Tuesday, August 23, 2011

Kisah Khatib dan Teropong Dada

Tidak seperti kelaziman yang berlaku di kampung, solat Jumaat di bandar akan kita rasai bezanya. Di kampung, kelaziman yang kita lihat ialah sebahagian besar jemaahnya adalah daripada kalangan orang Melayu serta sebilangan kecil jemaah daripada peniaga India yang selalu kita panggil “mamak” itu. Kesemua mereka, termasuk saya sendiri dan tuan-tuan sendiri, sangat arif dalam bahasa Melayu, tetapi lazimnya kita hanya melongo apabila bahasa Arab (ayat-ayat al-Quran dan hadis) dibaca oleh khatib yang bertugas.

Sebaliknya, kelaziman yang dilalui di kampung tidak berlaku di bandar. Di bandar, kini, jemaahnya terdiri daripada pelbagai bangsa – selain orang Melayu, ada jemaah yang berasal dari Semenanjung Arab, Afrika, Pakistan, Iran, dan sebagainya. Kebanyakan mereka berada di negara ini sama ada untuk belajar, berniaga, ataupun menjadi kakitangan institusi pengajian tinggi swasta. Kalau kita rajin meneliti, kebanyakan jemaah asing ini hanya melongo pada sebahagian besar tempoh khatib berkhutbah.

Walau bagaimanapun, jangan terkejut kalau selepas usai bersolat Jumaat, ada antara jemaah dari Arab, Afrika, dan lain-lain itu memberikan teguran serta melahirkan rasa tidak puas hati mereka kepada kita terhadap khatib yang bertugas. Senario yang memang benar-benar berlaku ini sebenarnya bukan sahaja mengaibkan khatib yang bertugas, malah turut mengaibkan pihak pentadbir masjid dan Melayu-Islam sendiri. Yang ditegur oleh mereka sudah tentulah bukan isi khutbah yang disampaikan dalam bahasa Melayu itu, tetapi bacaan ayat al-Quran dan hadis oleh khatib.

Ruang yang membolehkan jemaah asing itu memberikan teguran dan melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap khatib adalah kerana sesetengah khatib yang bertugas bukan daripada kalangan orang atau tokoh yang berlatarbelakangkan pendidikan agama. (Hal ini sebenarnya banyak berlaku di kampung, tetapi khatib kampung “terselamat” daripada teguran seperti ini kerana kebanyakan jemaahnya “mengiakan” sahaja apa-apa yang disampaikan/dibaca oleh khatib kerana mereka tidak arif dan tidak faham akan bahasa Arab.)

Dalam suatu peristiwa, isi khutbah (dalam bahasa Melayu) dilengkapi dengan potongan ayat al-Quran daripada surah al-Kahfi, ayat 10. Khatib yang berkhutbah pada waktu itu membacanya begini (elok kiranya tuan-tuan merujuk kepada ayat al-Quran yang sebenarnya):

iz awal fitnatu ilalkahfi...


Walhal, ayat itu sepatutnya dibaca begini:

iz awal fityatu ilalkahfi...


Dalam hal ini, khatib itu telah mengungkapkan kalimat fityatu sebagai fitnatu yang menyebabkan ayat yang sepatutnya bermaksud “Ketika serombongan pemuda pergi ke gua...” berubah menjadi lebih kurang “Ketika serombongan pemfitnah pergi ke gua...”.
Apabila hal itu berlaku, sudah tentulah jemaah asing yang faham al-Quran (termasuk juga para hafiz Melayu) terkejut oleh pengucapan khatib itu. Selepas usai bersolat sunat badiah, seorang pensyarah merapati teman saya (seorang hafiz yang juga imam gantian) seraya berkata, “Tidak ada orang lain lagikah yang sesuai untuk membaca khutbah?” Teman saya diam sahaja.

Persoalannya ialah, salah siapakah apabila hal seperti ini terjadi? Adakah salah pihak pentadbir masjid kerana memilih khatib daripada kalangan orang yang demikian itu ataupun salah khatib itu sendiri?

Saya sependapat dengan rakan hafiz saya. Sebenarnya asal orang itu Islam dan beriman, mereka layak untuk menyampaikan khutbah kerana di negara kita, khatib yang berdiri di atas mimbar itu ditugaskan untuk “membaca khutbah” bukan memberikan khutbah/berkhutbah. Jika mereka ditugaskan untuk berkhutbah, elok kiranya dipilih orang yang benar-benar berlatarbelakangkan pendidikan agama. Begitulah pendapat kami.

