Friday, November 23, 2012

AES — Janji Ditepati

Kita tidak dapat menafikan bahawa apa-apa pun dasar, moto, slogan, dll yang diperkenalkan oleh pihak mana-mana pun dalam negara ini akan menjadi sendaan dan gurauan sebilangan orang. Adakalanya dasar itu memang sekadar menjadi bahan lawak atau lelucon dan hingga demikian tidaklah sampai dipertikaikan orang. “Dasar Pandang ke Timur” yang diperkenalkan pada tahun 1980-an oleh PM pada ketika itu dipersendakan oleh kawan saya yang kini entah di mana. “Sebenarnya tujuan dia mengajak kita memandang ke Timur adalah supaya kita tidak perasan akan perbuatannya hendak menompokkan harta di Barat,” kata sahabat yang sudah terputus hubungan dengan saya sejak penghujung 1980-an itu. Saya tertawa oleh leluconnya itu. Slogan “Kepimpinan Melalui Teladan” yang diperkenalkan oleh PM yang sama pada 1980-an itu pun menjadi bahan sendaan orang juga. “Tak akan jadi apa-apa kerana kepimpinan itu cuma lalu sahaja, tak singgah pun. Oleh sebab itulah hampir tidak ada pemimpin yang dapat kita angkat menjadi suri teladan,” kata sahabat yang menjadi sahabat kepada sahabat saya pula.

Tetapi, sepanjang ingatan saya, yang paling banyak menjadi sendaan malah sering menjadi pertikaian orang ialah dasar “1Malaysia” yang berslogankan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu. Pada peringkat awal pengenalannya, “1Malaysia” itu tidak difahami orang. “Apakah yang 1Malaysianya?” Demikian orang bertanya. Slogan yang mengikutinya pula — “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” — lebih kerap dipersendakan dan dipertikaikan orang kerana banyak benar dasar, pembaharuan, tindakan, dll yang diperkenalkan oleh pihak yang memperkenalkan dasar dan slogan itu yang berlawanan dengan roh slogan yang murni itu. Yang terbaharu, perkara yang bertentangan dengan slogan itu hingga menjadi bahan pertikaian dan untuk mewajarkannya dibawa pula masuk ke Parlimen ialah pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) itu. Sistem itu bukan ditentang oleh rakyat yang berada di belakang pembangkang sahaja, tetapi turut dibantah oleh rakyat yang berada di belakang kerajaan sendiri. Walaupun rakyat menentang, kerajaan bertegas untuk melaksanakannya! Jadi, yang didahulukan siapa?

Satu lagi slogan kerajaan sekarang yang menjadi bahan persendaan orang ialah slogan “Janji Ditepati” yang menyusul tidak lama selepas kemunculan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu. Saya berpendirian bahawa slogan ini sangat ketara retoriknya kerana dengan menjadikan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sebagai suatu janji (memang slogan itu merupakan suatu janji pun), kita dapat membuat penilaian tentang sejauh mana slogan “Janji Ditepati” itu dipatuhi dan ditunaikan. Kita tidak perlu berpatah semula untuk menilai hal ini kerana yang ada di depan mata sudah dapat membantu kita untuk membuat penilaian itu — AES. Dalam hal ini, kerajaan berjanji bahawa “Rakyat Didahulukan”. Ironinya, dalam hal AES ini, “Rakyat Dikesampingkan” secara terang-terangan. Pada pandangan saya, hal ini berlaku demikian kerana kerajaan sebenarnya telah membuat janji yang lain — membantu kroni. Dalam konteks AES, kroni yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan si pemegang konsesi — ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd, bukan Rakyat Malaysia Bhd. Dalam perkataan yang lebih mudah, slogan “Janji Ditepati” itu hanya “valid” untuk kroni, bukan rakyat marhaen.

Untuk pengetahuan pihak kerajaan, perkara yang sangat dikehendaki oleh rakyat yang hingga demikian perlu “Didahulukan” tidak kira dengan cara apa-apa sekalipun ialah KEADILAN selain KEJUJURAN bukannya BR1M yang hanya diperoleh oleh segelintir rakyat apatah lagi AES yang membolehkan orang membuat keuntungan daripada kesalahan yang dilakukan oleh rakyat. Ketahuilah bahawa kewujudan AES tidak sekali-kali menggambarkan bahawa rakyat semakin berdisiplin, sebaliknya yang terlihat daripada kewujudan AES ialah rakyat yang sayang akan wangnya. Kalau berlaku situasi orang yang melanggar kesalahan di bawah pengawalan AES itu semakin berkurang dari tahun ke tahun atau lebih drastik lagi, semua rakyat menjadi sangat kedekut yang hingga demikian ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd tidak dapat memungut apa-apa dalam tempoh tiga empat tahun kemudian, siapakah yang akan membiayai kos pemasangan sistem itu kelak?

3 comments:

  1. As salam
    Senang saja, tukar kerajaaan dan jika pembangkang pun tak mendengar kita tukar lagi melalui undi,sehingga wujud kerajaan yg benar2 belajar utk 'mendengar pendapat dan belajar menerima teguran'

    Wallahualam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, betul, saya sokong. Tukar kerajaan. Kalau terpaksa, guling kerajaan.

      Delete
  2. As-Salam, Puan,
    Hal yang Puan syorkan itu memang menjadi pegangan saya. Tidak timbul soal memperjudikan nasib sesiapa dalam menukar-nukar kerajaan.

    ReplyDelete