Menurut
kata penceramah yang baru beberapa hari berkesempatan pergi ke Makkah untuk
menunaikan umrah pada Ramadan tahun ini, jumlah manusia yang berumrah di sana sama
banyaknya dengan jumlah orang yang mengerjakan haji pada musim haji — sesak dan
menyesakkan. Hingga demikian, kata beliau, harga sewa bilik hotel yang pada
waktu biasa hanya berkadar 400 riyal meningkat kepada 800 riyal! Ibadah sudah
menjadi perniagaan, sudah menjadi sumber pendapatan yang besar. Ibadah sudah
menjadi matlamat duniawi.
Anda
terpaksa mencampakkan RM800 riyal semalam hanya untuk mandi, tidur, kencing berak
di hotel bagi membolehkan anda berumrah. Kadar itu merupakan kadar yang
dikenakan kepada orang yang mengambil pakej yang sederhana. Yang mengambil
pakej VIP/VVIP berapakah pula kadarnya? Haruslah ribuan riyal semalaman.
Wajarkah wang ribuan ringgit dicampakkan untuk aktiviti tidur, mandi, kencing berak
sahaja?
Suatu
ketika dahulu, ada kalangan agamawan yang menegur sikap umat Islam yang
cenderung untuk berbuka puasa di hotel pada bulan Ramadan. Perbuatan itu berunsur
riyak (walaupun sebenarnya riyak ialah soal hati — kita tidak tahu seseorang
itu riyak ataupun sebaliknya), kata mereka, dan menggalakkan pembaziran (kerana
bayaran yang dikenakan oleh pihak hotel untuk majlis berbuka puasa sangat
tinggi berbanding dengan restoran atau kedai biasa).
Anehnya,
mengapakah hal tentang kecenderungan orang mengambil pakej haji atau umrah yang
bernilai puluhan dan ratusan ribu ringgit tidak disentuh oleh para agamawan?
Tidak tergolong sebagai riyak dan membazirkah hal yang demikian itu? Mengapakah
hal tentang makan sahaja yang disentuh oleh mereka sedang hal ini disenyapkan?
Sesetengah
orang yang mengambil pakej haji/umrah yang mahal itu pula bukanlah pergi ke
sana buat kali pertama melainkan pergi untuk kali kedua malah ada yang pergi untuk
kali yang kesepuluh dan puluh-puluh yang lain. Dalam erti kata yang lain,
mengerjakan haji/umrah sudah menjadi rutin mereka walaupun haji hanya wajib dilaksanakan
sekali!
Hal
ini menimbulkan tanda tanya dalam hati kita kerana Allah SWT ada berfirman
dalam al-Quran (Surah at-Taubah, ayat
19-20) yang bermaksud:
“Adakah (orang-orang) yang memberikan minuman kepada orang-orang
yang mengerjakan haji dan memakmurkan Masjidil Haram kamu samakan dengan
orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan
Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk
kepada kaum yang zalim. (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah
serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih
besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya
memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan
mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Ayat tersebut dengan jelas menyatakan bahawa
berjihad di jalan Allah lebih afdhal (lebih
tinggi prioritinya) daripada menjadi pelayan jemaah haji dan menjadi jemaah
haji sendiri (orang yang memakmurkan Masjidil Haram). Mungkin ada antara kita yang
berfikir, mengapakah Allah meletakkan jihad lebih afdhal daripada mengerjakan haji walhal haji salah satu rukun
Islam?
Hal ini berlaku demikian kerana manfaat ibadah haji atau umrah hanya diperoleh oleh diri kita sendiri dan hanya untuk tempoh
waktu itu sahaja (sempurna haji atau umrah kita, maka insya-Allah kita akan
beroleh pahala-Nya). Hal ini berbeda dengan orang yang beriman yang berjihad di
jalan Allah; manfaatnya diperoleh oleh kelompok masyarakat yang lebih luas hingga membolehkan pahala-Nya diperoleh terus-menerus walaupun jasad mereka lumat
dimamah bumi dan segala isinya.