Membaca khutbah bermaksud bahawa seseorang itu diberi teks untuk dibaca. Dalam konteks ini, biasanya pihak masjid dan khatib telah menerima teks itu (daripada pihak berkuasa agama) sekurang-kurangnya seminggu lebih awal. Oleh hal yang demikian, khatib mempunyai masa yang banyak dan panjang (cukup) untuk menghayati isi khutbah, menyemak potongan ayat al-Quran dan hadis yang digunakan, serta melancarkan pembacaan potongan ayat-ayat itu dan doa-doa yang mengiringi teks. Jadi, mengapakah khatib itu tidak “memesrai” teks itu walhal jadual khatib yang bertugas telah diketahuinya sebulan lebih awal?

Salah seorang rakan (bukan berlatarbelakangkan agama juga) sudah beberapa kali diberi tanggungjawab sebagai pembaca khutbah. Alhamdulillah, sehingga kini beliau tidak menerima teguran apa-apa. Hal ini berlaku demikian kerana beliau benar-benar mendalami isi khutbah (yang hendak dibacanya) selain menyemak potongan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang ada dalam teks daripada ustaz-ustaz yang diyakininya sehingga kalau kebetulan teks itu turut menyebut nama-nama tokoh tertentu, sebutan yang betul untuk nama tokoh itu pun dirujuknya kepada ustaz-ustaz. Intonasi yang digunakan beliau semasa membaca khutbah pun sangat menarik kerana beliau telah bersedia lebih awal.

Demikianlah yang patut dilakukan oleh para khatib. Memanglah jemaah tidak bercakap semasa khatib membaca khutbah kerana banyak jemaah yang meneropong dada sendiri semasa khatib membaca khutbah. Hal itu berlaku demikian kerana tajuk khutbah kerap kali membosankan jemaah, penyampaian khatib pula sangat mendatar, pembacaan oleh khatib kerap juga tersekat-sekat, dan lain-lain. Tetapi, ada kalanya dengan tajuk yang “menangkap” dan pengucapan khatib yang berkobar-kobar pun ada juga segelintir jenaah yang hanyut dibuai mimpi kerana mereka memang kaki teropong dada!

4 comments:

  1. Salam, Sdr. Zul,

    Untuk keperluan duniawi dan ukhrawi, ilmu menjadi teras, lebih-lebih lagi bagi orang yang menjadi pemimpin/imam.

    Di negara China, ada Sistem Khalifah, iaitu di setiap masjid ada pengajian yang diikuti oleh sejumlah pelajar di bawah bimbingan dan seliaan imam. Sesudah dinilai layak menjadi imam atau guru agama, maka pelajar yang selesai mengikuti pengajian selama beberapa tahun dihantar ke masjid atau madrasah yang memerlukan imam atau guru agama.

    Dengan demikian, pelantikan seseorang menjadi imam atau guru agama didasarkan pada kelayakan melalui sistem khalifah itu. Alangkah baiknya masjid di negara kita mengamalkan sistem sedemikian sebagai sistem latihan membentuk imam pelapis.

    ReplyDelete
  2. Salam, Prof,
    Saya pernah berfikir begitu. Rupa-rupanya di negara yang umat Islamnya minoriti telah mengamalkannya. Alhamdulillah.

    JAIS ada menjalankan latihan/kursus untuk imam dan lain-lain selama dua hari di ILDAS. Dua hari sahaja, Prof. Barangkali untuk menyemak bacaan al-Fatihahnya tepat atau tidak dan praktik-praktik lainnya.

    ReplyDelete
  3. Sdr. Zul,

    Kursus dua hari memang tidak mungkin cukup untuk melengkapkan ilmu dan kemahiran menjadi imam, kecuali sekadar kursus penyegaran bagi imam yang telah agak mantap. Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam perlu merancang kursus persis sistem khalifah yang dilaksanakan di negara China. Modulnya lebih kurang sistem pondok, kerana pelajar tinggal di asrama masjid dan dari pagi hingga malam mendapat bimbingan imam terus-menerus selama beberapa tahun.

    ReplyDelete
  4. Salam, Prof;
    Alangkah moleknya kalau idea itu dapat dipanjangkan kepada pihak Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam!

    Walau bagaimanapun, alhamdulillah, sekarang sudah ada kecenderungan pihak Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam untuk melantik para imam daripada kalangan lulusan Universiti Jordan, Mesir, Madinah, dll. Hal ini bermaksud bahawa imam telah menjadi kerjaya mereka.

    Cuma dalam konteks khatib yang saya ketengahkan dalam siaran saya ini, sepanjang saya menjadi makmumnya, saya berpendapat bahawa beliau imam yang bagus, tetapi beliau bukan khatib yang bagus.

    ReplyDelete