Friday, February 18, 2011

Pengenalan Kompaun/Saman/Denda Baharu: Implikasinya

Banyak juga orang yang mempertikaikan pengenalan/perubahan kadar kompaun/saman/denda baharu yang khabarnya akan mula berkuat kuasa Mac ini. Antara lain mereka berkata bahawa kerajaan tidak sepatutnya “menaikkan” kadar kompaun/saman/denda kerana rakyat sudah terbeban oleh kenaikan harga barang. Maksudnya ialah, “kenaikan” kadar kompaun/saman akan menambahkan beban rakyat.

Kita boleh bersetuju dengan pandangan itu, tetapi saya tidak bersetuju. Saya berpendapat bahawa, beban itu hanya bertambah kalau kita melakukan kesalahan. Dalam erti kata lain, kita tidak akan terbeban oleh apa-apa kompaun/saman/denda sekiranya kita mengelakkan diri kita daripada melakukan kesalahan (dalam konteks yang dibicarakan, kesalahan ini ialah kesalahan lalu lintas).

Hal ini berbeda dengan beban kenaikan harga makanan, perkhidmatan, dan lain-lain yang tidak dapat kita elakkan. Kenaikan harga makanan, misalnya, memang membebankan kita kerana untuk hidup kita perlu makan. Kenaikan kadar cukai pintu, misalnya, memang membebankan kita kerana jika cukai itu tidak dibayar, rumah atau harta benda kita akan disita.

Saya mengambil pendirian bahawa “kenaikan” kadar kompaun/saman/denda yang bakal dilaksanakan kelak bertujuan untuk mendidik rakyat — supaya rakyat senantiasa menghormati semua bentuk undang-undang, tidak kira undang-undang jalan raya, undang-undang di tempat kerja, dan lain-lain. Dengan “menaikkan” atau memperkenalkan kompaun/saman/denda yang baharu, sedikit banyak orang akan berasa takut untuk melanggar undang-undang.

Pada pandangan saya, yang sepatutnya dirisaukan/dipertikaikan ialah kemungkinan wujudnya golongan yang mengambil kesempatan daripada pelaksanaan kompaun/saman/denda baharu itu. Siapakah golongan itu? Mereka tidak lain tidak bukan segelintir penguat kuasa yang membelakangkan integriti dalam melaksanakan tugas mereka. Kita bimbang pelaksanaan kadar kompaun/saman/denda baharu ini akan digunakan oleh segelintir penguat kuasa untuk memperoleh pendapatan melalui amalan rasuah.

Mungkin suatu bentuk “peras ugut” secara halus akan berlaku. Sebagai contohnya, mungkin ada penguat kuasa yang berkata, “Kalau Encik tidak mahu bayar kompaun/saman yang lebih mahal, Encik boleh selesaikannya dengan saya. Encik beri saya sekian-sekian wang, kesalahan Encik dikira beres!”

Kita mungkin berfikiran jahat tentang hal ini, tetapi kemungkinan itu ada kerana peluang untuk melakukannya melalui pelaksanaan kompaun/saman/denda baharu itu nanti ternganga luas. Kalau kita berkata bahawa kita pernah mengalami “peras ugut” halus itu, pihak berwajib yang tertentu meminta kita mengemukakan bukti. Tanpa bukti, pengalaman kita itu akan dikategorikan sebagai dakwaan (tidak benar) sahaja.

Sebenarnya, pengenalan kompaun/saman/denda baharu ini berpunca daripada meningkatnya kes-kes kesalahan jalan raya. Meningkatnya kes-kes kesalahan jalan raya ini pula antara lain berpunca daripada wujudnya situasi penguat kuasa membebaskan pesalah jalan raya daripada sebarang kompaun/saman/denda setelah pesalaha jalan raya bersetuju untuk memberi penguat kuasa “sesuatu” seperti yang dipersetujui bersama.

Betul! Betul?

7 comments:

  1. Assalamualaikum, tuan.
    Saya bersetuju dengan catatan tuan ini. Kenaikan kadar kompaun atau saman tidak memberi kesan apa-apa kepada orang yang patuh kepada undang-undang. Saya juga bersetuju dengan tindakan PDRM memperkenalkan konsep 'the late you pay the more you pay' semalam. Sudahlah melanggar undang-undang, bayar saman pun liat, memang patut didenda begitu. Penguatkuasa yang tidak berintegriti pun boleh dibendung sekiranya tidak ada pesalah di jalan raya kerana akan wujud keadaan tidak ada pemberi dan penerima rasuah kerana tidak ada pesalah yang ditahan. Sayangnya, pengguna jalan raya lebih takutkan saman berbanding pertimbangan keselamatan diri sendiri...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu Marni,
    Manusia ... salangkan undang-undang Allah dilanggar oleh mereka, apatah lagilah undang-undang ciptaan manusia.

    Kita boleh berharap bahawa pada suatu masa nanti wujud keadaan sifar pesalah jalan raya. Hakikatnya, hal itu sukar direalisasikan selagi kita menghadapi masalah kekurangan penguat kuasa (yang ada pula sesetengahnya tidak boleh diharapkan).

    Jadi, usaha kerajaan paling besar ialah membentuk dan membetulkan sikap dan perangai rakyat (pengguna halan raya dan penguat kuasa sendiri).

    ReplyDelete
  3. Betul, Betul, Betul!!!

    Saya setuju seratus peratus pendapat En. Zul. Kalau ikut peraturan jalanraya, taklah kena denda, maka takdelah kompaun. Tetapi yang saya lihat kadang-kadang tu, polis trafik pun sama je macam mat rempit di jalan raya... tak ikut peraturan yang mereka sendiri sepatutnya kuatkuasakan. Ada juga yang buat endah tak endah je bila depan mata mereka sendiri ada pengguna jalanraya yang tak ikut peraturan. Macam mana tu..??

    ReplyDelete
  4. Salam, Sdr Dopey,
    Baru-baru ini saya nampak pihak polis menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya yang lain. Mereka (dalam kereta JSJ) berhenti di petak kuning di suatu persimpangan berlampu isyarat (yang sedang banyak kenderaan) hingga menyebabkan kenderaan dari arah lain tidak dapat bergerak (apabila giliran mereka, termasuk saya, bergerak). Hal seperti ini tidak seharusnya berlaku. Kalau penguat kuasa kencing berdiri, orang awam pakat kencing berlarilah, kan!

    ReplyDelete
  5. "Kalau penguat kuasa kencing berdiri, orang awam pakat kencing berlarilah" - hahaha, tat's well put...

    tapi apakan daya kita kan... nak tegur takut kena cekup pulak, tapi kalau tak tegur kita jadi warganegara yang tak baik ke..?? mana nak gi ngadu ye...??
    ish, ish, ish... mampu menggeleng kepala je :-|

    ReplyDelete
  6. Salam, Sdr Dopey,
    Jangan berani-berani tegur kalau tak nak dapat nahas.

    Mereka boleh menegur tapi tak boleh ditegur.

    ReplyDelete
  7. hhmmm... mampu menggeleng kepala jer...

    ReplyDelete