalam proses mengawet makanan. Selain bahan basah seperti sayur dan ikan/ayam/daging, makanan apa yang tidak ada bahan pengawet, kan?

    Begitu juga dengan petrol yang hanya naik 5 sen. Tidak menjejaskan tangki kereta pun. Isi minyak RM50 tengahari tadi, masih juga tangki kereta penuh, tetapi apabila sebut harga minyak naik, para kapitalis terus buka mata dan berkata "Ini dia alasan kukuh menaikkan harga barang!". Seperti kata emak saya, cili yang ditumpangkan di hujung penjuru lori pun akan naik harga apabila minyak naik harga.

    Entahlah. Saya tidak marah, tetapi tipulah jikalau saya katakan yang saya tidak kecewa. Dahulu, mereka janji akan rombak subsidi minyak dan subsidi yang ada hanya untuk warganegara, tetapi mengapa lain pula jadinya? Warga asing masih mendapat harga minyak yang serupa dengan kita, bukan?

    Kononnya dapat jimat RM750 juta. Ke mana wang itu akan dibelanjakan nanti agaknya? PRU? Besar juga bajet PRU ya?

    Maaf ya, tuan. Saya membebel panjang pula. Tidak ada hati hendak menulis di blog sendiri. hehehee...

    ReplyDelete
  4. Salam, Cikgu Marni;
    Samalah kita, saya sendiri mungkin lebih 1 kg daripada Cikgu dalam penggunaan gula. Tetapi saya gemar membeli kuih dan sudah tentulah saya bakal merasai natijah kenaikan itu nanti.

    Walau bagaimanapun, sifat kita orang Melayu Malaysia, kita "mudah lupa". Mereka yang tegar tetap akan memilih yang itu juga.

    Seperti Cikgu juga, saya kecewa kerana orang itu cakapnya tidak serupa bikin, yang dibikinnya tidak serupa cakap. Yang dibikinnya jelas menderitakan orang-orang yang sangat bawah.

    Percayalah, selepas ini banyak Menteri tertentu yang sibuk menangani permintaan itu ini daripada tauke bas, pengusaha restoran, malah silap-silap pengusaha stesen petrol pun akan minta komisen jualan ditambahkan.

    ReplyDelete