Sebagai contohnya, membina sekolah untuk
manfaat anak-anak Islam yang miskin merupakan suatu bentuk jihad. Kita beroleh
pahala kerana mendirikan sekolah untuk mereka, kita beroleh pahala kerana
membolehkan mereka bersekolah, kita beroleh pahala kerana dengan bantuan kita,
mereka beroleh ilmu (yang baik), kita beroleh pahala apabila ilmu itu
disampaikan mereka kepada orang lain dan dimanfaatkan dari zaman ke zaman!
Pahala itu kita peroleh tanpa mengurangi pahala yang diperoleh oleh anak-anak
itu.
Jadi, apakah perlunya kita berbelanja besar
untuk menunaikan haji/umrah (berkali-kali pula) kalau jihad kita hanya sekadar
bijan di celah gigi. Tidak nampak dan tidak sedarkah kita betapa saudara se-Islam
kita di Palestin, di Somalia, di Kemboja, di Myanmar (orang Rohingya), di
selatan Thai, di selatan Filipina, dll serta saudara se-Islam kita di negara
kita sendiri sangat menginginkan bantuan kita?
Kalau kita prihatin dan berhati perut, kita
tidak akan tergamak untuk berbuka di hotel-hotel serta hendak membeli-belah di
bazar-bazar Ramadan kerana saudara se-Islam kita di Somalia langsung tidak berkesempatan
untuk menjamah apa-apa sama ada pada waktu sahur mereka ataupun pada waktu berbuka
mereka! Mereka tidak berpeluang untuk membeli-belah di bazar Ramadan kerana
bukan mereka tidak berwang tetapi kerana mereka tidak ada makanan.
Kalau kita prihatin dan tahu akan tuntutan
agama, kita tidak akan tergamak untuk mengerjakan haji atau umrah berkali-kali
apatah lagi hendak bermewah-mewah kerana masih banyak saudara se-Islam kita
yang hidup tanpa ilmu dan tertindas. Mereka mendahagai bantuan kita!
Wallahua‘lam....
Assalamuaalaikum, Sdra Zul
ReplyDeleteAda Ustaz yang tidak akan mnyentuh perkara berulang kali mengerjakan umrah atau haji lantaran ini dia (Ustaz adalah mutawif atau ketua rombongan.
Tentu dia tidak akan membicarakan hal tersebut.
Alangkah baiknya jika tuan punya wang yang hendak berulangkali pergi umrah atau haji di imfakkan menjadi amalan yang lebih mantap sebagai bekalan dialam barzak. Atau mengunakan duit yang begitu besar membiayai saudara atau tetangga yang tidak bekemampuan atau anggota masyarakat yang kita boleh cari dan selidiki akan waraknya dia dalam kemasjid beribadat dengan akhlak Islam yang mulia meskipun dia daif dalam kehidupan.
Tidak semestinya berulang kali dia mengerjakan Haji atau Umrah amalannya diterima? Sedangkan situkang kasut yang mengumpulkan wangnya untuk mengerjakan Haji buat pertama kali tidak dapat pergi kerana sesuatu sebab tetapi duit itu diberi kepada tetangganya akhirnya yang mendapat Haji mabrur adalah siTukang Kasut yang tidak pun pergi ke Mekah.
Inilah perlunya kita mendidik masyarakat, konsep dalam perkara Hubungan Allah dan Hubungan manusia.
Salam, Syeikh AbdurRahman,
ReplyDeleteItulah yang saya fikirkan. Menaja orang Islam yang beriman yang tidak mampu untuk ke Makkkah lebih baik daripada kita pergi ke Makkah berulang kali.
Terima kasih, Syeikh.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin. Taqabbalallahu minna wa minkum (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).
ReplyDeleteAs-Salam, Cik Mistree,
ReplyDeleteAllahumma Amin.
Selamat Hari Raya juga kepada Cik Mistree.